Jika mak-mak masih ingat penghujung bulan lalu, kecoh satu nusantara dengan resepi ‘Rendang Ayam Crispy’. Gara-gara juri profesional Masterchef UK yang mengkritik masakan rendang ayam salah seorang pesertanya, Zaleha Kadir Olphin yang dikatakan tak rangup.
Pelbagai maklumbalas diterima, rata-ratanya memberi sokongan pada tukang masak ini. Malah ada juga resepi baru dihasilkan demi memberi sokongan pada wanita ini. Tentunya viral ‘rendang ayam crispy’ itu sedikit sebanyak memberi kesan pada Zaleha.
Mingguan Wanita berpeluang menemuramah Zaleha baru-baru ini. Akuinya kehidupannya di England tidak banyak berubah. Dia juga tidak dapat menjangkakan apakah perubahan yang bakal diterimanya sekiranya dia pulang ke Malaysia.
“Kadang-kadang ada yang mengenali saya di pusat beli belah. Setakat ini, memang semuanya baik-baik saja. Cuma ada kawan-kawan sesama MasterChef yang marah dengan saya kerana publisiti yang saya terima di sini melebihi publisiti mereka sebagai peserta MasterChef.
“Ada yang unfriend dan ada yang block saya di Instagram. Mula-mula itu saya memang rasa sangat sedih. Tapi selepas saya berfikir panjang, saya rasa ini adalah tindakan orang-orang yang tak matang, seperti budak budak.”
“Saya amat bersyukur rakyat malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura semua menyokong saya. Untuk ini, saya sudah buat yang terbaik. Lagi pula, saya terkeluar dari masterChef kerana mempertahankan masakan traditional kita, so, memang no regrets. Sebenarnya saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan anda. Dan saya amat bersyukur rakyat Malaysia.”
Kisah Di Sebalik Penyingkiran Zaleha Kadir Olpin
Rupanya selepas tersingkir dari MasterChef, Zaleha mengambil masa yang lama untuk merawat kesedihannya.
“Saya bimbang bila rancangan MasterChef disiarkan, saya akan dikritik teruk oleh rakyat Malaysia sebab disingkirkan kerana memasak masakan kegemaran rakyat Malaysia. Selepas beberapa bulan, barulah saya bangun kembali dan saya bersama 2 orang rakan baik melancarkan MalaysiaKitchenUK.”
Mereka juga melancarkan Malaysian Supper Club yang mana mereka menyewa sebuah kafe. “Kami masak 4 hidangan masakan Malaysia, jual tiket dan pelanggan menikmati masakan kami.”
“Setakat hari ini, semua SupperClub kami memang sold out. Alhamdulillah, saya juga sedang menulis resipi dan sedang mencari publisher untuk buku masakan pertama saya. InsyaAllah, saya harap rezeki saya akan ada di sini.”
Akui Zaleha lagi rancangan MasterChef itu sendiri menjadi tontonan kegemarannya. “Setiap tahun saya akan tonton MasterChef UK, MasterChef Australia dan MasterChef Amerika.”
Selepas bertahun-tahun menonton itulah baru dia diberi keberanian untuk menghantar borang permohonan. Sekadar mencuba nasib, tetapi dia tak menyangkan akan mendapat panggilan telefon dari kalangan ribuan peserta yang menghantar borang.
“Proses pemilihannya agar brutal. Pertama kami hantar borang permohonan yang berjela-jela panjangnya. Kemudian diikuti dengan temuduga telefon dan jika berjaya, kami harus membawa masakan ke unit audition untuk dirasa oleh MasterChef team. “
“Selepas berjaya dengan proses tersebut, kami akan dijemput untuk memasak di dapur MasterChef. Jika berjaya, itulah final 56 yang masuk TV.”
Siapa Sebenarnya Zaleha Kadir Olpin?
Nama penuh beliau Zaleha Haji Kadir Olpin. “Olpin itu surname suami saya.” Ibu usia 49 tahun ini berasal dari Pahang. Dibesarkan di Kuantan dan bersekolah di MGS Kuantan. Merupakan graduan RMIT Australia dan pernah bekerja di PETRONAS.
“Dunia masakan saya bermula selepas saya berpindah ke Australia di tahun 2002. Tinggal di luar negeri ni semua kena masak sendiri, tambahan pula being Muslim, makanan halal memang terhad.
“Di situlah saya belajar masak. Bil telefon tak terkiralah mahalnya sebab asyik telefon mak tanya cara nak masak. Dulu kan tak ada whatsapp dan skype call pun tak semua orang ada. Tambahan mak ayah saya, orang kampung, mana lah pandai nak skype ni semua.”
Keluarga mempunyai restoran dan ada perniagaan katering. “Boleh dikatakan everything abaout food”. Jadi dari kecil memang kami faham kalau mak dan ayah tak ada di rumah sebab mencari rezeki untuk membesarkan kami.
“Adik beradik saya 8 orang. Big family to feed. Masakan saya banyak di turunkan dari arwahmak saya. Mak memang banyak mengajar cara memasak masakan tradisional seperti rendang, gulai gulai masakan Pahang dan masakan India.”
Memang Tak Ada Sukatan, Semua Agak-agak
Belajar dengan mak, memang tak ada sukatan, semua agak agak. Saya percaya setiap keluarga ada resipi keluarga sendiri untuk kari, gulai dan rendang. Kami pun sama, ada resipi sendiri.
Bila pindah ke luar negara, repertoir masakan saya di perluaskan. Saya belajar memasak masakan dari Mexico, Arab, China, Thai, Vietnam, Greek, Hungary, Amerika Selatan, Jepun, Korea dan negara lain melalui kawan kawan expatriate.
“Bila suami kami ke pejabat, kami isteri isteri akan berkumpul dan belajar memasak masakan masing masing. Masakan antarabangsa saya kebanyakan nya saya belajar dari kawan kawan dari negara tersebut” Ujar Zaleha yang sudah menetap di Bristol 2 tahun lamanya.
“Walaupun saya dah tinggalkan Malaysia sejak 2001, hati saya tetap di Malaysia. InsyaAllah, kami memang bercadang untuk balik ke Malaysia selepas anak bongsu kami habis belajar. Buat masa sekarang, Bristol is home for good reasons.”
Akhiri Zaleha yang berimpian untuk memulakan perniagaan masakan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI