Sambal Kentang Bilis, Sejenis Pembuka Selera Waktu Sahur

Share

Kalau anda jenis kurang selera nak makan waktu sahur bolehlah cuba buat Sambal Kentang Puan Famyra Omar ini, rasanya pedas dan rangup pembuka selera.

Apa yang menarik, mak-mak boleh letak ikan bilis, kacang atau tempe kalau suka tetapi kalau nak buat kentang saja pun boleh. Dan pastikan letak dalam bekas kedap udara untuk tahan lama, ya. Nak lagi sedap pilih bilis yang mahal sikit, barulah rangup kruk krak kruk kraaakkk!

Bahan-bahannya:

4 biji kentang size besar
10 tangkai cili kering (boleh tambah) buang biji dan rebus
8 ulas bawang putih
1 sudu mkn udang kering rendam air panas, bila dah kembang toskan airnya
1 batang serai
5 helai daun limau purut hiris halus
4 sudu mkn gula pasir
Garam
Bawang goreng

Cara membuat:

Kentang disagat halus kemudian basuh hingga air basuhan jernih supaya tak melekat bila digoreng.

Toskan hingga kering.

Panaskan minyak yang banyak hingga betul-betul panas kemudian goreng kentang hingga garing keperangan (kacau 2-3 kali). Angkat dan toskan.

Cili kering, bawang putih, udang kering dan serai diblender guna sedikit minyak (JANGAN guna air) kemudian ditumis hingga naik bau.

Masukkan gula dan garam, kecilkan api.

Masak hingga gula larut, masukkan daun limau purut. Kacau hingga sedikit pekat, rasa masinnya kalau kurang tambahkan garam. Tutup api dan biarkan sambal sejuk.

Masukkan kentang goreng dan bawang goreng dan gaulkan dengan sambal hingga sebati. Simpan dalam bekas bertutup rapat.

NOTA:

Boleh makan dengan nasi putih panas-panas dan bubur nasi.

Published by
Nadia