Alhamdulillah akhirnya penantian penyanyi veteran, Zaiton Sameon,66 untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi realiti apabila menerima Kad Orang Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, semalam.
Menerusi kelayakan kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak), Zaiton atau lebih mesra disapa Kak Eton layak memohon untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.
“Syukur kerana masalah saya mendapat perhatian. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa serta tiada semuanya.
“Memang saya ada adik-beradik tapi saya tak nak ganggu mereka. Saya sekarang menyewa di Ampang dan tinggal dengan anak angkat bernama Ikah (Che Sikah Ismail) sejak 11 tahun lalu.
“Kami berjumpa pada 2010 di Johor Bahru ketika saya menyanyi di sebuah restoran. Kebetulan dia tiada ibu bapa, jadi dia panggil saya dengan nama ibu,” katanya pada sidang media yang berlangsung di sini, semalam.
Penyanyi lagu Menaruh Harapan ini berkata, mereka kini menyewa rumah di Bukit Indah, Ampang dengan kadar sewa RM800 sebulan.
“Saya kini bergantung harap pada jualan produk makanan Rendang Nasib selain menyanyi. Saya ada juga mohon rumah PPR tapi gagal atas alasan tiada pendapatan tetap.
“Rasa sedih orang lain dapat tapi saya tak. Mentang-mentanglah saya ‘cacat’. Saya bukan ‘cacat anggota’ tapi ‘cacat otak’. Orang pandang lekeh kata saya tak boleh menyanyi. Padahal lagu-lagu Inggeris pun saya boleh menyanyi dengan baik tanpa lupa lirik,” katanya.
Menurutnya, dia juga pernah terlambat membayar sewa bulanan rumah kerana wang tidak mencukupi.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tuan rumah boleh bertolak ansur. Tambah lagi dia adalah peminat saya sebelum ini,” katanya.
Penyerahan Kad OKU yang berlangsung di ibu pejabat JKM Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di sini dilakukan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.
Sementara itu, Samsuzuki berkata, Zaiton layak menerima kad OKU berdasarkan bukti-bukti seperti surat pengesahan doktor yang diterima pihaknya.
Zaizalnizam pula melahirkan kesyukuran kerana usaha mereka membawa isu ini kepada JKM mendapat perhatian.
Pada 1990, Zaiton mengalami kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan anaknya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia, manakala dia mengalami kecederaan parah di kepala hingga terlantar koma di hospital selama tiga bulan dan hilang ingatan sementara.
Mesti Baca:Suami Sanggup Curang, Alasan ISTERI Jarang Buat SARAPAN, Baru 11 bulan Kahwin
Baca Lagi Di Sini:Dr Che Hafiz Tidak Hairan Jika Lufya Sanggup Berbohong “Isu Pemberian Nafkah Anak, Saya Tidak akan Abaikan Anak Sendiri”
Artikel Menarik:Fendy Caliph Buskers Rayu Dapatkan Rumah PPR, Duit Simpanan Menyusut Akibat Pandemik Covid-19
Mingguan Wanita: Alhamdulillah semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan buat penyanyi veteran ini.
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.