Jumpa bomoh. Selalunya kalau badan selalu rasa tak sihat, keadaan emosi yang tak stabil dan pasangan kerap bergaduh, mulalah merasakan dirinya di sihir dan ada orang dengki dengan kehidupannya.
Ini belum lagi jumpa bomoh untuk nak majukan perniagaan, bagi orang yang kita tak suka itu ‘hancur’ atau masalah anak yang kerap menangis. Terus ikhtiar dengan mencari bomoh untuk mengubatinya.
Mungkin sekali jumpa bomoh dan terbukti berkesan, terus dijadikan tempat rujukan untuk kes-kes yang lain. Jangan mudah percaya kepada perkara-perkara seperti ini sampai syirik kepada Allah tanpa kita sedar.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Amalan Tathaiyur, Jangan Bergantung Pada Tak Pasti, Percayalah Pada KetentuanNya
Cara Ini Untuk Elak ‘Gangguan’, Amalan Sunnah Patut Buat Dalam Kehidupan Harian
Dalam perkongsian oleh Muhammad Amirul Amir, amalan-amalan syirik ini biasa berlaku di kalangan kita, tambahan lagi bila ia melibatkan bomoh, tangkal, sihir dan sebagainya.
Ini adalah amalan-amalan keSyirikan yang sering berada dalam masyarakat kita.
kalau kita lihat dalam masyarakat kita pada hari ini boleh dikatakan sebahagian besar mereka tidak terlepas daripada melakukan perkara-perkara syirik kepada Allah SWT sama ada mereka sedar ataupun mereka tidak sedar.
Bomoh
Kita orang melayu banyak berjumpa dengan bomoh. Di dalam hadis sahih dari Nabi SAW yang bermaksud,
“Barangsiapa yang datang datang berjumpa tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad.” (riwayat Bazzar, Abu Dawud)
Bahkan di dalam hadis yang lain pula Nabi menyebutkan bahawa barangsiapa yang datang kepada bomoh sahaja, tidak diterima solatnya 40 hari. Solat kena buat juga, tetapi solat itu tidak diterima oleh ALLAH SWT.
Pada hari ini, bomoh, dukun mahupun pawang, mereka tidak lagi memakai ‘nametag’ itu lagi. Mereka menggunakan nama lain supaya dapat mengelirukan masyarakat yang tidak mengetahui ciri-ciri bomoh. Mereka menggunakan nama yang baik, sedap didengar seperti USTAZ dan sebagainya. Tetapi jika kita mempelajari, kita akan mengerti bahawa bomoh itu dikenal bukan pada namanya tetapi pada ciri-cirinya.
Apakah di antara ciri-ciri bomoh?
Apabila kita datang kepadanya, bomoh kebiasaannya akan mengatakan ayat seperti “Anda ini ada penyakit, penyakit anda sebab ada orang lain yang buat.” Bagaimana dia mengetahui? Ini antara bahayanya, kerana datang berjumpa bomoh itu termasuk di dalam perkara-perkara syirik kepada ALLAH.
Tangkal
Tangkal adalah sesuatu yang digantungkan di mana ia dipercayai dapat menghindarkan pemakainya dari mudharat. Segala penyakit yang kita takut terkena ke atas kita boleh terhindar. Maka itulah yang dinamakan tangkal. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan hadis ini sahih,
Maksudnya: “Barangsiapa yang menggantung tamimah (tangkal), maka sungguh dia telah syirik.” (Musnad Ahmad bin Hanbal, 4/156)
Kadang-kadang kita lihat masyarakat kita bila mana anaknya menangis tidak berhenti, dia pergi ke hujung kampung kepada orang yang boleh menghentikan tangisan anaknya. Diletakkannya benang supaya boleh menghilangkan tangisnya. Kadang-kadang memang betul tidak menangis budak itu. Maka percayalah dia kepada orang itu.
Sedangkan Nabi telah mengajarkan kepada kita doa-doa untuk menyingkir gangguan daripada ‘ain dan sebagainya, seperti doa ini
Kadangkala kita melihat juga bilamana kita hendak melakukan sesuatu perniagaan, membuka kedai, mahu untung di dalam perniagaan, maka kita meletakkan tangkal-tangkal. Kadang-kadang tangkal itu nampak seperti bercirikan islam, tetapi jika diteliti perkara itu adalah syirik terhadap Allah SWT.
Kita diajar agar memohon kepada ALLAH agar menghindarkan perkara-perkara buruk, bukan kita bergantung kepada tangkal yang kita gantungkan.
Bukan tangkal sahaja. Kekadang ada benda yang kita lihat keramat seperti keris, kita berubat dengannya, memohon pada keris, batu-batu, ladam kuda dan tangkal itu lebih daripada ALLAH subhanahuwata’ala. Di manakah kita campakkan akal kita?
Meminta pertolongan dari jin dan syaitan
Kebanyakan masyarakat pada hari ini memohon dan meminta pertolongan selain dari Allah SWT. Mereka meminta daripada Jin dan Syaitan. Contoh mudah, apabila diajarkan kepada anak-anak supaya meminta izin kepada penunggu sesuatu kawasan ataupun hutan apabila melalui di tempat tersebut. Lafaz yang biasa diajarkan seperti,
“Datuk Nenek, cucu minta tumpang lalu.”
Na’udzubillah. Ini syirik kepada ALLAH SWT. Kita mengajarkan anak-anak takutkan hantu syaitan sejak dari kecil. Bukan takut kepada ALLAH SWT. Disebabkan takut perkara itu kita melakukan perkara yang boleh mengeluarkan kita daripada ajaran Islam dan boleh menyebabkan kita syirik kepada ALLAH SWT.
Meminta pertolongan orang yang telah mati
Perkara ini barangkali ia sensitif tetapi di atas nama Islam kita harus menyatakannya, yakni perbuatan berdoa kepada selain daripada ALLAH SWT, meminta pertolongan dari orang-orang yang telah mati. Siapa orang mati yang mereka mohon dan berdoa kepadanya ini, iaitu orang-orang saleh yang telah meninggal dunia, wali-wali yang telah meninggal dunia.
Mereka berdoa dengan doa seperti “Ya Ghauts..Aghitsni – Wahai Ghauts, bantulah aku..” Mereka meminta pada kuburan, akhirnya menyembah kubur itu dan memohon keberkatan dari kubur itu, tidak kepada ALLAH SWT.
Ini dapat kita lihat seperti mana di dalam ajaran Syi’ah, kalau tuan-tuan boleh lihat di internet dan sebagainya, lihatlah bagaimana mereka pergi ke kuburan tokoh-tokoh mereka, mereka menyembah dan meminta segalanya terus kepada kubur bahkan berpaling daripada kiblat.
Begitu juga dengan kelompok-kelompok tarikat yang melampau dan sesat yang berdoa meminta daripada selain ALLAH SWT dan akhirnya mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itu telah mensyirikkan ALLAH SWT.
Pesanan / Nasihat:
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, kalau kita ada melakukan perkara-perkara tersebut hendaklah kita bertaubat kepada ALLAH SWT kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka dan Nabi SAW pernah bersabda kepada kita,
Maksudnya: “Semua anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Imam al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Maka tidak ada masalah kepada mereka yang melakukan dosa syirik dan selainnya kerana masih ada lagi peluang dan pintu taubat masih terbuka kepada kita sebelum kita mati.
Mingguan wanita : Memang kita berusaha tapi cara tak menghalalkan dan boleh membawa kepada amalan syirik. Mintalah pertolongan Allah, hanya Dia yang megetahui segalanya.
Sumber: Muhammad Amirul Amir
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita