Pilunya hati seorang mak apabila melihat anaknya sendiri digilis kereta di depan mata! Lebih menyayat hati mendengar luahan dan rintihan anak yang sedang kesakitan bertarung nyawa.
“Sakit mak, cepat hantar Boboi ke hospital,”.Itu permintaan Muhammad Aeril Akhtar Mohd Rizal, 6, yang maut selepas dipercayai digilis sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Gong Pasir-Balai Besar, Dungun hari ini.
Dalam kemalangan 1.15 tengah hari itu, Muhammad Aeril Akhtar atau mesra dipanggil Boboi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Dungun 2.20 petang.
Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bersama ibunya, Noor Hayati Mohd Noor, 41, dari arah Gong Pasir menuju ke arah Alor Tempoyak secara melawan arus melalui bahu jalan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan berhenti di tepi sebuah kereta yang di parkir di situ sebelum penumpang tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah kiri dan mengenai motosikal dua beranak itu.
Berikutan itu, dua beranak itu jatuh sebelum Muhammad Aeril Akhtar dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Alor Tempoyak menuju ke Gong Pasir.
Noor Hayati berkata, dia bersama anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli ikan di sebuah kedai di situ.
Katanya, motosikal mereka terjatuh sebaik terkena pintu kereta berkenaan sebelum anaknya dilanggar kereta.
“Saya menerpa ke arah Boboi yang ketika itu menangis kesakitan dan meminta saya segera menghantarnya ke hospital,”
katanya.Menurut Noor Hayati, pegawai perubatan segera memberi rawatan kepada anaknya sebaik mereka sampai di hospital sementara dia tidak putus berdoa anaknya itu selamat.
“Namun sudah suratan Ilahi apabila Boboi disahkan meninggal dunia kira-kira sejam selepas kemalangan itu.
“Boboi anak bongsu daripada empat beradik dan dia tidak menunjukkan sikap pelik.
“Kehilangannya memberi kesan terutama ketika dia meminta saya menghantarnya ke hospital,” katanya sambil memaklumkan tidak sempat mengambil nombor pendaftaran dua kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
“Setakat ini, kita belum menerima laporan daripada dua kereta yang terbabit dalam kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.
MW: Allahu, salam takziah buat keluarga mangsa. Ajal maut ketentuan tuhan, semoga diberi kekuatan menghadapi ujian yang ditakdirkan. Buat pemilik kereta semoga bersikap bertanggungjawab, serah diri buat laporan di balai polis terdekat.
Sumber: Hmetro