Elyana mengakui pada peringkat awal apabila disahkan kanser, dia sememangnya zero tentang penyakit nan satu ini. Ketika itu masih belum pandai mencari maklumat tentang penyakit ini di internet dan tiada tempat untuk dirujuk melainkan doktor bagi mendapatkan informasi kala itu.
“Awalnya agak kelam kabutlah, saya juga jadi cepat stres. Disebabkan saya seorang selebriti dan bukannya seperti suri rumah tangga yang jadi telah terbiasa bekerja dan berhadapan dengan orang ramai. Saya tak boleh terima, dunia saya tiba-tiba hilang begitu sahaja apabila saya tak dapat bekerja sangat.
“Rupa saya jauh berbeza dan tak seperti ketika saya sihat dahulu. Rambut pula gugur, kuku bertukar hitam dan kening pun gugur. Setiap kali melihat diri sendiri di cermin, saya rasa seolah-olah orang lain. Sebenarnya sebagai seorang wanita kecantikan itu adalah mahkota kita. Jadi apabila lihat keadaan diri berubah tetapi memang saya rasa down sangat pada masa tu. Sebab keadaan kita berubah secara total apabila sakit,” katanya satu persatu.
Sebenarnya bukan sengaja Elyana merahsiakan tentang penyakitnya, sebenarnya bersebab. Niat utama dia merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan umum adalah tidak mahu orang bersimpati dengan keadaannya.
“Awal-awal dulu memang saya cuba merahsiakan penyakit saya daripada orang lain sebab saya ingin jadi seperti Elyana yang dulu. Apabila saya dapat tahu ada kanser, saya rasa ia pengakhiran hidup. Perasaan saya bercampur-baur, ada rasa malu, rasa down dan tak boleh nak buat kerja serta lakukan aktiviti lasak lagi.
“Saya sebenarnya rasa takut bila orang tahu saya sakit, orang akan beri layanan berbeza. Saya tak nak perkara itu berlaku. Satu lagi perkara yang saya tak suka apabila setiap kali berjumpa, orang akan tanya dah sihat ke belum dan komen tentang bentuk tubuh saya.
“Perkara ini sangat sensitif pada saya. Walaupun saya tahu kadang-kadang orang yang bertanya tak bermaksud negatif, tetapi pesakit kanser ia amat sensitif. Oleh sebab itu menjadi tujuan utama saya untuk tidak berkongsi tentang penyakit saya dengan orang lain,” jelas Elyana lagi.
Bagi pelantun lagu Diri ku Tapak Sulaiman, dirinya sama sekali menganggap segala kesakitan yang ditanggung perlu disorok dan hanya dikongsi dengan keluarga terdekat. Buatnya biarlah segala memori luka dan sakit disimpan sendiri dan bukanlah dicakna seluruh alam.
“Bagi saya, perkara yang paling baik adalah meninggalkan memori yang manis-manis dan indah agar orang ingat pada kita. Kalau kita nak cerita pasal sakit dan sedih sepanjang masa, ia tidak akan membantu orang lain menjadi positif juga.
“Media sosial ini sebenarnya pada saya ingin membuatkan orang yang melihat saya menjadi positif juga secara tak langsung terutama pesakit dan keluarga pesakit kanser.
“Setakat ini, perangsang saya untuk terus kuat adalah suami dan anak-anak. Saya bukan selalu fikir macam mana kalau saya tiada dalam kehidupan mereka sebaliknya kalau mereka tiada, bagaiamana keadaan saya. Oleh itu, saya perlu terus berjuang untuk mereka,” katanya lagi.
Bagi Elyana, antara hikmah daripada ujian penyakit kansernya ialah Allah menyedarkan dirinya agar lebih menghargai diri sendiri. Selama ini, dia merasakan telah menjaga diri dengan baik sekali dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan tetapi sebenarnya dia tidak pernah menjaga perasaannya sendiri.
Setiap hari, dia alpa menjaga perasaan orang lain daripada menjaga perasaan sendiri. Tetapi setelah diuji sakit, Elyana lebih menjaga perasaan dan juga perasaan orang-orang tersayang.
Manakala, hikmah keduanya pula menjadikan dia lebih kuat dan mendidik dirinya menjadi insan yang lebih bersabar. Elyana lebih selesa mengambil pendekatan take it easy dan insyallah Allah sentiasa ada membantu memudahkan kehidupannya kini.
“Saya pasti setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan kalau kita sentiasa berdoa pasti ada jalan penyembuhan yang Allah akan bagi. Oleh itu, kepada semua pesakit kanser di luar sana dan keluarga mereka, satu sahaja saya ingin pesan, jangan lupa support each other sebab pesakit kanser atau pesakit kronik perlukan sokongan insan tersayang.
“Sebenarnya enjoylah kehidupan ini sebab segalanya telah berlaku dan tiada apa yang dapat kita patah balik atau meratapi. Kita sememangnya tak mampu untuk melawan takdir. Apa yang boleh kita buat, teruskan kehidupan dan pandang ke hadapan.
“Jangan lupa berdoa dan berusaha melakukan ‘proses penyembuhan. Jika anda buat kimoterapi atau radioterapi, jangan lupa minum air banyak-banyak dan jangan lupa makan sebab badan kita perlukan tenaga dan stamina untuk melawan segala penyakit,” ujarnya yang berharap anda semua dapat mendoakan Elyana dan keluarganya mendapat penyembuhan daripada Allah SWT.
Di sebalik penderitaan Elyana, tiada siapa tahu betapa luluhnya perasaan suaminya, Khairul Anuar Hussin apabila mendapat tahu isterinya menghidap kanser limfoma pada tahun 2012.
“Masa awal-awal tahu Elyana kena kanser, macam-macam fikir sebab selalu orang cakap bila dapat kanser tak lama, hmmm… faham-fahamlah. Pengalaman paling sedih sekali apabila pertama kali dia buat kemo, dia terbaring 5 hingga 6 jam. Saya rasa macam isteri saya sangat terseksa dengan apa yang dia alami.
“Saya pernah mengalirkan air mata, segalanya berlaku secara spontan sebab kita tak pernah bayangkan kita akan lalui semua perkara ini, terutama pada kemo yang ketiga sebab saya tahu apa yang bakal dilalui Elyana selepas itu. Balik sahaja rumah, keadaan yang sama akan berulang, Elyana tak boleh tidur, tak boleh makan dan minum.
“Saya juga sedih apabila orang berjumpa dengan Elyana dan mereka tegur bahawa dia dah tak sakit ke? Orang luar anggap sakit kanser ini macam sakit biasa seperti demam. Orang ingat, bila Elyana happy, dia sudah sembuh. Padahal mereka tak berada bersama ketika dia sakit.
“Mereka tak tahu macam mana keadaan Elyana bila dia sakit. Elyana sebenarnya bukan seorang yang suka tunjukkan dia sakit dan dia memang bukan jenis yang suka meminta belas kasihan. Dia memang tak mahu tunjuk dan orang tahu dia sakit,” jelas Khairul Anuar lagi.
Ternyata bukan mudah menjadi pasangan kepada pesakit kanser kerana diri mereka perlu lebih kuat. Setiap kali sang isteri merintih, Khairul Anuar akan memujuk dan mengingatkan Elyana bahawa apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah.
Setiap yang berlaku dalam hidupnya dan Elyana adalah atas kuasa Allah, malahan inilah caranya Allah memberi mereka pahala. Perkara paling penting yang mereka terapkan selama ini adalah bersikap sabar, walaupun payah sebenarnya. Perkara kedua yang menjadi penguat untuk Elyana kuatkan semangat adalah anaknya iaitu Cinta Sumayyah, 8 tahun.
“Setiap kali isteri rasa down, mula-mula saya akan coolkan diri sendiri. Saya akan lakukan solat sunat, kemudian barulah saya boleh hadap emosi dia. Tetapi setakat ini, Elyana memang dapat lalui apa yang telah terjadi.
“Jujurnya, saya yang berada serumah dengannya kadang-kadang hairan dari mana isteri saya dapat kekuatan untuk menempuh semua ini. Macam mana dia kuat dan bertenanaga pergi show dan tunjuk dia happy. Tapi saya percaya ini semua adalah kerja Allah,” luahnya jujur yang sentiasa menjaga kesihatan sendiri kerana sering kali diingatkan .
****************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Disember, volume 2 yang kini telah pun berada di pasaran.
Penyelaras: Norhayati Suboh & Nur Syazwani Mehat
Teks: Nur Syazwani Mehat
Foto: Tuan Azman Tuan Muda
Video: Azfarina Sulaiman
Solekan & Dandanan: Syhimran
Tajaan Pakaian: The Hashtag