Ketika kisah ini ditulis, bayi comel bernama Nur Zulfa bt Mohd Fadzli sedang dirawat Hospital Serdang, Selangor. Ini kali ketujuh Zulfa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Betapa hebat dugaan dugaan yang dihadapi oleh bayi comel yang dilahirkan pada 4 Julai 2018 ini.
Kelahiran Nur Zulfa bt Mohd Fadzli membawa kegembiraan buat kedua ibu bapanya. Wajah comel yang ditunggu-tunggu setelah sembilan bulan berada dalam kandungan ternyata menyerikan lagi keluarga yang semakin membesar.
Namun kegembiraan itu tidak mampu bertahan lama apabila ibunya Zuraini Razali mengesyaki sesuatu telah berlaku apabila anak bongsunya itu tidak mahu menyusu badan seperti bayi lain setelah dilahirkan.
“ Masa hamil doktor tidak mengesyaki sebarang kekurangan pada bayi. Semuanya baik belaka. Zulfa anak kelima saya. Sebelum ini ketika mengandungkan anak pertama hingga anak keempat saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
” Jadi apabila hamil anak kelima ini, saya anggap segala-galanya baik. Malah sewaktu Zulfa dilahirkan, doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak mengesyaki sebarang masalah. Cuma masa di bilik bersalin, Zulfa tidak mahu menyusu badan.
” Ketika itu saya rasa pelik kenapa baby tidak mahu menyusu. Sebelum ini keempat-empat anak saya ok sahaja. Mereka pandai sahaja menyusu ketika berada di bilik bersalin. Saya fikir mungkin Zulfa tidak pandai. Bagi masa pada dia,” ujar Zuraini membuka perbualan.
Zuraini tabah demi Zulfa
Rujuk Pakar
Selepas dua hari dilahirkan, Zulfa tidak lagi mahu menyusu. Dia menangis sebab lapar. Sebagai ibu, naluri Zuraini mula terdetik ada sesuatu yang tidak kena.
“ Saya mula periksa apa yang tidak kena pada Zulfa. Selepas itu saya mula perasan ada sesuatu yang pelik pada lelangit mulut Zulfa. Saya beritahu doktor keadaan tersebut. Doktor periksa dan beritahu tidak ada apa-apa.
” Kemudian tunjuk lelangit mulut Zulfa pada emak mentua yang juga seorang jururawat. Dia beritahu mungkin Zulfa ada sumbing lelangit. Saya anggap sebab itu Zulfa tidak menyusu sebab langit jadi luas.”
” Hanya setelah Zulfa mengalami masalah kuning dan penat sebab tidak menyusu, barulah Zulfa dirujuk kepada doktor pakar. Doktor pakar mengesahkan Zulfa ada masalah cleft palate atau lelangit rekah. Tetapi doktor tidak dapat memastikan adakah sebab cleft palate ini bayi tidak mahu menyusu.”
Ads
” Bermula dari situ rawatan selanjutnya diberikan kepada Zulfa. Dia dipakaikan tiub untuk memudahkan susu dimasukkan melalui hidung. Sambil bagi susu melalui tiub, doktor juga memberikan botol khas untuk memberi susu.
” Botol itu akan ditekan-tekan bagi mengeluarkan susu untuk diberikan kepada Zulfa kerana bayi tidak akan menghisap jika diberi begitu sahaja.”
Selepas seminggu di hospital di Kuantan, doktor tidak mengesyaki Zulfa menghidap penyakit lain selain masalah cleft palate. Cuma Zuraini sedar setiap kali anaknya diberi susu, Zulfa akan berasa penat dan berhenti dan biar susu itu keluar dari mulut. Hanya separuh sahaja susu yang yang mampu diminum anaknya.
Lelangit Rekah, Jantung Berlubang
Hospital jadi rumah kedua
Setelah dibenarkan balik ke rumah setelah 10 hari di hospital, Zulfa diberi minum susu menggunakan botol khas. Tidak ada lagi tiub digunakan.
“ Pada usia Zulfa 30 hari, jururawat yang ulang-alik melakukan pemeriksaan di rumah rasa pelik kenapa berat badannya semakin menurun setiap minggu. Dia suruh saya bawa jumpa doktor. Doktor terus tahan Zulfa di hospital Muadzam Shah selama seminggu.
” Doktor memantau penyusuan Zulfa melalui mulut dan melalui tiub. Saya perhatikan Zulfa akan berhenti sebelum separuh susunya habis. Dia jadi penat. Hari terakhir di hospital, kebetulan ada seorang pakar kanak-kanak datang melawat.
” Dia periksa dan memberitahu ada masalah pada Zulfa. Dia telah merujuk Zulfa pada HTAA agar boleh pemeriksaan kardiologi dan pemeriksaan selanjutnya dilakukan. Dia mengesyaki Zulfa mengalami masalah jantung berlubang.
Ads
” Masa itu saya rasa dunia ini gelap. Tidak terjangka saya. Sudahlah saya baru hendak terima kenyataan Zulfa ada cleft palate, kini ada lagi berita yang mengejutkan saya.”
Keesokan harinya Zuraini telah membawa anaknya ke HTAA. Dia ingatkan pemeriksaan biasa sahaja. Rupa-rupanya sangkaan doktor pakar itu benar belaka. Zulfa didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang.
“ Pada masa itu jantung Zulfa sudah bengkak dan banyak jangkitan sebabnya kami telah memaksanya minum susu sebelum ini. Zulfa dan penat tapi kami paksa juga dia minum ikut mulut dan ikut tiub. Berlaku jangkitan juga akibat itu. Selama sebulan Zulfa ditahan di HTTA bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
” Zulfa dilahirkan normal. Budaknya gemuk. Memang saya tidak mengesyaki sebarang masalah. Apabila ada satu persatu masalah saya mula rasa risau,” jelas Zuraini dengan sayu.
Kekuatan Luar Biasa
Bayi comel ini mula mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor apabila Zuraini mula berpindah ke tempat kerja baru di Uniten Putrajaya. Sewaktu cerita ini ditulis, Zuraini hanya boleh melawat anaknya di hospital kerana Zulfa ditahan dalam wad PCICU.
“ Sebelum ini, Zulfa pernah dirujuk di Institut Jantung Negara (IJN) setelah pemeriksaan yang dibuat di HTAA mendapat banyak lagi masalah kesihatan pada Zulfa. Masa di HTAA doktor hanya mengesyaki 4 masalah kesihatan pada Zulfa iaitu masalah jantung berlubang, salur tekak sempit, lelangit rekah dan sindrom tulang rahang kecil.
Ads
” Di IJN doktor mahu fokus masalah jantung. Tetapi doktor dapat mengesan tiga masalah jantung lagi. Zulfa ada mengalami masalah Large perimembranous ventrile septal defect (VSD); patent foramen ovale (PFO/ASD); partial anomalous pulmonary venous drainage in heart failure (PAPVD).”
Jelas Zuraini lagi, pembedahan jantung dijangka boleh dilakukan setelah berat bayinya mencapai 10 kg lebih.
“ Sekarang ini berat Zulfa hanya 3.9 kg. Bila la agaknya hendak mencapai 10 kg itu. Ditambah lagi defect kedua berkaitan salur pernafasan yang dipanggil Mild Laryngomalacia. Juga bakal dilakukan pembedahan kedua, setelah pembedahan jantung untuk membuang bahagian yang menutup salur pernafasan.
” Defect ketiga, cleft palate. Perlu juga pembedahan untuk menutup ruang lelangit mulut yang terbuka. Defect ini yang saling berkait, membuatkan baby susah untuk menyusu dan selalu tidak selesa bernafas. Bayangkan anak sekecil ini melalui semua kesakitan sedemikian,” ujarnya sayu.
Positif
Kekuatan yang Allah beri pada bayinya membuatkan Zuraini banyak berfikir.
“ Allah itu sebenarnya memberi kita kekuatan sangat luar biasa. Cuma kita sedar atau tidak. Selalu cakap “ aku tidak mampu” , “ aku tidak kuat” tapi sebenarnya kita melebihi dari apa yang kita fikirkan.
” Jika anak kecil ini tetap ceria, tabah, bertahan dengan bermacam ketidakselesaan, kesakitan, bagaimana dengan kita? Mana datangnya kelemahan yang kita canangkan. Allah menguji mengikut kemampuan hambanya. Jika anak sekecil ini mampu lalui ujian sebesar ini, kita yang dewasa ini bagaimana agaknya.”
Sesungguhnya Zuraini rasa malu pada anaknya. Zuraini sering mengeluh dengan hidupnya ini. Tetapi melihatkan kuatnya Zulfa melalui hari-hari yang mendatang, ia membuatkan hati Zuraini semakin kuat.
“ Kehadiran Zulfa mengajar tentang banyak perkara yang positif. Alhamdulillah. Allah mendidik dengan caraNya yang sukar kita fahami dengan mata zahir.”
Foto: Zuraini Razali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Susu Kultur seringkali dimomokkan sebagai minuman untuk perut ‘sihat’ dan ‘baik’ untuk usus. Namun hakikat yang sebenar adalah sebaliknya. Peringatan penting buat mak ayah, sebelum nak beli Susu Kultur untuk anak, mohon faham baca label dan kandungan minuman ini dahulu.
Melalui perkongsian oleh Puan Intan Nornie Sheika yang gemar menulis mengenai ilmu pemakanan sihat, wanita ini mengajar cara mudah untuk faham baca label minuman susu kultur serta bahayanya gula tambahan yang tersembunyi pada anak-anak.
Berikut antara perkongsiannya;
Susu kultur.
Antara stok wajib ada di rumah. Minuman untuk perut yang sihat. Kita dimomokkan sebegini bukan oleh industri susu kultur komersil ?
GULA TAMBAHAN TERSEMBUNYI
Perhatikan di bahagian label minuman. Ada perkataan fruktosa ? Dibahagian depan sekali atau paling hujung ?
+ Bahan yang dicatatkan paling awal dalam label bahagian isi kandungan (ingredient) adalah paling banyak digunakan.
Perhatikan contoh gambar. Label minuman ****is. Dikatakan perisa Asli. Dan tertera di bahagian maklumat pemakanan, mengandungi 39.2g gula ! Ramuannya juga, dimulai dengan air gula dan susu skim. Juga terdapat ejen antibuih.
Gula fruktosa adalah punca utama pada kucar-kacir sistem pertahanan tubuh. Saraf rosak dan otak lembab.
Punca obesiti dan ketagihan gula yang sangat teruk pada kanak-kanak.
BERI ANAK REAL FOOD
Jika benar ibubapa ingin menjaga kesihatan usus anak perkara pertama yang harus dilakukan ialah BERI ANAK MAKAN ‘REAL FOOD’.
Makanan yang baik untuk usus adalah yang datang dalam bentuk semulajadi. Mahukan bakteria baik ? Usahakan beri anak-anak makan makanan yang ditapai atau melalui fermentasi. Paling mudah, sayur jeruk atau buah-buahan jeruk melalui kaedah yang betul.
ASAS SISTEM PENGHADAMAN
Kemudian amalkan ajaran agama kita, ia memang asas untuk sistem penghadaman yang baik. ‘Gut healing’ secara alami.
+ Kunyah makanan lebih lama (enzim amilase dalam airliur)
+ Makan dengan tangan kanan (ada manfaat dari segi penghadaman)
+ Jilat jari selepas makan (membantu enzim amilase semasa mengunyah lebih efektif)
+ Badan tegak semasa makan (perjalanan makanan di esofagus ke usus)
Bila tibu bercerita tentang susu kultur komersil, tibu tidak mengajak anda semua boikot pasaran makanan komersil.
Nehi kabhi nehi.
Tibu ajak, kita semua cakna membaca label. Itu sahaja.
Nota Trivia pemakanan : Susu Kultur
Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dan kongsikan juga kepada ibu bapa yang lain.
Semoga kita sama-sama menjaga pemakanan anak-anak dan berikan yang terbaik buat mereka.
Rupanya mak ayah tak perlu belikan dan sediakan anak-anak dengan mainan yang banyak. Memadai mainan yang terhad dan sedikit kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan positif anak-anak nanti. Ini tidak, lumrah mak ayah untuk menggembirakan anak-anak, punyalah macam-macam jenis mainan dibelikan, sampai tak de tempat nak simpan dirumah tu. Belum campur mainan yang bersepah-sepah, tak sempat dimain dan sebagainya.
Kelebihan anak hanya bermain dengan mainan yang sedikit ini didedahkan oleh Hazhari Ismail, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak.
Berikut antara perkongsian ilmu oleh beliau yang boleh mak ayah jadikan panduan;
Betul ke parents kena sediakan toys yang banyak kepada anak-anak?
Lazimnya, toys dan kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan. Lambakan toys di pasaran memudahkan ibu bapa untuk membeli dan memberikan kepada anak-anak. Dari sekecil-kecil saiz, sehingga sebesar-besarnya. Serta, juga adalah sesuatu yang normal jika rumah disepahkan dengan toys tidak terkira. Untuk perkembangan anak-anak katanya.
Persoalannya, adakah benar memberikan toys yang terlampau banyak memberikan kesan yang positif kepada perkembangan mereka?
TOYS banyak VS. TOYS sedikit
Kajian tentang “The Influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play” menjumpai toys yang ‘disisihkan’ akan mengurangkan kualiti waktu bermain, dan toys yang sedikit meningkatkan fokus serta attention span, juga promote kreativiti.
Bagaimana?
Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan toys yang sedikit (masih lagi ada pilihan), mereka akan bermain dengan setiap mainan lebih lama dan lebih banyak interaksi. Ia termasuklah akal mereka yang terus berkembang untuk berimaginasi dan pretend play, self-expression, kemahiran fine motor skill dan koordinasi, even menyelesaikan masalah!
1.Menjadi Lebih Kreatif
Ada satu kajian yang dijalankan di nursery di Munich yang mengeluarkan toys di dalam premis. Pada peringkat awal, kanak-kanak akan menjadi bosan, tetapi lama-kelamaan, mereka menggunakan barang basic atau resources dari persekitaraan untuk mencipta games dan berimaginasi yang lagi tinggi untuk bermain!
2.Memanjangkan Attention Span
Mainan yang terlalu banyak akan distract kanak-kanak untuk kekal fokus. Contohnya, jika permainan itu memerlukan problem solving skill, mereka berpindah kepada toys yang lain jika gagal menyelesaikan masalah dek kerana pilihan permainan lain yang lebih mudah. Jadi, kemahiran problem solving yang diinginkan itu tidak menjadi.
3.Kemahiran Bersosial Menjadi Lebih Baik
Dalam perkembangan sosial, bukanlah semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling. Tapi, kanak-kanak belajar how to maintain relationship dengan kawan-kawan dalam tempoh masa yang panjang dengan wujudnya hubungan secara interpersonal. Mereka akan menghargai orang sekeliling.
4.Menjaga Barang
Ini benda penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan toys sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar untuk menjaga dan menghargai barang sendiri. Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang. Jadi, tidak lah bila lalu di depan kedai mainan, kita tidak mengajar mereka untuk sentiasa beli toys yang baru.
5.Belajar Berkongsi
Jika kita ada toys yang sedikit, mungkin di peringkat awal perebutan dan fighting akan berlaku antara kanak-kanak sebaya di taska/tadika, atau mungkin antara adik-beradik di rumah. Walaubagaimanapun, ‘pergaduhan’ itu perlu berlaku untuk establish sifat toleransi, kerjasama dan berkongsi. Maka, mereka akan jadi less selfish pada masa hadapan.
Nak kena buang ke toys yang berlambak dalam bakul kain tu?
Eh tak. Membazir kan tak elok. Ibu bapa boleh berikan toys secara berkala. Grouping kan toys tersebut. Berikan positive reinforcement. Tanya anak-anak, betul ke nak main toys banyak-banyak ni. Jadi ibu bapa takdelah nak pening kepala. Pening dengan toys yang dibeli tapi tak main (or belum main lagi). Dan pening dengan toys yang bersepah-sepah.Dah lah sakit kaki kalau terpijak.
Disclaimer – Saya bukanlah anti-toys. Saya melihat kesan kepada development kanak-kanak. Kalau toys yang banyak itu sesuatu yang merugikan developmentally and economically, marilah kita cari jalan lain yang lebih baik.
*Project ‘Der Spielzeugfreie Kindergarten’ (English version) by Regular Eissing
**The influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play by Dauch et al (2018)
Tiap insan yang dilahirkan di muka bumi Allah ini dijanjikan dengan kemuliaan dan kehebatan dengan kalam Allah “sebaik-baik kejadian” dalam surah at- tin ayat 4. Dan kemuliaan itu adalah atas pengiktirafan khalifah yang diberikan oleh Allah SWT terhadap manusia yang mengangkat kedudukannya melebihi makhluk lain di muka bumi ini.
Selain itu, kehebatan dan kemuliaan ini juga adalah nisbah kepada fitrah manusia yang sempurna yang cenderung kepada kebaikan dan kehambaan. Beginilah asal usul kejadian makhluk bernama manusia, fitrahnya hebat dan kejadiannya diangkat melebihi keadaan makhluk lain dengan anugerah akal dan fikiran.
Tiap Orang Ada Tanggungjawab
Walau bagaimanapun, keadaan ini bukan untuk dibanggakan dan menjadikan kita makhluk yang sombong di muka bumi Allah. Malah dengan kehebatan ini hadir bersamanya tanggungjawab kehambaan dan kekhalifahan yang harus kita hayati dan tunaikan.
Di sinilah seharusnya kita menjadi sebaik-baik hamba di sisi Allah dan sebaik-baik khalifah kerana Allah telah menyediakan segala keperluan untuk kita, malah setiap makhluk di dunia ini juga adalah bertujuan untuk berkhidmat untuk manusia. Maka tidak ada alasan untuk tidak menunaikan kedua-dua tanggungjawab ini dengan baik.
Begitu jugalah keadaannya anak-anak kita yang baru menjengah dunia. Mereka masih baru dan mudah untuk diberikan kefahaman kerana terlalu hampir dengan fitrah kejadian manusia. Justeru, tanggungjawab kita selaku orang terhampir dan pemegang amanah untuk memberikan kefahaman tersebut kepada mereka. Wahai anak, fitrah mu hebat dan tanggungjawabmu di dunia ini besar. Jadi ilmu harus kau tuntut agar kau lebih dekat dengan-Nya dan mendapat petunjuk daripada-Nya.
Tiap Orang Ada Kelebihan Dan Kelemahan
Apabila memahami keadaan ini, seharusnya apakah yang menjadi fokus kita dalam memberikan pendidikan yang terbaik untuk diri mereka, sama ada kelebihan mereka yang hakiki sebagaimana yang kita bincangkan di atas atau kelemahannya yang bergantung pada persepsi kita yang terbatas?
Saya katakan kelemahan ini hanyalah persepsi kerana kita hanya memberikan label bahawa anak lemah di sana dan di sini berdasarkan akal kita yang terbatas dan pengetahuan kita berdasarkan apa yang kita dapat lihat sahaja.
Justeru, daripada dua keadaan ini, seharusnya kita berpaksikan sesuatu yang pasti iaitu kelebihan yang sudah pun dipaterikan di dalam Al-Quran dan memberikan fokus terhadap pengukuhannya dalam diri anak-anak.
Untuk itu, kita harus tidak tertipu dengan apa yang kita lihat sahaja tanpa mengambil kira hakikat kejadiannya yang amat sempurna dan fitrahnya yang hebat. Kita harus percaya dan menyalurkan kepercayaan tersebut ke dalam diri anak melalui persekitaran yang mendukung fitrah anak.
Oleh yang demikian, kita harus banyak memuji anak dan menegur kesilapannya dengan menyatakan apa sepatutnya dia lakukan dalam konteks yang baik kerana inilah fitrahnya. Walau bagaimanapun, jika kita terlalu fokus dengan apa yang kita lihat sahaja sudah tentu kita cenderung untuk melihat kekurangan anak dan memberikan label yang pelbagai kepada dirinya. Sudah tentu ia bersalahan dengan fitrah dirinya yang sebenar. Sekali gus kita membenamkan fitrah itu dan menyekat fitrah itu daripada menjadi dirinya.
Persepsi Anak Terhadap Dirinya Sendiri
Lebih parah lagi, persepsi itu dapat difahami dan disalurkan menjadi persepsi dan kepercayaan anak terhadap dirinya sendiri. Kemudian, dia sendiri akan memberi label yang sama terhadap dirinya. Bagaimana anak mendapat mesej ini adalah melalui persekitaran yang kita bina di dalam persekitarannya. Ini kerana, apa yang kita percaya akan mempengaruhi tindakan kita.
Contohnya, jika pada persepsi kita, anak itu adalah seorang yang baik hati, maka kita akan menyantuni dan berbangga dengan dirinya. Kita tidak akan segan untuk membawanya ke khalayak dan sangat gembira dengan keadaannya. Walau bagaimanapun, jika kita menganggap anak itu seorang yang sukar untuk dikawal maka kita akan menjadi terlalu garang dengannya, malah kita memilih untuk tidak membawanya ke khalayak kerana pada persepsi kita anak ini sukar dikawal dan akan menyusahkan kita.
Persekitaran Anak Diwujudkan Oleh Ibu Bapa
Jadi contoh ini memberikan bukti bahawa tindakan kita tidak boleh dipisahkan dengan persepsi kita terhadap sesuatu. Dalam pada itu, segala persepsi ini adalah melalui persepsi anak terhadap persekitaran yang dibina oleh ibu bapanya. Dalam kata lain, kelakuan anak yang menimbulkan persepsi ibu bapa yang pelbagai itu adalah hasil daripada persepsi yang dibina melalui maklumat yang diperoleh daripada persekitarannya. Dan persekitaran ini adalah tanggungjawab ibu bapa.
Oleh yang demikian, berikanlah fokus kepada kelebihannya kerana perkara itu adalah perkara yang hakiki dan dinyatakan Allah dalam al-Quran, maka ia adalah pasti. Sebaliknya, kelemahan yang kita lihat pada diri anak hanyalah persepsi yang hadir daripada perlakuan anak yang dapat kita lihat sahaja.
Apa yang harus dilakukan untuk membetulkannya adalah dengan membetulkan persekitaran yang kita bina dalam keluarga dan persekitarannya berdasarkan kepada keyakinan terhadap perkara yang pasti iaitu fitrah dan kejadian diri anak yang hebat. Wallahualam.