Susulan nahas pertembungan MPV dengan lori yang mengorbankan tujuh nyawa, seorang saksi berkongsi kisah sayu terdengar jeritan dan tangisan kanak-kanak dari dalam kenderaan MPV jenis Perodua Alza.
Saksi kejadian, Syazwan Muhd Suhaimi, 21 memaklumkan menyaksikan depan mata tubuh mangsa yang saling bertindih disebabkan kenderaan sudah terbalik.
Kejadian yang berlaku sekitar 5.30 petang itu berlaku betul-betul di hadapan gerainya. Selepas mendengar bunyi hon yang panjang, dia dengar bunyi satu dentuman yang kuat. Serentak itulah, dia denga suara jeritan dan tangisan mangsa meminta tolong.
Bila saja lihat kemalangan berlaku depan mata, para pelanggan gerainya kira-kira 10 orang segera berlari membantu mangsa.
Dalam keadaan cemas itu, mereka sedaya upaya membantu mana yang tidak memberi kecederaan lanjut kepada mangsa.
Mereka terpaksa memecahkan cermin dan buka bahagian but untuk bantu keluarkan tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki.
Memandangkan keadaan mangsa saling bertindih, dengan kecederaan teruk dan darah yang bertaburan sana sini, membuatkan mereka tak berani ambil risiko keluarkan mangsa yang lain. Bimbang akan lebih membahayakan mangsa.
Masing-masing yang membantu berusaha menenangkan mangsa dan minta mereka beristighfar dan mengucap.
“Mujurlah waktu kejadian, tak banyak kereta lalu lalang. Kalau tak mungkin keadaan lebih teruk.” Ujarnya yang masih terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku di tempatnya sejak gerainya dibuka Disember lalu.
“Kami bersyukur dapat bantu mangsa yang terselamat.”
Kenderaan MPV yang dinaiki 10 sekeluarga itu mengorbankan 7 penumpang, 3 lagi cedera, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Dalam pada itu, Komander Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab memaklumkan mangsa yang maut merupakan dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Tiga mangsa lain yang cedera pula adalah dua kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa,” katanya.
Pasukan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan semua mangsa, ketujuh-tujuh mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 6.40 petang.
Sumber/Foto : Sinar Harian