Uncategorized

“Sakit Beranak Belum Hilang, Senang-Senang Dia Kelar Dua Anak Sekali Gus..”, Norhasyelawati.

Share

Setiap hari ada sahaja kes jenayah, namun kes jenayah ini cukup menyayat hati apabila sang ibu kehilangan dua anaknya serentak secara tiba-tiba. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan dua beradik maut dikelar oleh lelaki di bawah pengaruh dadah di Yan, Kedah.  Cara kematiannya memilukan. Bukan sahaja pada ibunya, malah seluruh rakyat Malaysia, apabila dua anak kecil yang belum mengerti apa-apa dikelar tanpa belas.

Suasana hiba ketika majlis pengebumian Hanim dan Hafiz. (Foto Sinar Harian)

Panggil Suami

Mengimbau kejadian yang berlaku, pada malam itu Norhasyelawati Yusof, 37 tahun, dan dua anaknya iaitu Nurul Hanim Idris dan adiknya Mohammad Hafiz, setahun, tidur bersama. Tidur mereka tiba-tiba diganggu dengan jeritan seorang lelaki yang memanggil nama suaminya, Idris Saad.

Abang iparnya, Sobri Saad yang tinggal bersama turut terkejut lalu  turun dari tingkat atas rumah untuk membuka pintu. Ketika pintu dibukalah, suspek bertindak melibas parang lalu terkena pada pipi kiri Sobri.

Melihat keterlanjuran sikap pelaku, Sobri cuba menyelamatkan diri dan pada masa yang sama suspek dengan beraninya masuk kea dalam rumah dan cuba menikam Norhasyelawati tetapi tersasar.

Setiap kali sedih, dia akan istighfar dan sedekahkan Al-Fatihah buat anak-anaknya. (Foto Sinar Harian)

“Saya terus lari nak dapatkan bantuan, tidak sangka pula dia sanggup mengelar anak-anak saya. Lagi pun sebelum ini dia tidak berani masuk ke dalam rumah. Setiap kali dia datang, kalau suami saya tiada, dia terus pulang.

“Dia memang kawan baik suami dan membesar bersama suami, jadi tidak sangka dia sanggup lakukan perkara sebegini pada anak-anak saya. Lebih sedih apabila saya dapat tahu anak saya Nurul Hanim cedera lebih teruk hingga lehernya hampir putus.

“Anak-anak saya masih kecil, Hafiz baru setahun. Sakit melahirkannya pun belum hilang sebab saya bersalin menerusi pembedahan. Dia senang-senang bunuh anak saya macam tu saja. Saya memang nak dia terima hukuman yang setimpal di atas perbuatannya terhadap anak-anak saya yang tak berdosa itu. Kalau boleh kena hukuman gantung. Sebab dia ambil dua nyawa anak saya serentak,” ungkapnya sedih mengenangkan masa depannya tanpa dua anaknya.

Hafiz yang berusia baru setahun memang sangat manja kerana sepanjang masa diulit Norhasyelawati. (Foto Sinar Harian)

Perubahan Laku

Ternyata ujian ini terlalu berat buat Norhasyelawati, kehilangan dua anak yang masih kecil dan manja buatkan dia hilang arah. Berhari-hari dia menangis tatkala terkenangkan arwah Nurul Hanim dan Hafiz. Namun selepas beberapa hari dirinya beransur kuat, tetapi hingga saat ini dia tidak mampu menjejakkan kaki ke rumahnya.

Kini, dia bersama suami Idris Saad, 47 tahun, menumpang teduh di rumah kakak iparnya yang tinggal berdekatan. Setiap kali terpandang rumah tempat berlakunya kejadian, hatinya mula hiba, tetapi dia mula belajar untuk reda dan pasrah.

‘Memang saya sedih sampai tak mampu jejakkan kaki kat rumah. Terbayang gelagat anak-anak, saya yang mandikan dan pakaikan baju mereka. Saya juga yang suap makan. Selalunya sepinggan nasi, kami kongsi bertiga, bergilir-gilir kami makan bersama.

‘Sebelum kejadian, anak kedua saya yang satu-satunya perempuan memang nampak sedikit berbeza. Selama ini dia memang berhenti minum susu botol, tetapi dua hari sebelum kejadian dia meronta-ronta nak minum susu.

‘Mulanya memang ingat tak nak bagi sebab dia sudah bersekolah tadika, tetapi melihat perangai dia yang semacam saya turutkan juga. Terpaksalah dia berkongsi botol dengan adik bongsunya. Begitu juga setiap kali dia nak ke sekolah, dia akan salam dan cium saya.

“Adiknya pula saya tidak nampak perubahan yang ketara sebab dia masih kecil, tetapi saya teringat-ingat setiap kali saya tanya dia sayangkan saya atau tak. Dia akan cium saya berkali-kali dan sampai satu tahap dia peluk kuat-kuat sambil gigit saya,” tambahnya sebak.

Hanim adalah satu-satunya anak perempuan Norhasyelawati, jadi memang pedih dengan apa yang berlaku. (Foto Sinar Harian)

Miliki Rumah Baru

Setelah peristiwa hitam itu berlaku, Norhasyelawati, dikhabarkan bakal mendapat bantuan membina rumah baru. Namun perkara itu langsung tidak mampu menghapus rasa pilu di hatinya. Sebenarnya menurut ibu beranak tiga, sememangnya telah lama dia memohon bantuan untuk membina rumah baru kerana bimbang keselamatan anak-anaknya kerana rumahnya terlalu uzur.

Cuma apa yang diharapkan ibu ini adalah sekurang-kurangnya kesedihannya sedikit kurang apabila rumah lamanya dirobohkan agar. Norhasyelawati juga ingin mulakan hidup baru dan belajar hidup tanpa dua anaknya. Fokusnya kini lebih terarah kepada anak sulungnya.

Rumah yang menjadi saksi kepada kematian Hafiz dan Hanim ini bakal dirobohkan dan keluarga ini akan mendapat bantuan rumah baru.

“Memang orang lain anggap apabila rumah lama dirobohkan, saya dapat hapuskan kenangan lama bersama anak-anak. Tetapi apakan daya, sebagai ibu macam mana saya nak lupakan semua itu? Tambahan pula saya memang rapat dan jaga mereka sendiri.

‘Setiap kali saya rasa sedih, saya akan istighfar dan sedekahkan surah al-Fatihah kepada mereka berdua. Untuk membuang rasa sedih ini, saya cuba masuk rumah lama dan kemaskan pakaian anak-anak, masukkan dalam beg. Separuh jalan sahaja, lepas tu saya menangis. Saya tak tahan setiap kali tengok baju-baju mereka,” katanya sebak sebelum mengakhiri perbualan.

***Terima kasih kepada Norjuliana Yaacob, Skuad Sinar Harian, Yan, Kedah(FOTO).

Published by
Syazwani Mehat