Salah Satu Dosa Ibu Bapa Pada Anak ‘Membanding-bandingkan’ Mereka, Kesumatnya Boleh Sampai Dewasa

Share

Tanpa sedar ada ibu bapa yang membuat amalan ini, membanding-bandingkan anak-anak dengan anak yang lain atau anak orang lain.

Harapan mak ayah nak anak faham yang mereka perlu berusaha sampai jadi terbaik seperti yang diharapkan. Sebenarnya cara ini kesalahan yang boleh memberi kesan besar pada anak.

Fahamkan perkongsian Raisul Fadla Safiruddin tentang perihal ibu bapa yang suka membandingkan anak-anaknya.

Amalan Membanding-bandingkan Anak

Salah satu dosa ibu bapa terhadap anak adalah membanding-bandingkan mereka.

Nak bagi contoh tak pandai pula. Tapi perkara ini memang sering kali berlaku. Saya percaya anda tahu.

Amalan membanding-bandingkan anak sama ada dengan adik-beradiknya sendiri ataupun dengan anak orang lain (kawan anak, anak kawan kita, anak jiran atau sepupu) adalah cara yang salah dalam mendidik.

Setiap anak adalah berbeza. Mereka ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sedangkan kembar seiras pun tak sama, inikan pula yang jauh berbeza.

Cara ini sangat berisiko mencederakan emosi, melukakan hati dan boleh mengakibatkan anak menyimpan dendam kesumat.

Mungkin masa kita kecil dulu pun kita pernah disakiti sebegini oleh orang dewasa yang kita hormati lagi kita sayangi. (Ya, ia lebih menyakitkan apabila yang melakukannya adalah orang yang dekat dengan kita.)

Bahkan terkadang amalan ini berterusan terbawa-bawa sehingga kita dewasa dan berkeluarga.

Contohnya oleh ibu bapa sendiri, ibu bapa suami/isteri, datuk nenek yang kita kasihi dan mungkin guru yang kita segani.

Ibu Bapa Pun Tak Sedar

Saya percaya dosa ini masih diamalkan oleh ibu bapa sama ada disedari mahupun tidak.

Kita yang dulu pernah kena begitu, masa sekarang dah dewasa kadang-kadang buat perkara yang sama kepada anak-anak.

Perkara yang buruk tak elok diteruskan. Derita yang kita pernah rasa usah diwariskan kepada mereka dan zuriat mereka nantinya.

Ya, sedikit sebanyak kita terikut-ikut cara yang ibu bapa kita amalkan. Begitu pula dengan anak kita nantinya.

Yang baik, teruskan. Yang buruk, tinggalkan.

Jika marah (semua orang pernah marah), biarlah kerana Allah dan sebab sayangkan mereka.

Andai kita buat salah kepada anak (semua orang buat salah), jangan segan minta maaf. Salam, peluk dan cium mereka. Lafazkan maaf dengan ikhlas.

Kalau tak buat salah pun kadang-kadang boleh buat macam ini.

Anak-anak lebih mudah belajar daripada apa yang kita tunjukkan daripada apa yang kita cakapkan.

Terima kasih sudi baca sampai habis. Care to share.

RFS : Masih belajar jadi ayah mithali

Sumber/Foto : Raisul Fadhla Safiruddin

Published by
Netty Ah Hiyer