Salah Ku Kerana Mengkhianati Kepercayaan Mu…

Share

Salah sendiri andai tak setia. Akhirnya diri yang menanggung derita bila pasangan tidak mampu memberikan kemaafan.

Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan pastinya berdoa agar mahligai yang dibina itu akan kekal hingga ke hujung nyawa. Namun, bukan semua mampu melayari bahtera rumah tangga yang tidak putus dilambung badai. Salah sendiri yang akhirnya menyebabkan rumah tangga musnah.

Salah Sendiri, Hanya Setahun Bahagia

Rizman Hakim telah melangsungkan perkahwinan selama setahun dengan gadis pilihan hati, Fatin Ardila. Siapa sangka, pasangan yang sepadan itu hanya mampu mempertahankan kebahagiaan mereka selama setahun sahaja.

“Abang janji, abang akan jaga sayang dengan seluruh jiwa abang. Sayang jangan risau ye,” itulah janji Rizman pada malam pernikahan mereka.

“ Saya harap abang dapat kotakan janji abang itu. Jangan tipu saya sebab saya paling benci dan tak dapat terima sebarang penipuan. Jika dah tak suka, terus terang, saya rela undur diri. Tapi saya takkan maafkan orang yang menipu,” Balas Fatin Ardila tegas.

“Tidak sayang. Abang takkan buat macam tu,” balas Rizman.

Hidup Bahagia

Mereka dianggap pasangan yang sepadan kerana seorang cantik dan seorang tampan. Mereka berkawan sejak zaman kampus dan dianggap ‘hot couple’. Tiga tahun bersama, mereka saling setia walau pun masing-masing punya ramai peminat.

Setelah tamat pengajian dan menempuh alam pekerjaan, kata sepakat dicapai untuk disatukan. Selama empat tahun mereka hidup bahagia walau pun tanpa cahaya mata. Bagi Rizman, dia tak sanggup menduakan Fatin hanya kerana inginkan zuriat. Fatin seorang isteri yang terlalu baik bagi Rizman.


Muncul Tanpa Diundang

Siapa sangka, pada mulanya bantuan dihulurkan atas dasar simpati, namun akhirnya membuahkan bibit percintaan. Segala-galanya bermula ketika Rizman membantu seorang rakan sepejabat, Nina, daripada diserang oleh tunangnya yang kaki pukul. Teruk wanita itu dikerjakan dan Rizman yang membawanya ke klinik.

Sejak itu Rizman sering menjadi tempat Nina meluahkan perasaan dan Rizman yang banyak memberikan sokongan sehingga Nina berani memutuskan pertunangannya. Lama-kelamaan keakraban itu membuahkan rasa sayang. Namun di hati Rizman, dia tetap sayangkan Fatin, wanita teratas bertakhta di hatinya. Hubungan itu berjalan di luar pengetahuan Fatin.

Pecah Lubang

Tugas Fatin memang sering kali membuatkan dia perlu ke luar daerah. Paling tidak sebulan sekali. Peluang untuk digunakan oleh Rizman untuk berjumpa dengan kekasihnya tanpa takut-takut. Kali ini mereka bertemu janji di sebuah pusat beli-belah. Memang seronok makan-makan sambil menonton wayang. Kembali bercinta membuatkan jiwa lelaki Rizman terasa muda.

Mungkin juga kesunyian tanpa cahaya mata membuatkan Rizman mencari hiburan di luar rumah. Tak sangka, gelagat pasangan ini menjadi intipan empat pasang mata.

Terbongkar Salah Diri

Malam itu, Rizman pulang agak lewat kerana tahu Fatin hanya akan pulang esok hari. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati Fatin ada di rumah, bersama dua orang wanita yang Rizman turut kenal, iaitu rakan-rakan baik Fatin.

“Abang, cuba terus terang dengan saya. Siapa perempuan ni? Abang tipu saya ya?” Tanya Fatin seraya menunjukkan foto-foto di skrin telefon bimbitnya. Berderau darah dan lemah kepala lutut Rizman bila melihatkan itu foto-foto mesranya bersama Nina. Rupa-rupanya tadi rakan-rakan Fatin ternampak mereka.

Sesalan Tiada Guna

Rizman tidak mampu kata apa-apa, hanya mampu mengaku. Rizman terasa amat menyesal dan bersungguh-sungguh meminta maaf kerana telah curang di belakang Fatin.

“Nasi sudah menjadi bubur. Saya sudah pesan pada awal perkahwinan kita. Saya benci dan tak boleh terima penipuan. Saya tak kisah kalau abang terus terang minta izin untuk kahwin lain demi hendakkan zuriat. Tapi saya tak boleh terima bila abang tipu saya. Maaf, hati saya hancur.” Fatin berkata tegas.

Berpisah Sebab Salah Sendiri

Rizman mengizinkan Fatin keluar dari rumah untuk memberikan mereka tempoh bertenang. Setiap hari dia cuba memujuk dan merayu Fatin maafkan dia. Ternyata hati Fatin sekeras batu. Akhirnya, Rizman terpaksa lepaskan Fatin dengan berat hati.

Setahun berlalu namun masing-masing belum ada pengganti. Rizman menyesal kerana dia bukan mencintai kekasihnya dahulu sepenuh hati dan selepas kejadian mereka berpisah. Hingga kini dia tidak jemu meminta maaf dan merayu agar Fatin dibukakan hati untuk menerimanya kembali dan dia menunggukan hari itu dengan sabar…Ya, dia salah kerana mencurangi isteri sebaik Fatin..

https://www.mingguanwanita.my/suami-curang-sebab-isteri-lambat-masak-pun-boleh-dijadikan-alasan-sampai-hati/

Published by
Nurul Azwa