Bayi ‘mengandungkan’ kembar sendiri mungkin satu perkara pelik namun ia benar-benar berlaku dalam dunia perubatan.Tiada apa pun yang mustahil dengan kekuasaan dan izin Nya.Seorang bayi perempuan yang masih dalam kandungan dikatakan ‘mengandung’ kembarnya sendiri di dalam perutnya di sini baru-baru ini di Barranquilla, Columbia.
Kejadian aneh itu disedari oleh seorang pakar sakit puan, Dr. Miguel Parra-Saavedra. Dia mengesan kehadiran janin yang lebih kecil menerusi imbasan ultrabunyi selepas pemeriksaan awal mengesyaki bayi tersebut mungkin mengalami ketumbuhan pada hatinya.
Bayi bernama Itzamara seberat 3.17 kilogram dilahirkan pada 22 Februari lalu selepas sepasukan pakar bedah terpaksa melakukan pembedahan Caesarean di klinik La Merced bagi mengelakkan kembarnya terus membesar dan merosakkan organ dalamannya.
Sehari kemudian, pakar-pakar bedah melakukan pembedahan bagi mengeluarkan kembarnya berukuran 45 milimeter panjang dan seberat 14 gram yang meninggal dunia sebaik tali pusatnya dipotong. Janin tersebut mempunyai tangan serta kaki, namun tidak mempunyai jantung atau otak.
“Ia adalah perkara paling pelik dan menarik yang anda dapat lihat dalam bidang perubatan,” kata Parra-Saavedra kepada akhbar tempatan, The Herald.
Ibu bayi tersebut, Monica Vega, 33, mulanya tidak mempercayai perkara itu, namun menerima hakikat itu selepas dia ditunjukkan gambar, video dan bukti saintifik.
Kejadian yang dipanggil fetus dalam fetus itu berlaku kerana kelewatan pembahagian sel menyebabkan kembar tersebut tidak terpisah sepenuhnya.
MW: Macam-macam perkara pelik dalam dunia perubatan yang tidak mustahil berlaku. Semuanya atas keizinan dan kekuasaanNya.Apa-apapun, pemeriksaan awal oleh doktor pakar pada keadaan bayi ini, wajar dipuji. Bayi tersebut selamat, dan dapat mengelakkan daripada perkara buruk berlaku. Semoga bayi ini membesar dengan sihat dan sempurna hendaknya.
Sumber: Kosmo, Daily Mail