Sampainya Hati Suami Pertama Ibu Ku, Doakan Moga Pelangi Menjelma Jua

Orang dulu-dulu cukup takut dan hati-hati tempoh berpantang. Zaman dulu, kemudahan perubatan tak macam sekarang. Sebelah rumah pun boleh jumpa klinik.

Dulu klinik jauh. Kena menapak berbatu-batu baru jumpa. Silap hari bulan bila kena gi klinik, terpaksa tebalkan muka pinjam kereta prebet sapu minta hantarkan isteri sakit ke hospital.

Jadi, bila mak kata jaga pantang betul-betul. Maka, jagalah badan itu dengan betul-betul. Tak makan lauk sejuk, tak pegang penyapu, tak angkat cerek, tak makan laksa sampai 60 hari dan banyak lagilah yang taknya.

Tapi dalam nak menempoh 44 hari bukanlah mudah. Cabarannya besar lagilah dulu semuanya bergantung dengan perubatan tradisional.

Dan yang paling terkesannya, badan mungkin lah pulih dan kembali langsing. Tapi tak disedari emosi rupanya terganggu semasa melalui waktu berpantang itu.

Diam tak diam, kesan meroyan kecil jadi dekat diri sendiri. Sudahnya bila ada satu-satu hal kecil yang anak buat atau suami buat silap, cepat saja nak melenting. Tak boleh nak kontrol emosi. 

Cerita lama yang akan dikongsikan ini ada kaitan sedikit sebanyak dengan kisah ibu meroyan yang tak dirawat. Sebaliknya cuma diubati dengan cara kampung.

Demi Suami Pertama Dan Mentua, Ibu Rela Terseksa

Ini kisah ibuku. Waktu muda ibuku semangnya menjadi perhatian lelaki-lelaki di kampung. Dia tidaklah cantik tapi ibu seorang yang menawan dan miliki tubuh genit idaman wanita.

Sebelum bertemu ayah, ibu pernah berkahwin. Bukan kali pertama, tapi kali ketiga. Ayahku adalah suami keempatnya.

Ibu berkahwin muda ketika usianya belasan tahun lagi. Perkahwinannya dengan suami pertama sampailah ketiga tak bertahan lama. 

Paling lama pun dua tahun saja kemudian ibu diceraikan. Hasil perkahwinan ibu dengan setiap suami memperoleh seorang anak. Cuma anak dengan suami ketiga saja yang ibu jaga sampailah hari ini.

Ads

Anak pertama dan anak kedua dari suami keduanya langsung tak ku dengar khabar berita. Seperti yang diceritakan, ketika berkahwin dengan suami pertama ibu terdera emosinya.

Ibu diperlakukan seperti hamba di rumah ibu mentuanya. Semasa mengandung anak pertama ibu tak pernah rehat. Membasuh, mengemas tak henti-henti. Dulu manalah ada mesin bagai. Ke sungailah membasuhnya.

Dalam sarat mengandung ibu perlu bekerja di sawah bendang. Balik ke rumah memasak pula untuk ahli keluarga suaminya yang tinggal bersama mereka. Kain baju pun ibu jugalah yang selesaikan.

Berpantang Dengan Mentua Garang

Selepas bersalin, ibu dijaga ibu mentuanya yang garang. Makan bercatu. Minum pun air kopi semata. Itu pun secawan sehari. Ibu tak membantah dilalui derita itu dengan kepayahan.

Setahun berlalu, ibu lari dari rumah. Tak tahan di dera emosi oleh suami dan ibu mentua.

Cerita ibu dengan suami kedua dan ketiga lebih kurang sama. Mungkin sikap ibu yang menurut perintah dan tak pandai membantah membuatkan ibu diseksa sedemikian rupa.

Ads

Penderaan emosi ibu lalui dan kepayahan itu menjadikan ibu seorang wanita yang kental dan keras.

Sikap Ibu Berubah, Baik Depan Anak, Sendirian Dengan Ayah Ibu Sumpah Seranah

Sampailah akhirnya ibu bertemu ayah. Ayah seorang lelaki yang budiman. Dia tak pandai nak marah-marah. Sesuai sangatlah cantuman hati itu. Seorang keras, seorang lembut.

Tapi rupanya, penderaan jiwa yang berpanjangan mencederakan sikap dalaman ibu. Ada ketikanya dia jadi seorang yang tersangat dengan dingin, tak hiraukan langsung anak-anak jika sedang melawan emosi diamnya itu.

Ada ketika ibu jadi tersangatlah baran, sampai pernah terbalik meja makan sebab terlalu marah dengan tindakan ayah yang membantu orang kampung.

Ibu tiba-tiba menjadi seorang yang perasa. Pernah suatu hari ibu terlalu cemburu dengan ayah dan akhirnya dia menghempas barang-barang yang ada di rumah.

Ayah tak pernah membantah pun ketika ibu berang tak tentu hala itu. Ayah diam saja. Semua tindak tanduk kasar ibu ayah pendam lama. 

Ads

Ini Janji Kami..

Sampailah suatu hari ayah kongsikan dengan kami anak-anaknya yang 5 orang ini. Kata ayah, dia amat memendam rasa dengan sikap ibu. 

“Satu malam bila ayah balik dari surau. Ayah tengok handset ayah dah bertabur atas lantai.”

Kata ayah, ibu mengamuk sebab ayah pergi surau lama sangat. Tinggal dia dekat rumah. Allahu..

“Kalau tinggal berdua, macam-macam kata-kata kesat ibu lemparkan. Kadang ibu panggil ayah ‘celaka’, bangsat’. Ayah sabarkan hati sebab tahu sakitnya itu.”

Sangat tak sangka dengan perangai ibu yang nampak senyap di depan kami, tapi bila dengan ayah ibu jadi orang lain.

Bila kami risik-risik dengan adik-beradik ibu yang lain. Barulah kami tahu, ibu ada kisah silam yang dahsyat. 

Hidup ibu memang bahagia sepanjang bersama ayah. Cuma ada masanya bila anak-anak tak ada, itulah ibu jadi sangat berbeza.

Ayah sampai takut nak tidur malam dengan ibu. Takut datang penyakit meroyan dan bila tak ingat tu boleh mendatangkan kecederaan. Ibu pun kalau tidur, kelilingnya penuh dengan senjata. Paranglah.. pisaulah.. 

Bila anak-anak tahu kami terkejut besar. Sampai hari ini kami masih lagi berusaha merawat ibu. Cuma penyakitnya yang dah terlalu lama akan ambil masa untuk diubati. 

Buat masa ini, kasih sayanglah penawar sementara. Kasih sayang yang ibu pernah kehilangan sewaktu hidup bersama suami pertama dan ibu mentuanya dulu.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI