Jumpa bomoh. Selalunya kalau badan selalu rasa tak sihat, keadaan emosi yang tak stabil dan pasangan kerap bergaduh, mulalah merasakan dirinya di sihir dan ada orang dengki dengan kehidupannya.
Ini belum lagi jumpa bomoh untuk nak majukan perniagaan, bagi orang yang kita tak suka itu ‘hancur’ atau masalah anak yang kerap menangis. Terus ikhtiar dengan mencari bomoh untuk mengubatinya.
Mungkin sekali jumpa bomoh dan terbukti berkesan, terus dijadikan tempat rujukan untuk kes-kes yang lain. Jangan mudah percaya kepada perkara-perkara seperti ini sampai syirik kepada Allah tanpa kita sedar.
Dalam perkongsian oleh Muhammad Amirul Amir, amalan-amalan syirik ini biasa berlaku di kalangan kita, tambahan lagi bila ia melibatkan bomoh, tangkal, sihir dan sebagainya.
Ini adalah amalan-amalan keSyirikan yang sering berada dalam masyarakat kita.
kalau kita lihat dalam masyarakat kita pada hari ini boleh dikatakan sebahagian besar mereka tidak terlepas daripada melakukan perkara-perkara syirik kepada Allah SWT sama ada mereka sedar ataupun mereka tidak sedar.
Bomoh
Kita orang melayu banyak berjumpa dengan bomoh. Di dalam hadis sahih dari Nabi SAW yang bermaksud,
“Barangsiapa yang datang datang berjumpa tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad.” (riwayat Bazzar, Abu Dawud)
Bahkan di dalam hadis yang lain pula Nabi menyebutkan bahawa barangsiapa yang datang kepada bomoh sahaja, tidak diterima solatnya 40 hari. Solat kena buat juga, tetapi solat itu tidak diterima oleh ALLAH SWT.
Pada hari ini, bomoh, dukun mahupun pawang, mereka tidak lagi memakai ‘nametag’ itu lagi. Mereka menggunakan nama lain supaya dapat mengelirukan masyarakat yang tidak mengetahui ciri-ciri bomoh. Mereka menggunakan nama yang baik, sedap didengar seperti USTAZ dan sebagainya. Tetapi jika kita mempelajari, kita akan mengerti bahawa bomoh itu dikenal bukan pada namanya tetapi pada ciri-cirinya.
Ads
Apakah di antara ciri-ciri bomoh?
Apabila kita datang kepadanya, bomoh kebiasaannya akan mengatakan ayat seperti “Anda ini ada penyakit, penyakit anda sebab ada orang lain yang buat.” Bagaimana dia mengetahui? Ini antara bahayanya, kerana datang berjumpa bomoh itu termasuk di dalam perkara-perkara syirik kepada ALLAH.
Tangkal
Tangkal adalah sesuatu yang digantungkan di mana ia dipercayai dapat menghindarkan pemakainya dari mudharat. Segala penyakit yang kita takut terkena ke atas kita boleh terhindar. Maka itulah yang dinamakan tangkal. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan hadis ini sahih,
Maksudnya: “Barangsiapa yang menggantung tamimah (tangkal), maka sungguh dia telah syirik.” (Musnad Ahmad bin Hanbal, 4/156)
Kadang-kadang kita lihat masyarakat kita bila mana anaknya menangis tidak berhenti, dia pergi ke hujung kampung kepada orang yang boleh menghentikan tangisan anaknya. Diletakkannya benang supaya boleh menghilangkan tangisnya. Kadang-kadang memang betul tidak menangis budak itu. Maka percayalah dia kepada orang itu.
Sedangkan Nabi telah mengajarkan kepada kita doa-doa untuk menyingkir gangguan daripada ‘ain dan sebagainya, seperti doa ini
Ads
Kadangkala kita melihat juga bilamana kita hendak melakukan sesuatu perniagaan, membuka kedai, mahu untung di dalam perniagaan, maka kita meletakkan tangkal-tangkal. Kadang-kadang tangkal itu nampak seperti bercirikan islam, tetapi jika diteliti perkara itu adalah syirik terhadap Allah SWT.
Kita diajar agar memohon kepada ALLAH agar menghindarkan perkara-perkara buruk, bukan kita bergantung kepada tangkal yang kita gantungkan.
Bukan tangkal sahaja. Kekadang ada benda yang kita lihat keramat seperti keris, kita berubat dengannya, memohon pada keris, batu-batu, ladam kuda dan tangkal itu lebih daripada ALLAH subhanahuwata’ala. Di manakah kita campakkan akal kita?
Meminta pertolongan dari jin dan syaitan
Kebanyakan masyarakat pada hari ini memohon dan meminta pertolongan selain dari Allah SWT. Mereka meminta daripada Jin dan Syaitan. Contoh mudah, apabila diajarkan kepada anak-anak supaya meminta izin kepada penunggu sesuatu kawasan ataupun hutan apabila melalui di tempat tersebut. Lafaz yang biasa diajarkan seperti,
“Datuk Nenek, cucu minta tumpang lalu.”
Na’udzubillah. Ini syirik kepada ALLAH SWT. Kita mengajarkan anak-anak takutkan hantu syaitan sejak dari kecil. Bukan takut kepada ALLAH SWT. Disebabkan takut perkara itu kita melakukan perkara yang boleh mengeluarkan kita daripada ajaran Islam dan boleh menyebabkan kita syirik kepada ALLAH SWT.
Meminta pertolongan orang yang telah mati
Perkara ini barangkali ia sensitif tetapi di atas nama Islam kita harus menyatakannya, yakni perbuatan berdoa kepada selain daripada ALLAH SWT, meminta pertolongan dari orang-orang yang telah mati. Siapa orang mati yang mereka mohon dan berdoa kepadanya ini, iaitu orang-orang saleh yang telah meninggal dunia, wali-wali yang telah meninggal dunia.
Mereka berdoa dengan doa seperti “Ya Ghauts..Aghitsni – Wahai Ghauts, bantulah aku..” Mereka meminta pada kuburan, akhirnya menyembah kubur itu dan memohon keberkatan dari kubur itu, tidak kepada ALLAH SWT.
Ads
Ini dapat kita lihat seperti mana di dalam ajaran Syi’ah, kalau tuan-tuan boleh lihat di internet dan sebagainya, lihatlah bagaimana mereka pergi ke kuburan tokoh-tokoh mereka, mereka menyembah dan meminta segalanya terus kepada kubur bahkan berpaling daripada kiblat.
Begitu juga dengan kelompok-kelompok tarikat yang melampau dan sesat yang berdoa meminta daripada selain ALLAH SWT dan akhirnya mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itu telah mensyirikkan ALLAH SWT.
Pesanan / Nasihat:
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, kalau kita ada melakukan perkara-perkara tersebut hendaklah kita bertaubat kepada ALLAH SWT kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka dan Nabi SAW pernah bersabda kepada kita,
Maksudnya: “Semua anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Imam al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Maka tidak ada masalah kepada mereka yang melakukan dosa syirik dan selainnya kerana masih ada lagi peluang dan pintu taubat masih terbuka kepada kita sebelum kita mati.
Mingguan wanita : Memang kita berusaha tapi cara tak menghalalkan dan boleh membawa kepada amalan syirik. Mintalah pertolongan Allah, hanya Dia yang megetahui segalanya.
Masih ingat masa muda belia, kalau boleh nak ke mana saja mesti ada orang teman terutamanya masa berada di alam persekolahan. Rasa kurang yakin atau malu, semua ada.
Pelik pula, bila dah semakin meningkat dewasa, kurang yakin ini hilang sedikit demi sedikit. Tapi tak tahulah ada juga daripada kita masih di tahap yang sama. Kurang yakin dengan apa yang dia nak buat.
Perkongsian daripada Khairul Hakimin Muhammad ini boleh anda praktikkan untuk dapatkan keyakinan diri. Buat benda-benda simple je dulu.
Nak hancurkan perasaan selalu tak yakin kepada diri sendiri, buat ini:
1. Makan seorang diri di mana-mana restoran (makan sendiri di rumah tak di ambil kira). Sebab:
Kita akan belajar pesan makanan kita suka tanpa ikut ikutan orang lain.
Malah, kita akan berani bertanya apa yang paling sedap tanpa pengaruh orang lain (kawan atau keluarga).
2. Menonton wayang seorang diri (menonton seorang diri di rumah tak di ambil kira).
3. Pergi shopping beli barang seorang diri.
4. Bangun solat tahajjud seorang diri tanpa ada sesiapa pun tahu.
5. Berpuasa dan berusaha merahsiakan hal itu.
6. Apabila dapat kejayaan, hanya beritahu orang tersayang sahaja.
7. Apabila ketemu hal gagal, hanya beritahu Allah sahaja.
8. Sentiasa tulis perkara yang kita syukurkan. Contohnya seperti: Alhamdulillah hari ini dapat makan dengan keluarga. Syukur dapat sedekah subuh. Alhamdulillah ya Allah saya bangun lagi pagi ini. Syukur dan alhamdulillah saya dapat jumpa team saya.
Kawan-kawan,
Kena ada rasa kebergantungan kepada Allah. Kena yakin Allah sentiasa bersama kita. Jika kita letak keyakinan itu, apa sahaja perkara kita boleh laluinya.
Kita tak peduli kata orang. Tak kisah apa orang nak kata saat kita berjaya atau gagal. Kita yang tentukan kehidupan kita.
MaLah, kita yang nak berjaya, jadi kita kena yakin Allah bersama kita. Selagi kita buat benda betul, benda berpahala, yakinlah!
Tanda anda dah ada keyakinan:
1. Jika tak dijemput oleh sesiapa atau untuk apa-apa, kita ok sahaja. Kita masih hidup seperti biasa, enjoy.
2. Kita boleh berkongsi kejayaan tanpa ada sindir, perli, dan kata-kata yang menyakitkan hati sesiapa. Kejayaan kita adalah untuk bantu lebih ramai orang termasuk orang yang pernah lukakan kita.
3. Kita juga boleh berkongsi kegagalan dengan matlamat untuk orang lain belajar. Bukan membongkak mengatakan kegagalan kita dulu adalah sebab si polan atau sebab apa. Semua sebab kita dan kita dah maafkan diri sendiri serta move on.
4. Kita okey untuk jadi pendengar sahaja. Walau saat kita dalam kesusahan kita cuba bercakap namun tak didengari. Kita anggap Allah tak izinkan dan move on belajar sampai pandai.
5. Kita berani mencuba sesuatu yang baharu tanpa ketakutan. Kita buat dan jika gagal, kita belajar. Jika berjaya kita bantu orang lain.
Begitulah.
Mingguan Wanita : Tak perlu bergantung pada orang lain. Usaha dan yakin dengan kebolehan dan keupayaan kita.
Kadang-kadang jadi hairan, mak ayah dirikan solat lima waktu tanpa culas, namun masih terasa kosong dan hati terasa tidak tenang. Terfikir di mana salahnya.
Malahan, mak ayah sudah solat tapi masih lakukan maksiat, itu tandanya kita belum solat dengan sempurna, jadi perlu perbaiki. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mesej yang cuba dia sampaikan:
Solat Tapi Tiada Hasil
Pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.
Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe berpegangan tangan.
Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.
Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.
Kita Solat Tapi Masih Lakukan Maksiat
Rasulullah s.a.w kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.
Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih ditahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.
Mulut terkumat-kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.
Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia. Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;
“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”
Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.
Kena Baiki Solat
Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.
1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.
2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.
3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.
Seterusnya bangkitkan rasa bertuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.
4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.
Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagi lah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mula lah terfikir siapa yang telefon.
Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya. Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah.
Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.
Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.
Firdaus Mokhtar, Masih belajar.
MW: Bukan mudah untuk dirikan solat dengan sempurna, namun mak ayah lakukan langkah pertama sekarang. Jangan bertangguh, insyallah akan dipermudahkan.
Apabila suami seorang wanita itu meninggal dunia, kemudian wanita itu berkahwin semula, mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah yang akan menjadi suami kepada wanita itu di syurga nanti.
Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?. Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]
Imam al-Thabarani menyatakan tidak meriwayatkan hadis ini daripada Hisyam bin Hassan melainkan Sulaiman bin Abi Karimah. Maka ‘Amr bin Hasyim telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadis ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath. 279/3] Tambahan pula, Imam al-Haithami menyatakan salah seorang perawi di dalam sanad hadith ini iaitu Sulaiman bin Abi Karimah dinilai dhaif oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 119/7] Selain itu, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 161/2]
Suami Di Syurga Yang Mana Satu
Antara riwayat lain yang menceritakan akan masalah ini adalah kisah ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3130)]
Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 270/4] Imam al-Suyuthi menilai hadis ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 358/2]
Terdapat sebuah lagi riwayat dalam masalah ini iaitu kisah yang berlaku kepada Ummu Habibah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Ummu Habibah berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Riwayat al-Bazzar (6631)]
Imam al-Iraqi mengdhaifkan sanad hadis ini. [Lihat: al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, 932/1] Selain itu juga, Imam al-Bazzar menyatakan hadith ini tidak diketahui bahawa Humaid meriwayatkan daripada Anas bin Malik. [Lihat: Musnad al-Bazzar, 183/13]
Berikut adalah sebahagian riwayat-riwayat yang menceritakan berkaitan permasalahan ini dan kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama atau tokoh-tokoh hadith.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini:
*Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
*Isteri tersebut diberi pilihan untuk memilih.
*Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.
Imam al-Suyuthi cuba untuk menghimpunkan kesemua riwayat tersebut dengan menyatakan bahawa seorang wanita (isteri) itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama pada sudut akhlak. Sekiranya tidak begitu, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 262/1]
Di dalam masalah ini, kami cenderung untuk bertawaqquf kerana dalil yang menyatakan tentang masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan hadis yang menceritakan kisah Ummu al-Darda’ adalah yang paling kuat dari sudut kesahihannya. Tambahan pula, perkara ini termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan Syurga. Justeru itu, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT dan pendapat ini juga difatwakan oleh Syeikh ‘Athiyyah al-Saqar.
Kesimpulannya, setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga.
Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kdan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di akhirat kelak.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...