Adab menyantuni orang sakit ini sebenarnya perlu dihadam dengan baik. Lagi-lagi orang sakit, emosinya tak sama dengan orang sihat.
Mereka lebih sensitif, dan berusaha keras untuk menerima ujian yang tuhan berikan kepada mereka. Tak mudah ya tuan puan. Lagi-lagi penyakit yang memerlukan rawatan berpanjangan.
Apabila diuji sakit kanser ovari tahap 2 dan kanser rahim tahap 3, Puan Ezatul Marini ambil masa dua bulan menyendiri. Malah, off langsung media sosialnya.
Dalam tempoh itu, dia berusaha bangkit kembali. Menerima takdir ujian tuhan untuknya. Dan dalam tempoh dia ‘menghilangkan diri’ tentulah ada rakan-rakan yang mencari, bertanyakan khabar dirinya.
Pengalaman inilah yang dikongsikan. Emosi menyantuni pesakit dari luahan pesakit itu sendiri. Semoga selepas ini kita tak membuat kesilapan dalam memahami emosi pesakit terutama mereka yang dekat dengan kita.
Sebelum ini, lama sebelum saya dihadiahkan ujian sakit ini, banyak perkara yang saya tidak arif terutamanya adab dalam menyantuni pesakit.
Sekarang, saya mula faham rupanya ada banyak perkara yang perlu kita cakna kala berurusan dengan pesakit.
Ye, kita ini tentu sekali banyak soalan hendak ditanyakan pada pesakit. Sakit apa? Bila tahu? Apa simptomnya? Kenapa tak pergi hospital lebih awal?
Kita mungkin tak tahu, adakalanya sang pesakit itu tidak mampu berikan jawapan untuk semua persoalan yang kita ada. Kadangkala, nak menghadam keadaan dirinya pun dia cuba bermati-matian, tambah pula dengan soalan kita, mau stress mereka dibuatnya.
Kita maklum mereka sedang ditimpa ujian, faham dan sebaiknya usahlah tanyakan perkara-perkara lain yang mungkin sensitif bagi mereka. Doakan sahaja yang baik-baik. Itu lebih mereka hargai.
Adakalanya kita tidak arif memilih kata- kata yang sesuai untuk dizahirkan kepada sang pesakit.
Barangkali pesakit sedang berperang dengan emosi atau sedang bergigih membina rasa positif dalam menghadapi ujian sakitnya itu. Kita ini bermaksud baik mengirim kata- kata semangat, malangnya pilihan kata kita kurang kena dengan keadaan diri pesakit.
Tak semena- mena sang pesakit jadi terganggu. Eleh! Cakap gini salah, cakap gitu salah, bukan main banyak songeh ye orang sakit ni? Bukan begitu, kita kena cuba letak diri di tempat dia, kita mungkin nampak dia OK tetapi dalam hatinya? Empati, empati, empati.
Jangan kasihankan mereka. Perkataan seperti “kesiannya”, “sedihnya” taboo kepada pesakit. Jangan tunjukkan kesedihan di depan mereka. Tolong mereka untuk tingkatkan rasa positif bukan jatuhkan semangat mereka.
Rumit menyantuni pesakit sebenarnya. Jadi perlu hati- hati!
Semasa mula- mula diberitakan keadaan diri, saya deactivate semua media sosial kerana saya perlukan masa untuk menerima, memahami dan seterusnya menanam rasa positif, syukur dan bergantung kepada Allah.
Ye, ramai kawan tertanya- tanya kemana saya. Ada yang bertanya terus kepada saya, ada yang tanyakan pada kaum keluarga dan ada yang tanyakan pada kawan-kawan yang rapat.
Kadang- kadang kita ini nak tahu, hingga tanpa sedar kita seolah memaksa pesakit untuk bercerita. Lebih malang, bila pesakit tidak sedia untuk berkongsi, kita bertukar jadi penyiasat. Siasat sana, siasat sini demi nak dapatkan juga cerita. Bila pesakit dapat tahu, tidak kah itu timbulkan persepsi?
Kita kena faham. Bila pesakit belum mahu bercerita bermakna beliau perlu masa. Ye, memang ada yang bertanya terus kepada saya dan saya jawab secara personal. Saya sendiri ambil masa 2 bulan untuk terima semua dan berkongsi. Mungkin ada yang perlukan lebih lagi masa.
Sungguh, doa kita semua sangat diperlukan oleh pesakit. Doa yang baik- baik sangat memberi mereka kekuatan. In sya Allah mereka sudah cukup redha dan tabah menerima ujian kesakitan, maka kirimkan mereka doa untuk kesembuhan.
Saya sendiri, selalu katakan pada anak murid yang menghubungi saya, “doakan saya ye. Doakan saya sembuh total dan tiada penyakit lain kerana Allah, demi Agama dan anak- anak. Doa awak semua power”
Doa kaum keluarga, kawan-kawan juga sangat memberikan semangat. Maka kirimkan doa kepada mereka.
Bantu pesakit bina rasa positif yang mereka bakal sembuh. Bantu mereka tebalkan rasa pergantungan pada Allah. Ye, ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Kuasa. Tetapi, Allah juga Maha Penyembuh maka bantu mereka untuk percaya dan yakin Allah kirimkan ujian, Allah juga ada penyelesaiannya.
Allah tidak pernah takdirkan yang buruk- buruk untuk hambaNya walaupun melalui sakit yang sedang mereka hidapi itu. Dan Allah juga tidak jadikan sesuatu itu sia- sia. Allah juga kirimkan ujian sesuai ganjaran di hujungnya.
Mereka perlukan kata- kata semangat untuk kukuhkan lagi rasa positif maka jangan “potong” rasa itu dengan menurunkan perasaan yakin mereka
Semoga apa yang saya coretkan memberikan kita sedikit pencerahan. Segala yang buruk itu dari kelemahan saya dan hanya Allah pemilik segala kesempurnaan.
Saya juga pasti pernah buat kesilapan-kesilapan yang saya senaraikan. Saya mohon maaf atas ketidakprihatinan saya. Semoga saya mampu mengubahnya
Saya amat hargai setiap doa dan kata- kata motivasi yang dikirimkan buat saya. Ramai tanya mengapa saya nampak kuat dan positif. Itulah jawapannya.
Terima kasih ye semua!
MW : Semoga tuan puan sedia maklum, dan lebih berhati-hati dalam menyantuni pesakit.
Sumber/Foto : Ezatul Marini