Suami isteri berkahwin tentulah matlamatnya mahu mencari redha Allah. Caranya, suami kena faham tanggungjawabnya, isteri kena akur kedudukannya di sisi suami.
Bila dapat cahaya mata, anak dididik dengan panduan yang betul. Terutama anak lelaki, supaya menjadi pemimpin bukan saja untuk keluarganya, malah masyarakat.
Sayangnya bukan sebegitu yang jadi dalam masyarakat kita hari ini. Ramai yang salah faham, sudahnya isterilah yang merana hati dan perasaan.
Perkongsian Puan Rohamiah Muda, banyak benarnya tentang banyak kesilapan dan salah faham dalam rumah tangga berlaku kerana kurangnya ilmu.
Hari ini, sama ada suami, isteri, mak ayah atau mentua memandang perkahwinan dari segi dunia, bukan pada pandangan agama.
Contohnya, anak lelaki disuruh berkahwin supaya anak lelakinya dijaga oleh isteri. Padahal dalam agama, seorang lelaki berkahwin untuk menjaga dan melindungi seorang wanita, iaitu isterinya.
Kata ibu kepada anak lelaki, “Carilah bini, ada yang menjaga kamu.”
Faktor inilah yang menyebabkan ramai suami yang tidak bertanggungjawab kerana perkahwinan dibina bukan kerana agama. Tetapi, lelaki berkahwin dengan niat ada seorang isteri yang menjaga dirinya. Sedih!
Lagi? Antara salah faham dalam perkahwinan adalah, isteri seolah-olah diwajibkan bekerja untuk membantu kewangan suami.
Padahal, dalam agama, suami wajib bekerja untuk menyara isteri dan anak-anak. Suami wajib mencari nafkah dengan bersungguh-sungguh supaya anak isteri tidak kebulur.
“Kak, suami tak bagi saya berhenti kerja. Nanti duit belanja rumah tak cukup,” adu seorang isteri kepada saya. Allahu.
Suami sekarang agaknya sudah hilang rasa malu kerana makan duit hasil titik peluh isteri. Dunia sudah terbalik.
Salah faham yang lain adalah jika isteri bekerja, suami melepaskan terus tanggungjawab dalam urusan nafkah dan kewangan keluarga. Bahkan, duit isteri dianggap seperti duit sendiri.
Paling geram rasa di hati jika suami bersifat kedekut. Apabila isteri minta sesuatu, suami berkira-kira. Padahal suami lupa isteri banyak membantu dalam urusan keluarga. Macam mana rezeki mahu masuk jika dengan keluarga sendiri bersifat kedekut?
Satu lagi isu yang paling menyedihkan adalah isteri yang tidak bekerja dipandang rendah oleh keluarga suami. Allahu.
Isteri yang tidak bekerja sebenarnya banyak memberi sumbangan kepada rumah tangga dan keluarga. Anak-anak lebih terurus dan rumah tangga pun lebih terjaga.
Inilah kesilapan jika kita hanya memandang dunia semata. Niat berumah tangga bukan kerana Yang Maha Esa.
Betulkan niat berkahwin kerana Allah. Insya-Allah, Allah pasti bantu jika kita ada masalah.
Hidup pasti bahagia jika kita ikut agama.
Sedih rasa hati mendengar rintihan seorang menantu perempuan yang mengadu kepada saya bahawa dia selalu disindir oleh ibu mentua kerana tidak bekerja.
Lagi sedih apabila dia dikatakan menghabiskan duit suami kerana tiada pendapatan sendiri.
Allahu. Inilah salah faham dalam keluarga. Isteri yang tidak bekerja dipandang dengan sebelah mata.
Isteri memang tidak wajib bekerja kerana tugas memberi nafkah adalah di bawah tanggungan suami. Memberi makan, pakaian, menyediakan tempat tinggal dan nafkah bulanan adalah wajib ditanggung oleh seorang suami seratus peratus.
Bahkan, seorang suami wajib selesaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak sebelum mengasingkan nafkah untuk ibu ayah.
Sebagai ibu mentua, tidak sepatutnya berkata begitu kerana dia merendahkan seorang wanita yang sanggup berkhidmat untuk anak lelakinya. Doakan kehidupan yang terbaik buat anak dan menantu.
Kemuliaan seorang menantu bukan terletak kepada kerjaya yang hebat. Tetapi ia bergantung kepada akhlak dan sikap. Apa guna berkedudukan tinggi jika adab diletak di kaki.
Suami yang tidak kedekut dengan isteri, Allah akan luaskan rezekinya. Niat bekerja kerana Allah untuk memberi nafkah kepada anak isteri di rumah.
Insya-Allah, pasti ada lebihan rezeki buat mak dan ayah.
Orang yang bahagia gembira melihat orang lain bahagia.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Sentiasa mencari redha-Nya
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.