Uncategorized

Satu Persatu Penyakit Dikesan, Hospital Jadi Rumah Zulfa

Share

Ketika kisah ini ditulis, bayi comel bernama Nur Zulfa bt Mohd Fadzli sedang dirawat Hospital Serdang, Selangor. Ini kali ketujuh Zulfa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Betapa hebat dugaan dugaan yang dihadapi oleh bayi comel yang dilahirkan pada 4 Julai 2018 ini.

Kelahiran Nur Zulfa bt Mohd Fadzli membawa kegembiraan buat kedua ibu bapanya. Wajah comel yang ditunggu-tunggu setelah sembilan bulan berada dalam kandungan ternyata menyerikan lagi keluarga yang semakin membesar.

Namun kegembiraan itu tidak mampu bertahan lama apabila ibunya Zuraini Razali  mengesyaki sesuatu telah berlaku apabila anak bongsunya itu tidak mahu menyusu badan seperti bayi lain setelah dilahirkan.

“ Masa hamil doktor tidak mengesyaki sebarang kekurangan pada bayi. Semuanya baik belaka. Zulfa anak kelima saya. Sebelum ini ketika mengandungkan anak pertama hingga anak keempat saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

” Jadi apabila hamil anak kelima ini, saya anggap segala-galanya baik. Malah sewaktu Zulfa dilahirkan, doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak mengesyaki sebarang masalah. Cuma masa di bilik bersalin, Zulfa tidak mahu menyusu badan.

” Ketika itu saya rasa pelik kenapa baby tidak mahu menyusu. Sebelum ini keempat-empat anak saya ok sahaja. Mereka pandai sahaja menyusu ketika berada di bilik bersalin. Saya fikir mungkin Zulfa tidak pandai. Bagi masa pada dia,” ujar Zuraini membuka perbualan.

Zuraini tabah demi Zulfa

Rujuk Pakar

Selepas dua hari dilahirkan, Zulfa tidak lagi mahu menyusu. Dia menangis sebab lapar. Sebagai ibu, naluri Zuraini mula terdetik ada sesuatu yang tidak kena.

“ Saya mula periksa apa yang tidak kena pada Zulfa. Selepas itu saya mula perasan ada sesuatu yang pelik pada lelangit mulut Zulfa. Saya beritahu doktor keadaan tersebut. Doktor periksa dan beritahu tidak ada apa-apa.

” Kemudian tunjuk lelangit mulut Zulfa pada emak mentua yang juga seorang jururawat. Dia beritahu mungkin Zulfa ada sumbing lelangit. Saya anggap sebab itu Zulfa tidak menyusu sebab langit jadi luas.”

” Hanya setelah Zulfa mengalami masalah kuning dan penat sebab tidak menyusu, barulah Zulfa dirujuk kepada doktor pakar. Doktor pakar mengesahkan Zulfa ada masalah cleft palate atau lelangit rekah. Tetapi doktor tidak dapat memastikan adakah sebab cleft palate ini bayi tidak mahu menyusu.”

” Bermula dari situ rawatan selanjutnya diberikan kepada Zulfa. Dia dipakaikan tiub untuk memudahkan susu dimasukkan melalui hidung. Sambil bagi susu melalui tiub, doktor juga memberikan botol khas untuk memberi susu.

” Botol itu akan ditekan-tekan bagi mengeluarkan susu untuk diberikan kepada Zulfa kerana bayi tidak akan menghisap jika diberi begitu sahaja.”

Selepas seminggu di hospital di Kuantan, doktor tidak mengesyaki Zulfa menghidap penyakit lain selain masalah cleft palate. Cuma Zuraini sedar setiap kali anaknya diberi susu, Zulfa akan berasa penat dan berhenti dan biar susu itu keluar dari mulut. Hanya separuh sahaja susu yang yang mampu diminum anaknya.

Lelangit Rekah, Jantung Berlubang

Hospital jadi rumah kedua

Setelah dibenarkan balik ke rumah setelah 10 hari di hospital, Zulfa diberi minum susu menggunakan botol khas. Tidak ada lagi tiub digunakan.

“ Pada usia Zulfa 30 hari, jururawat yang ulang-alik melakukan pemeriksaan di rumah rasa pelik kenapa berat badannya semakin menurun setiap minggu. Dia suruh saya bawa jumpa doktor. Doktor terus tahan Zulfa di hospital Muadzam Shah selama seminggu.

” Doktor memantau penyusuan Zulfa melalui mulut dan melalui tiub. Saya perhatikan Zulfa akan berhenti sebelum separuh susunya habis. Dia jadi penat. Hari terakhir di hospital, kebetulan ada seorang pakar kanak-kanak datang melawat.

” Dia periksa dan memberitahu ada masalah pada Zulfa. Dia telah merujuk Zulfa pada HTAA agar boleh pemeriksaan kardiologi dan pemeriksaan selanjutnya dilakukan. Dia mengesyaki Zulfa mengalami masalah jantung berlubang.

” Masa itu saya rasa dunia ini gelap. Tidak terjangka saya. Sudahlah saya baru hendak terima kenyataan Zulfa ada cleft palate, kini ada lagi berita yang mengejutkan saya.”

Keesokan harinya Zuraini telah membawa anaknya ke HTAA. Dia ingatkan pemeriksaan biasa sahaja. Rupa-rupanya sangkaan doktor pakar itu benar belaka.  Zulfa didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang.

“ Pada masa itu jantung Zulfa sudah bengkak dan banyak jangkitan sebabnya kami telah memaksanya minum susu sebelum ini. Zulfa dan penat tapi kami paksa juga dia minum ikut mulut dan ikut tiub. Berlaku jangkitan juga akibat itu. Selama sebulan Zulfa ditahan di HTTA bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

” Zulfa dilahirkan normal. Budaknya gemuk. Memang saya tidak mengesyaki sebarang masalah. Apabila ada satu persatu masalah saya mula rasa risau,” jelas Zuraini dengan sayu.

Kekuatan Luar Biasa

Bayi comel ini mula mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor apabila Zuraini mula berpindah ke tempat kerja baru di Uniten Putrajaya. Sewaktu cerita ini ditulis, Zuraini hanya boleh melawat anaknya di hospital kerana Zulfa ditahan dalam wad PCICU.

“ Sebelum ini, Zulfa pernah dirujuk di Institut Jantung Negara (IJN) setelah pemeriksaan yang dibuat di HTAA mendapat banyak lagi masalah kesihatan pada Zulfa. Masa di HTAA doktor hanya mengesyaki 4 masalah kesihatan pada Zulfa iaitu masalah jantung berlubang, salur tekak sempit, lelangit rekah dan sindrom tulang rahang kecil.

” Di IJN doktor mahu fokus masalah jantung. Tetapi doktor dapat mengesan tiga masalah jantung lagi. Zulfa ada mengalami masalah Large perimembranous ventrile septal defect (VSD); patent foramen ovale (PFO/ASD); partial anomalous pulmonary venous drainage in heart failure (PAPVD).”

Jelas Zuraini lagi, pembedahan jantung dijangka boleh dilakukan setelah berat bayinya mencapai 10 kg lebih.

“ Sekarang ini berat Zulfa hanya 3.9 kg. Bila la agaknya hendak mencapai 10 kg itu. Ditambah lagi defect kedua berkaitan salur pernafasan yang dipanggil Mild Laryngomalacia. Juga bakal dilakukan pembedahan kedua, setelah pembedahan jantung untuk membuang bahagian yang menutup salur pernafasan.

” Defect ketiga, cleft palate. Perlu juga pembedahan untuk menutup ruang lelangit mulut yang terbuka. Defect ini yang saling berkait, membuatkan baby susah untuk menyusu dan selalu tidak selesa bernafas. Bayangkan anak sekecil ini melalui semua kesakitan sedemikian,” ujarnya sayu.

Positif

Kekuatan yang Allah beri pada bayinya membuatkan Zuraini banyak berfikir.

“ Allah itu sebenarnya memberi kita kekuatan sangat luar biasa. Cuma kita sedar atau tidak. Selalu cakap “ aku tidak mampu” , “ aku tidak kuat” tapi sebenarnya kita melebihi dari apa yang kita fikirkan.

” Jika anak kecil ini tetap ceria, tabah, bertahan dengan bermacam ketidakselesaan, kesakitan, bagaimana dengan kita? Mana datangnya kelemahan yang kita canangkan. Allah menguji mengikut kemampuan hambanya. Jika anak sekecil ini mampu lalui ujian sebesar ini, kita yang dewasa ini bagaimana agaknya.”

Sesungguhnya Zuraini rasa malu pada anaknya. Zuraini sering mengeluh dengan hidupnya ini. Tetapi melihatkan kuatnya Zulfa melalui hari-hari yang mendatang, ia membuatkan hati Zuraini semakin kuat.

“ Kehadiran Zulfa mengajar tentang banyak perkara yang positif. Alhamdulillah. Allah mendidik dengan caraNya yang sukar kita fahami dengan mata zahir.”

Foto: Zuraini Razali

Published by
Julie Roshana