Sakitnya Derita Bengkak Susu, Guna 6 Cara Ini Bagi Reda

Share

Sakitnya bengkak susu, tuhan saja yang tahu. Masa itu, anak nak menyusu pun tak boleh dah. Dua-dua tak selesa, baik mak mahupun anak. Mulalah badan mak rasa tak selesa, sampai nak demam dibuatnya.

Kadang suami tak faham betapa deritanya bengkak susu. Bukan boleh terus sua susu yang membengkak pada bayi yang menangis-nangis sebab nak susu tu. Boleh bayangkan tak kestresannya macam mana.

Tapi kalau dah ditakdirkan mak alami bengkak susu, ini cara alternatif yang mak boleh cuba. 6 cara ini boleh redakan sakitnya bengkak susu.

6 Cara Redakan Bengkak Susu

1. Usahakanlah Mandi Air Panas Suam

Berendam dengan air panas suam dapat membantu melembutkan payudara anda. Ketika mandi urut ditempat yang ada benjolan atau ketulan di bahagian belah kanan, kiri, bawah atau atas payudara.

2. Menyusu Terbalik

Di mana kedudukan ibu bertentangan dengan arah kedudukan anak yang sedang baring. Mudahnya anak berada di bawah dan ibu berada di atas, memangku tubuhnya dengan tangan, Ramai ibu yang gembira dengan hasilnya.

Posisi ibu membolehkan graviti membantu aliran susu ibu supaya lebih lancar ketika bayi menyusu. Untuk lebih selesa, ibu boleh meletakkan beberapa biji bantal supaya ibu tidak krem dan letih semasa menyusu dalam  posisi ini.

3.  Mak Sila Cool, Relaks Dan Tenangkan Fikiran

Sambil menyusu, tenangkan fikiran. Tekanan boleh melambatkan penyembuhan. Cara paling mudah, tenung wajah si manja anda semasa menyusu. Sebaik selesai penyusuan, anda akan mendapati ketulan itu telah hilang.

 

4. Guna Daun Kubis Pun Boleh

Ambil kelompak daun kubis dan tutup disekitar payudara anda. Daun kubis yang mampu melembutkan bengkak susu. Sebelum letak di sekitar payudara pastikan daun kubis itu dipanaskan seketika.

5. Pergilah Berurut Dengan Yang Pakar

Adakalanya anda perlukan bidan yang pakar dan tahu titik bengkak susu ini. Ketika mengurut itu memang sakit, anda harus menahan kesakitan itu. Selepas urutan itu anda tidak akan ada masalah bengkak susu lagi.

6. Picit Sekitar Puting Susu

Ketika mandi fokuskan kepada sekitar puting susu. Picit perlahan-lahan sehingga ia mengeluarkan ketulan berwarna putih. Lama kelamaan anda tidak akan merasa bengkak susu lagi.

Kenapa Susu Tersumbat?

Susu tersumbat ini kebiasaanya berlaku kerana ibu kurang mengepam atau bayi kurang menyusu secara efektif. Jika payudara tidak disalirkan dengan betul, susu akan terus mengundur kerana penghasilan lebih cepat daripada saliran. Susu  ini akan dipaksa mengalir ke tisu sekitar yang akan menyebabkan keradangan, tisu jadi merah, panas dan sakit.

Sesetengah ibu akan mengesan satu tompokan putih kecil pada hujung putingnya, iaitu tanda saluran puting susu tersumbat, sel kulit tumbuh di atasnya. Jika anda menghidapinya, anda boleh merawatnya dengan mencucuk hujungnya dengan jarum yang telah disteril atau anda boleh memicitnya sendiri.

Apabila susu tersumbat itu pecah, susu akan memancut. Anda akan rasa sangat lega dan selesa. Ketulan dan benjolan pada payudara akan hilang serta merta.

Published by
Naimah Muhammad