Umpama mimpi apabila tragedi kepala air melibatkan ahli keluarga sendiri. Adik kepada mangsa tragedi ini akui masih terkejut dengan kejadian yang melibatkan keluarga kakaknya dan berharap semoga masih ada mangsa yang terselamat.
“Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini.”
Demikian kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada Ahad.
Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.
Mengulas lanjut, dia memberitahu mengetahui kejadian tersebut setelah tular di media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.
“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.
“Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya.
7 Anak Saudara Terlibat Dalam Tragedi
Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.
“Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.
Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.
“Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).
Ads
“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.
Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
8 Identiti Mangsa Dikenal Pasti
Sementara itu, identiti 8 individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Ahad, dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.
Ads
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad malam.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini, malam tadi.
Mayat Ditemui Orang Ramai
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di sini, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang Ahad atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.
“Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.
“Esok (Isnin) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.
Ads
Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.
“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR pada Isnin akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.
Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.
Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Isnin untuk bedah siasat. – Bernama
‘Dihina bakal mertua rumah macam kandang.’ Akhirnya berjaya bina rumah baru, tiada niat tumpang senang bakal keluarga mertua. Tidak semua hubungan cinta diakhiri dengan perkahwinan.
Bertahun-tahun bercinta, akhirnya hubungan terputus dek kerana sikap bakal mertua. Kadang-kadang ibu atau bapa mertua membawa pengaruh besar dalam hubungan percintaan anak-anak.
DiHina Bakal Mertua
Beruntunglah bagi mereka yang mendapat mertua yang sporting dan tidak mengira asal usul keturunan. Namun ada juga segelintir mak ayah yang bersikap sebegini, memilih bakal menantu berdasarkan rupa, harta dan keturunan.
Nasib buruk ini turut dilalui oleh pengguna TikTok Eytamin. Pengalaman sedih ditinggalkan bekas kekasih kerana tidak mendapat restu bakal ibu mertua mendapat simpati ramai orang.
Rumah Macam Kandang
Sudahlah dihina rumahnya seperti kandang, malah wanita malang ini juga ditinggalkan bekas teman lelakinya gara-gara hubungan mereka tidak mendapat restu ibu.
Tanpa disangka kisah sedihnya membuatkan dia bangkit daripada kedukaan seterusnya berusaha mencari semangat untuk berubah dan buktikan dia juga mampu berjaya.
Akhirnya Berjaya Bina Rumah Baru
Setelah berbulan-bulan dihina akhirnya Eytamin berjaya membina sebuah rumah banglo miliknya sendiri hasil usaha kerasnya selama ini.
Biarpun sedih hubungan cintanya gagal di tengah jalan, namun sikap buruk bakal ibu mertua “tak jadi” telah mengubah hidup Eytamin sekeluarga.
Alhamdulillah, ada hikmah di setiap apa yang berlaku. Kejayaannya membina rumah hasil daripada titik peluh sendiri membuktikan dia bukanlah seorang wanita yang ingin menumpang kesenangan orang lain.
Komen Netizen:
Meninjau di ruangan komen, ramai yang mendoakan kebahagiaan Eytamin dan malah turut berasa bangga dengan kejayaan yang telah dikecapinya.
Malahan pada masa yang sama, beberapa pengguna TikTok turut berkongsi kisah yang hampir serupa dengan Eytamin iaitu ditinggalkan kerana miskin dan tak setaraf.
Syafie Naswip Nikah. Tahniah diucapkan buat pelakon Syafie Naswip dan pasangannya, Nurafiqah Ishak yang telah selamat diijabkabulkan di sebuah dewan di Putrajaya, pagi tadi.
Pemilik nama sebenar Muhammad Syafie Naswip telah menyerahkan mas kahwin RM300 dan duit hantaran sebanyak RM15,000.
Bagaikan satu kejutan buat peminat, Syafie akui dia sebenarnya tiada niat untuk merahsiakan pernikahan dengan isterinya.
Syafie Naswip Nikah
Rupanya sudah dua tahun Syafie menjalin hubungan dengan isterinya. Hanya orang yang terdekat ketahui tentang hal tersebut.
“Semakin menginjak dewasa saya rasa lebih elok jika hanya orang terdekat saja yang tahu mengenai hubungan ini.
“Cukup sekadar ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat yang selalu bersama saat susah dan senang tahu mengenai hubungan saya dengan Afiqah.
“Kami sudah berkawan sejak dua tahun lalu ketika terbabit dalam sebuah drama.
“Pada awalnya tiada bibit cinta pun, tapi selepas dua bulan tamat penggambaran kami berjumpa semula dan hubungan cinta mula berputik.
“Kami ambil masa enam bulan untuk meluahkan isi hati masing-masing dan ambil keputusan untuk bertunang secara rahsia,” katanya seperti mana dipetik menerusi Harian Metro.
Siarkan Majlis Nikah Secara Langsung Di Instagram
Memohon maaf dek kerana tidak mewar-warkan hubungan lebih awal dengan peminatnya. Syafie berharap majlis pernikahan yang diadakan secara langsung di Instagram dapat memberi kegembiraan kepada semua yang menonton.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kerjaya lakonan saya selama ini. Doakan perkahwinan ini kekal bahagia sehingga ke jannah.
“Walaupun mereka (peminat) tak dapat hadir menyaksikan pernikahan saya hari ini, tapi sekurang-kurangnya dapat menonton momen indah ini secara maya,” kongsinya.
“Bagi Anis Masa, Tidak Mahu Memaksa”. Baru-baru ini heboh apabila isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri atau Anis menanggalkan hijab. Malah timbul juga tanda tanya apabila Anis turut memadam foto bersama Haqiem di Instagram.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu itu dilanda kontroversi namun Haqiem menjelaskan dia cuba menjadi suami yang terbaik buat isterinya.
“Bagi Anis Masa, Tidak Mahu Memaksa”
Pasangan yang bernikah di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 19 November 2021 itu didakwa rumah tangga mereka dilanda badai apabila kelakuan Anis berkongsi beberapa foto yang memperlihatkan dirinya tidak lagi berhijab, seperti yang lazim dilihat sebelum ini. Sebaliknya, foto dipaparkan menunjukkan Anis berselendang untuk menutup sebahagian daripada rambutnya.
Seperti mana dilaporkan Harian Metro, Haqiem menjelaskan seperti mana rumah tangga orang lain dirinya juga tidak terkecuali. Malah isu isterinya menanggalkan hijab juga antara ujian buat Haqiem.
“Saya sebenarnya tidak mahu komen lebih (isu isteri tanggalkan hijab) sebab ini adalah berkaitan kehidupan peribadi.
“Cuma apa yang boleh dikatakan, saya sudah cuba sehabis baik untuk menjadi suami yang baik kepada Anis.
“Saya terima ujian ini dan masa sama berharap doa yang baik-baik daripada semua orang. Kita bagi dia (Anis) masa dan saya juga tidak mahu memaksa,” ungkap Haqiem.
Tidak Benar Rumah Tangga Retak
Haqiem juga turut menafikan desas desus gosip mengenai keretan rumah tangganya.
“Tidak kisahlah apa ‘assumption’ (andaian) atau siapa yang nak reka cerita kerana hubungan saya dengan isteri baik saja.
“Perkara ini mungkin timbul apabila saya sudah jarang upload (muat naik) di media sosial tetapi itu tidak bermakna hubungan rumah tangga saya bermasalah.
“Raya pun kami beraya di rumah keluarga dua-dua belah pihak dan datang ke Pulau Pinang juga bersama-sama,” terangnya.