Meja Mingguan Wanita dihujani dengan pertanyaan permasalahan seorang ibu dari Jitra Kedah yang begitu merindukan anak-anak kandungnya. Selepas berpisah, anak-anak di bawah jagaan suami. Lama-kelamaan hubungan anak beranak ini semakin renggang.
Ibu ini tak pernah tak beri ruang untuk dirinya bertemu anak-anaknya. Tapi semakin anak-anak ini membesar, ibu ini merasakan anak-anak semakin berubah jiwanya.
“Assalamualaikum. Saya memiliki tiga orang cahaya mata. Sepasang menerusi perkahwinan pertama dan seorang lelaki menerusi perkahwinan kedua.
“Saya berkahwin semula setelah bercerai dengan bekas suami pertama. Dua anak yang ketika itu berusia 9 dan 7 tahun diletakkan di bawah jagaan bekas suami.
“Ini kerana saya yang secara rela memberikan kebenaran itu kerana saya yang menuntut cerai. Waktu itu, usia saya sekitar 30 tahun dan jiwa yang masih muda membuatkan saya tidak sabar dalam mengharungi bahtera rumah tangga.
“Keengganan suami membenarkan saya bekerja selepas anak-anak semakin membesar membuatkan saya tidak puas hati dan memberontak.
“Alasannya dia masih mampu menyara kami sekeluarga dengan gajinya sebagai seorang guru. Saya pula punya impian untuk bekerja makan gaji dan memiliki pendapatan sendiri walau gaji tidak sebesar mana.
“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya pada dia. Dipendekkan cerita akhirnya kami bercerai.
“Selepas itu, saya bekerja di sebuah butik, sebagai jurujual, namun sedikit demi sedikit saya naik hingga diberikan kepercayaan oleh majikan untuk menguruskan cawangan butik tersebut.
“Selepas itu saya juga telah bertemu jodoh dengan suami saya kini.
“Saya sering menelefon anak-anak walau pun bukan setiap hari. Malah beberapa kali dalam setahun iaitu hari raya Aidilfitri dan cuti sekolah, saya akan pergi jumpa mereka.
“Bukan tak nak selalu berjumpa tapi jarak memisahkan kami. Saya di utara, mereka pula di selatan. Setiap kali jumpa, saya akan bawa mereka berjalan-jalan dan belilah hadiah untuk mereka.
“Itu cara saya menebus rasa bersalah terhadap mereka. Begitu juga bila tiap kali mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, pasti ada hadiah untuk mereka. Namun mereka tidak pernah meminta-minta malah menerima apa saja yang saya hadiahkan.
“Saya bersyukur kerana bekas suami menjaga anak-anak dengan baik walau pun sudah berkahwin baru. Malah isteri barunya itu baik dengan anak-anak saya lebih-lebih lagi dia disahkan tidak dapat mengandung kerana masalah kesihatan.
“Saya dapat rasakan anak-anak semakin renggang dengan saya. Semakin mereka meningkat remaja, semakin mereka ‘jauh’ daripada saya. Kini usia mereka sudah menjangkau 17 dan 15 tahun.
“Kalau jumpa, mereka tak banyak cakap dengan saya. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Tapi mereka tetap hormat saya sebagai seorang ibu, melayan adik mereka dengan baik dan suami saya sebagai ayah tiri mereka.
“Puan, saya rindukan kemesraan mereka. Mungkin ada silap saya tapi bagaimana saya boleh meraih kembali kasih sayang mereka. Bantulah saya.”