Sampainya hati seorang adik, sanggup biarkan kakaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sendirian dirumah, terbaring lemah dalam keadaan kotor dan tidak terurus, malah lantai dipenuhi najis dan sampah!
Memetik laporan Berita Harian, suara jeritan dari dapur di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di sini membawa penemuan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya.Mangsa Wan Hasmarina Wan Mohammad berusia 44, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam ditemui dalam keadaan lemah dan kotor malah di lantai penuh dengan najis mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata jeritan mangsa didengari seorang jiran pada jam 9.15 malam tadi yang curiga sebelum bertindak mengintai dari cermin tingkap sebelum menghubungi pihak polis.
“Anggota kami segera ke lokasi di Taman Pinggiran Industri dan apabila tiba, keadaan rumah berkunci sebelum anggota bertindak memecahkan pintu dapur. Sebaik pintu dipecahkan mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berbau hamis serta busuk disebabkan keadaannya yang tidak terurus dan najis turut ditemui di lantai.
“Kita percaya mangsa berkeadaan begitu (tidak terurus) sudah lama melihat kepada keadaannya yang lemah dan susuk badan yang kurus,” katanya ketika dihubungi.
Tinggal Bersama Adik Perempuan
Mangsa tinggal bersama adik perempuannya yang berusia 40 tahun yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur sebelum mereka berpindah ke Pengkalan Chepa sejak enam bulan lalu. Adik perempuan mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini dan ketika serbuan dibuat tiada di rumah. Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut. Ismail berkata siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti sama ada mangsa diabaikan penjaga atau mempunyai sebarang unsur lain.
Ketika ditemui di hospital, mangsa yang sedang dirawat mengadu sejuk dan lapar, manakala adik perempuan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk soal siasat.
Direman 3 Hari
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuaini Tuan Lah kepada wanita berusia 40 tahun itu. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata wanita terbabit direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui kejadian sama ada mangsa diabaikan atau sebaliknya,” katanya.
Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mingguan Wanita mengucapkan semoga kesihatan kakak malang ini kembali pulih dan sihat seperti sedia kala.Ikatan adik beradik sedarah sedaging merupakan satu amanah yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya. Lebih-lebih lagi jika ada dikalangan ahli keluarga yang kategori istimewa. Jika tidak mahu atau tidak mampu untuk menguruskan mereka, hantarlah ke rumah kebajikan atau pusat penjagaan. Janganlah dibiarkan sahaja dan menganiaya mereka.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI