Sakit Belakang Ingat ‘Slip Disc’ Rupanya Petanda Hidap Kanser Payudara Tahap 4!

Share

Sakit Belakang Ingat ‘Slip Disc’ Rupanya Petanda Hidap Kanser Payudara Tahap 4! Setiap perubahan yang berlaku dalam diri, merupakan petanda bagi sesuatu penyakit atau tahap kesihatan sendiri.

Seorang wanita di Taman Guru, Air Merah, di sini, tidak menyangka sakit belakang yang disangka akibat masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc rupa-rupanya petanda dia menghidap kanser payudara.

Anaknya, Hanis Fakhira Mohd. Amin, 23, berkata, ibunya, Norsidah Yusuff, 47 disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu dan kini sudah berada pada tahap empat.

Terbaring Lemah Sejak Sebulan

Katanya, keadaan ibunya semakin lemah selepas menjalani rawatan di hospital sehingga menyebabkan ibunya terbaring sejak sebulan lalu.

“Awalnya ibu tidak tahu pun dia menghidap kanser payudara, tetapi ada mengadu sakit belakang yang disangka slip disc. Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan ibu menghidap kanser dan kini telah sampai tahap empat.

“Kanser sudah merebak ke organ yang lain, menyebabkan kesihatannya merudum selepas menjalani rawatan radioterapi di hospital. Keadaan itu menyebabkan beberapa lagi kitaran rawatan yang sepatutnya dilakukan terpaksa dihentikan sehingga ibu stabil.

“Ibu juga sekarang bergantung kepada mesin oksigen di rumah secara 24 jam. Keadaannya sekarang terlantar dan hanya mampu minum susu khas melalui tiub selain memakai lampin pakai buang,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, Norsidah menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas bersama Pertubuhan Amal Bakti Kebajikan Masyarakat Mersing serta wakil Baitulmal Mersing.

Dalam lawatan itu Islahuddin menyerahkan sumbangan lampin pakai buang serta susu khas yang diperlukan ibu kepada empat orang anak itu.

Kos Rawatan Mencecah RM3,000 Sebulan

Kakak ipar, Rosni A. Hamid, 60, pula berkata, Norsidah juga menerima bantuan sewaan tong oksigen daripada Ustaz Tido untuk tempoh enam bulan.

“Dianggarkan kos untuk rawatannya sahaja mencecah RM3,000 sebulan. Suaminya bekerja tetapi perlu tanggung anak yang masih belajar. Syukur apabila ramai yang membantu,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Norsidah Yusuff 01096020268591.

Mesti Baca: Suami Sanggup Jadi Jururawat Jaga Isteri Sakit Kanser Payudara “3 Tahun Harung Teruskan Hingga Akhir Hayat”
Baca Lagi Di Sini: “Siapa Nak Bantu Tolakkan Kerusi Roda Saya?”, Keluh Pesakit Kanser Payudara Ditinggalkan Suami


Artikel Menarik Ini: 8 Tanda Awal Kanser Payudara, Tapi Ramai Wanita Yang Lambat Sedar & Tak Ambil Peduli

Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan segala urusan buat wanita ini, diberikan kesembuhan dan diangkat kesakitannya.

Sumber :Kosmo

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab