Walaupun berbeza agama dan bangsa, ianya tak membataskan hubungan Linda dengan ayah dan ibu angkatnya sejak enam bulan lalu. ‘Jangan ambil ‘ayah’ saya,’ pintanya.
Berjumpa tanpa sengaja atas urusan jual beli peti ais dan akhirnya membuatkan hubungan mereka bertambah rapat. Malah kerana kasihan, Linda telah jadikan pasangan ini sebagai keluarga angkat.
Jadi orang lain boleh bantu tapi jangan ambil ayah dan ibu kerana Linda melayan mereka berdua ibarat keluarga sendiri.
Boleh Bantu, Jangan Ambil Ayah
“Saya hargai beberapa pihak yang datang membantu tetapi saya minta mereka jangan ambil ‘ayah’ saya,” kata Linda@G Kasturi, 40, ketika ditemui di rumahnya di Taman Sungai Ujung, Rasah, Negeri Sembilan.
Menurut Linda, dia menjaga sepasang suami isteri Melayu, Mohd Fakrulzaman Abd Malek, 44, dan isterinya, Rohayati Salleh, 46, sejak enam bulan lalu kerana mereka tiada tempat kediaman ketika itu.
Baca Juga Di sini:
Kisah Sedih 7 Beradik Buka Hati Pasangan Ini Jadikan Anak Angkat
Tiada Niat Berebut, Walaupun Sedih Ibu Angkat Redha Kembalikan Semula Pada Ibu Kandung
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Katanya, mereka berjumpa selepas Fakrulzaman yang dipanggil ‘ayah’ dan Rohayati dipanggil ‘ibu’ mahu menjual sebuah peti ais kepadanya dan ketika itu Fakrulzaman dalam keadaan sakit angin ahmar.
“Mereka sudah menjual hampir semua perabot rumah dan kenderaan kerana tidak lagi mampu bekerja selepas perniagaan (katering) mereka tidak dapat berjalan selepas hampir setahun ‘ayah’ diserang angin ahmar.
“Saya yang kasihan dengan nasib mereka, terus membawa pulang ke rumah dan menjadikan mereka keluarga angkat.
“Baru pagi tadi (semalam) saya didatangi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang meminta ‘ayah’ isi borang,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan mangsa banjir daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya semalam.
Jangan Bimbang, Dijaga Seperti Keluarga
Katanya, pihak berkenaan jangan bimbang kerana keluarganya tetap melayan Fakrulzaman dan isterinya seperti keluarga sendiri walaupun mereka keturunan India.
“Suami, R Kharthien, 30, dan dua anak perempuan, K Sadhana,1, dan K Launia, 11, menerima ‘ayah’ saya dengan baik termasuk ibu saya turut tinggal bersama kami sekeluarga.
“Anak bongsu saya, Sandhana amat manja dengan ‘ayah’, mereka bergurau, bermain dan kerap tidur di bilik ‘ayah’.
“Mereka boleh bagi bantuan kepada ‘ayah’ tetapi saya rayu jangan ambil mereka kerana saya sudah anggap mereka keluarga saya biarpun kami berlainan agama dan bangsa,” katanya.
Menjual Harta Benda Untuk Teruskan Hidup
Sementara itu, Fakrulzaman berkata, dia ditimpa penyakit angin ahmar sejak setahun lalu dan tidak lagi mampu bekerja.
“Habis semua harta benda saya jual bagi meneruskan kelangsungan hidup kami suami isteri sebelum bertemu dengan Linda yang ketika itu membeli peti ais daripada saya.
“Bukan peti ais saja dia bawa balik, dengan saya sendiri dia bawa pulang kerana simpati dengan nasib saya yang tidak berumah dan tidur di merata tempat,” katanya.
Katanya, keluarga Linda menjaga dia dengan baik dan tidak menghalang dia dan isterinya solat di dalam biliknya.
“Banjir besar seminggu lalu menenggelamkan hampir semua perabot dan peralatan di dalam rumah habis semua pakaian rosak termasuk telekung milik isteri.
“Isteri saya solat menggunakan kain sari yang diberikan Linda. Dia sangat baik menjaga saya, tak tahulah macam mana saya nak balas budi baik keluarga ini,” katanya.
Mahu Kembali Berniaga Setelah Pulih
Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, Fakrulzaman ada memberitahu mahu kembali berniaga dengan menggunakan motosikal roda tiga jika sudah pulih sepenuhnya dari penyakit itu.
“Ini satu kelainan dan menunjukkan mereka walaupun berlainan bangsa, budaya dan agama tetapi mampu duduk dalam satu rumah atas rasa tanggungjawab sesama manusia.
“Mungkin jika ada mana-mana pihak yang boleh menyumbang dana atau sebuah motosikal roda tiga untuk kegunaan Fakrulzaman bagi memulakan perniagaan bolehlah menghubunginya di talian 012-9805312 (Norfadilah),” katanya.
MW: Bagi yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Puan Norfadilah. Kisah ini dapat dijadikan inspirasi buat kita semua. Walaupun berbeza agama dan bangsa, mereka tetap menghormati satu sama lain dan mampu tinggal sebumbung seperti sebuah keluarga.
Sumber: myMetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI