Sanggup Berhabis RM101k Tempah Kostum, Demi Impian Jadi SERIGALA JADIAN

Share

Sanggup Berhabis RM101k Tempah Kostum, Demi Impian Jadi SERIGALA JADIAN. Mungkin bagi kebanyakan orang impian menjadi haiwan liar tak pernah langsung terlintas di fikiran.

Namun tidak bagi lelaki ini. Siapa sangka seorang lelaki di Jepun sanggup membelanjakan kira-kira tiga juta yen (RM101,171) untuk kostum serigala buatan tangan demi memenuhi impiannya menjadi haiwan liar itu.

Kostum itu dihasilkan oleh Zeppet, sebuah syarikat mengkhusus dalam pembuatan sut ultra-realistik yang sebelum ini pernah mencipta kostum anjing collie bagi pelanggan bernama Toco yang mengimpikan untuk hidup seperti haiwan peliharaan itu.

Lapor Oddity Central, kostum anjing yang direka khas untuk menyesuaikan manusia dengan anatomi anjing, meraih perhatian ramai selepas tular dalam Twitter.

Fantasi Menjadi Serigala

Baru-baru ini, Zeppet memaklumkan syarikatnya menerima tempahan kostum lebih mencabar daripada seorang pelanggan yang mahu merealisasikan fantasinya menjadi serigala.

“Disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan sejak zaman kanak-kanak lagi dan melihat sut haiwan realistik yang muncul di kaca televisyen, jadi saya mengimpikan untuk menjadi seperti itu suatu hari nanti.

“Pada sesi pemakaian kostum itu, saya kagum melihat perubahan diri saya di cermin. Ia saat yang mana impian saya menjadi kenyataan,” kata pelanggan itu di laman sesawang Zeppet.

Puas Hati Pembelian Kostum

Dilaporkan, pelanggan itu amat berpuas hati dengan pembelian kostum serigala itu meskipun ia menelan perbelanjaan tinggi berbanding kostum anjing Collie yang bernilai 2 juta yen (RM67,437).

“Tempahan saya untuk ‘kelihatan seperti serigala sebenar adalah sukar, namun kostum yang siap sepenuhnya ini kelihatan seperti apa yang saya bayangkan.

“Spesifikasi kostum itu bukan sahaja melengkapi semua pilihan saya, malah ia turut mempunyai ruang pengudaraan untuk keselesaan pemakai.

“Ia juga mempunyai alat yang memudahkan individu memakai sut itu tanpa pertolongan. Ini secara tidak langsung menunjukkan pereka memberi perhatian yang teliti terhadap keselesaan pemakai,” katanya.

50 Hari Hasilkan Kostum

Sementara itu, Zeppet memaklumkan pihaknya mengambil masa 50 hari untuk menyiapkan kostum khas berkenaan.

Jelas syarikat itu, kakitangannya memeriksa gambar serigala sebenar dan berbincang butiran terperinci termasuk cara menggabungkan kesemua ciri itu bagi menghasilkan kostum haiwan berkenaan.

Mesti Baca:Padah Muat Naik Video Masak & Makan Haiwan Liar Untuk Jana Pendapatan Tanpa Rasa Bersalah
Baca Lagi Di Sini:Minat Bela Spesies REPTILIA, Suami Isteri Tinggal Bersama Lebih 200 Ekor Haiwan EKSOTIK


Artikel Menarik:Hapuskan Rumput Liar Di Halaman Rumah, Guna Cuka & Sabun Pencuci Saja! Jimat Lagi Berkesan

Mingguan Wanita: Tak sangka ada juga yang berminat nak jadi haiwan liar seperti serigala ini dan sanggup berhabis beratus ribu demi merealiasasikan fantasi ini.

SUmber: Utusan

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab