
Isi Kandungan
ToggleBeruntung siapa yang rajin makan tom yam. Sebab bahan-bahan yang terkandung dalam masakan tom yam ini didapati mempunyai banyak khasiat antaranya boleh menghalang pertumbuhan tumor dan pertumbuhan kanser. Namun, ada cara makan yang betul untuk dapatkan tom yam yang benar-benar berkhasiat.
Ini dinyatakan oleh Dr Suri Roowi, Saintis merangkap Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam temubualnya bersama radio IKIMfm.
Dr Suri Roowi memfokuskan kajian mengenai makanan yang kaya dengan antioksidan. Yang mana usahanya ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebaikan makanan yang kaya antioksidan.
“Ada satu kajian yang dibuat di Universiti Kasetsart, Thailand dan Universiti Kyoto, Jepun tentang tom yam mendapati bahan-bahan dalam tom yam boleh menghalang pertumbuhan tumor dan kanser berbanding makanan lain.
Tambah beliau lagi, “Siapa rajin makan tom yam sebenarnya dia lebih rendah risiko alami kanser usus besar. Syaratnya bahan-bahan tom yam yang digunakan mestilah menggunakan sumber-sumber asli seperti daun limau purut, serai dan sebagainya. Dan semasa nak memasak, kenalah kurang kurangkan penggunaan MSG.”
Antara Bahan Masakan Dalam Tom Yam Yang Anti Kanser
Daun Ketumbar
Menurut Dr Suri, antara bahan-bahan dalam tom yam sangat memberi peranan dalam aktiviti anti kanser adalah daun ketumbar. Yang mana, daun ketumbar ini sangat bagus kerana ada sifat antioksidan. Tumbuhan ini bagus untuk orang yang mengalami masalah diabetes (kencing manis) terutama untuk mengawal gula dalam darah. Daun ketumbar juga bermanfaat untuk mereka yang ada masalah saraf.
Serai
Dari kajian menunjukkan bahan citral dalam serai ini bertindak sebagai anti kanser terutama kanser usus besar, kanser ovari dan kanser payu dara.
Kajian ke atas serai ini banyak melibatkan sel. Yang mana semasa kajian dibuat, saintis akan tanam sel dalam satu bekas dan menggoncangkan bekas tersebut. Kemudian, dikaji dengan memasukkan satu minyak dalam sel. Dan hasilnya kelihatan sel-sel kanser itu mati.
Daun Limau Purut
Dalam masakan tom yam juga terdapat daun limau purut. Daun ini kaya antioksidan. Kajian terkini menunjukkan bahawa daun limau purut boleh bertindak sebagai anti kanser. Yang mana, kajian itu telah dilakukan ke atas tikus.
Temu Kunci
Bagi sesetengah pengguna, selain penggunaan lengkuas, mereka juga memasukkan temu kunci dalam masakan tom yam. Ini banyak dilakukan oleh masyarakat Vietnam. Sebenarnya temu kunci ini ada banyak manfaat kesihatan iaitu anti kanser dalam kanser pankreas. Yang mana, khasiat ini banyak ditemui dalam rizom temu kunci
Haa.. apa lagi mak-mak. Lepas ini rajin-rajinlah masak tom yam untuk suami dan anak-anak ya. Tapi kenalah gunakan bahan-bahan masakan semulajadi.
Sumber/Foto : Dr Suri Roowi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menyanyi Dalam Kelas, Cikgu Anis Salwa Bantu Murid Mudah Ingat Dalam Pembelajaran

Isi Kandungan
ToggleBergelar seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah. Memberi ilmu kepada anak bangsa merupakan satu pengorbanan yang sangat besar. Apatah lagi bukan semua orang boleh bersabar dalam mendidik kanak-kanak. Ini kerana pelbagai kerenah yang bakal mereka hadapi sepanjang mengajar. Personaliti yang memenuhi ruangan Keranamu Guru kali ini, menjadikan kerjaya ini sebagai yang paling dihormati. Bukan kerana dipaksa malah Anis Salwa Alauddin, 31 menyatakan darah pendidik sudah seabati dalam dirinya.
“Saya tidak pernah rasa terpaksa menjadi seorang guru kerana darah pendidik mengalir dalam diri saya dan itu adalah cita-cita saya, iaitu mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang produktif kepada masyarakat dan negara.
“Ibu bapa saya adalah pendidik. Mereka adalah pendorong terbesar saya untuk masuk ke bidang perguruan ini selain minat saya yang mendalam terhadap profesion ini. Ibu bapa saya telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti pengajian selama lima tahun setengah di IPG KPT, Cheras iaitu kohort pertama guru Ijazah keluaran maktab (kini dikenali sebagai Insitut Pendidikan Guru). Latihan yang secukupnya telah diberikan kepada kami graduan IPG untuk menjadikan kami seorang guru yang berdedikasi. Ibu saya seorang mantan pengetua SMK Sg Soi, Kuantan Pahang merangkap Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan pada usia emas, beliau mendapat Anugerah Tokoh Guru Daerah Kuantan. Keupayaan seorang ibu yang berkerjaya dan membesarkan 12 orang anak adalah sesuatu yang membanggakan saya. Arwah bapa saya merupakan seorang Pengurus Hal Ehwal Pelajar IKIP, Kuantan sebelum beliau bersara,” ungkap guru yang sudah lapan tahun berpengalaman mengajar ini.
Pandai Menyanyi
Dalam mengajar, Anis Salwa juga menyelitkan unsur seni dengan menyanyi, katanya, “Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi minat dan kebolehan menyanyi. Justeru, saya banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana saya percaya ia serba sedikit dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat. Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian juga. Tidak dinafikan, murid-murid teruja apabila saya merupakan ‘penyanyi’ dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube.
“Murid menjadikan diri saya sebagai contoh ikutan mereka. Itu adalah satu pemangkin semangat saya untuk menjadi yang terbaik di mata mereka. Saya cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah. Cuba memberi dan membuka peluang kepada diri untuk mengembangkan potensi diri yang ada dalam pelbagai bidang. Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” terang Anis Salwa yang pernah menjadi Johan beberapa penglibatan seperti Johan Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Johan Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Johan Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Johan Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 dan Undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM & Majlis-majlis Diraja.
Beza Mengajar Sekolah Bandar & Luar Bandar
Pernah mencurahkan bakti di SK St Francis, Sitiawan Perak (2011-2014) dan kini mengajar di SK Gulau, Sik Kedah. Ibu kepada dua orang anak ini, merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Pengalaman mengajar sekolah bandar dan luar bandar. Ternyata pengalaman sungguh berbeza. SK St Francis merupakan sekolah bandar, cabaran mengajar anak murid (lelaki sahaja) pelbagai bangsa dan majoriti berbangsa India. Dapat mempelajari budaya belajar dan bekerja yang menjadikan saya seorang guru yang tegas dalam mendidik.
“Di SK Gulau di mana saya sedang berkhidmat di sini. Sekolah luar bandar. Jauh dari pekan Sik, Kedah. Majoriti Melayu dan beberapa murid Siam. Budaya belajar dan mengajar yang sangat berbeza. Murid di luar bandar bersifat introvert (malu dan pendiam). Enggan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penerimaan murid terhadap guru baharu yang tidak bertutur dialek tempatan mereka adalah sangat sukar. Murid di sini juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai satu bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka. Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi, lama-kelamaan bahasa ini dijadikan satu budaya buat mereka supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat global. Usaha membentuk budaya ini mengambil masa lebih dua tahun. Alhamdulillah, pertuturan harian (basic conversation) mereka perlahan-lahan dapat dikuasai,” ungkap Anis Salwa.
‘From Zero to Hero’
Anis Salwa juga menyatakan ibu bapa menghantar anak mereka dengan suatu harapan. Murid hadir ke sekolah dengan satu impian. Adalah menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat merealisasikan impian mereka. Dari tidak mengenal apa-apa sehingga bijak tulis dan baca.
“Saya suka membentuk sahsiah murid supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing. Dalam pengajaran, saya melibatkan murid dalam aktiviti berkumpulan supaya dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan komunikasi sesama mereka,” sambung Anis Salwa.
Hadiah Istimewa
Anis Salwa juga turut menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah istimewa daripada anak muridnya.
“Murid sekolah rendah mempunyai daya apresiasi yang tinggi terhadap guru mereka. Oleh itu, saya kerap menerima kad-kad ucapan, hadiah-hadiah daripada murid-murid. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menerima naskhah yang berunsur surat cinta tetapi lebih kepada apresiasi seorang murid kepada gurunya. Adalah menjadi kebiasaan apabila murid-murid menyatakan rasa sayang terhadap guru mereka.
Pada setiap Hari Guru, saya turut menjadi tumpuan murid. Banyak hadiah yang diterima. Hadiah paling bermakna ialah hadiah sekotak kurma daripada seorang murid Siam.
“Pada 2018, saya terpanggil untuk menyanyikan sebuah lagu khas buat guru-guru di Malaysia sempena Hari Guru 2018. Saya tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai dan tular di Facebook.
Cabaran Utama
Tidak dinafikan, beban tugas seorang guru adalah sangat banyak. Walau bagaimanapun, Anis Salwa menyatakan dia perlu bijak mengawal emosi dan cuba sedaya upaya menerima segala pembaharuan yang berlaku. Antara cabaran yang dihadapi pada sebagai guru masa kini antaranya, “Kehendak masyarakat terutama ibu bapa yang berkobar-kobar ingin melihat anak mereka berjaya adalah bukan semata-mata di bawah didikan seorang guru. Guru-guru perlu mengembleng tenaga bersama-sama ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak-anak.
“Kecanggihan teknologi mempengaruhi pemikiran anak bangsa yang kadangkala lebih celik daripada gurunya. Kini dunia tanpa sempadan, semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru perlu menjadi lebih progresif dan kreatif dalam menangani masalah ini. Pengajaran konvensional (cara lama – chalk and talk) bukanlah tidak relevan pada masa kini. Tetapi kanak-kanak gen Y dan Z ini lebih bersikap aktif dan suka meneroka sesuatu yang baru. Mereka perlu diajar untuk berkomunikasi dengan baik dan berupaya menyelesaikan masalah harian dengan sistematik. Oleh itu, pengajaran guru perlu pelbagai dan menerapkan unsur-unsur pembelajaran abad ke-21; iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Arus pemodenan dan pengaruh luar serba sedikit memberi impak kepada pembentukan sahsiah murid. Guru menjadi agen bagi menepis pengaruh-pengaruh negatif daripada menular masuk ke dalam pemikiran anak-anak terutama di sekolah rendah.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini

Isi Kandungan
ToggleSemangat luar biasa itu amat-amat perlu ketika menjaga suami sakit. Sabar dan tabah pun kena tinggi melangit. Sebabnya emosi orang sakit tak sama macam orang normal. Bila-bila dia rasa mahu meronta, dia terus meluahkan tanpa memikir hati dan perasaan orang di sekelilingnya.
Tapi, itulah emosi mereka yang penjaga tak boleh nak pertikaikan. Sebabnya mereka dah tak boleh nak kawal minda dan setiap inci gerakan tubuh pada diri sendiri. Sehari dua meladeni pesakit, sabarnya masih boleh ditapis. Jika setiap hari, apa lagi kekuatan yang boleh dipesan pada penjaga melainkan SABAR DAN REDHA!.
Itulah yang dialami Puan Azura Abdullah, ibu anak 4. Apabila suami diserang strok kali ke-5, dia perlu mengambil alih tugas-tugas ketua keluarga. Syukur kerana anak-anak, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad dan Muhammad Isyraf telah dididik berdikari. Baik anak lelaki, masing-masing boleh ke dapur dan memasak sendiri. Tanpa menyusahkan ibunya. Menjaga ayah juga mereka tak kekok.
Menurutnya sebelum ini Melas Syndrome yang suami dialami tidak aktif. Jadinya sebelum ini dikira strok biasa. Masuk kali ke- 5 doktor rasa curious sebab suami masih muda, umur 44 tahun. Ujian jantung, tekanan darah, gula dalam darah dan mata hasilnya ok saja. latest bila MRI dijalankan barulah doktor temui Melas Syndrom dalam tubuh suami.
Setiap momen bersama suami dikongsi di laman facebooknya. Catatan itu mengundang simpati, ada juga kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Kerana catatan itu fahamlah kita apabila tuhan mahu menguji, ada pahala besar mengiringi mereka yang redha dan ikhlas melalui ujianNya.

Catatan Hari Ke-24
Menjaga pesakit strok yang terlantar penatnya hanya Allah swt yang tahu. Tambahan pula jika ada elemen dimensia. Memori yang tidak menentu, pertuturan yang sukar difahami dan motorik skil yang lemah menambah lagi efek cabaran kepada caregiver pesakit kategori ini. Emosi mereka yang tidak stabil, sensitif, mahu ditemani setiap masa, bercakap tanpa henti dengan konten yang tidak relevan sangat menduga. Tiada pilihan lain, kuncinya sabar.
Makan tidak mahu, ubat tidak mahu, susu tidak mahu. Sabar. Perlu dipujuk. Itulah sahaja kuncinya, tiada yang lain.
Kadang-kadang terasa juga nak lari sekejap untuk ‘me’ time. Terjun sungai dan rendam kepala yang dah hampir beku ini, tetapi sungai di Kampung Surau ni setakat betis saja ?.
Walaubagaimanapun semua itu terubat apabila setiap hari saya dapat melihat progres kecil suami yang amat positif.
Day 24 – alhamdulillah, syukur ya Rabb. Suami saya sudah boleh duduk dengan kemas (dengan bantuan), sebelum ini tiada balancing – duduk sekejap terbalik. Sudah boleh memegang cawan dan minum sendiri menggunakan tangan kiri. Sudah boleh memegang makanan saiz kecil seperti kuih dan menyuapnya sendiri. Sudah mula ada sedikit fokus dan minat pada siaran tv. Memori sedikit demi sedikit datang kembali. Siang tadi Tuan Sharuzi dari KL datang menziarah dan suami masih ingat beliau serta rancak bercerita tentang pengajian beliau di bawah arwah Tuan Lukman.
Terima kasih tidak terhingga di atas kiriman doa dan sokongan kalian para sahabat budiman. Inilah kunci besar progres suami saya. Doa ikhlas kalian yang tiada pertalian darah dengan saya dan suami ?.
Buat rakan caregiver kepada suami masing-masing..penatkan? Ya, hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Makin mencabar apabila semua kepenatan itu melibatkan kos yang tinggi. Saya percaya Allah swt pilih kita kerana kita mampu mengharunginya. Kita diberi peluang dan tiket mudah untuk ke sana dikala orang lain bersusah payah cuba menjana pahala. Allah swt sediakan di depan mata, di dalam rumah kita sendiri. Ketika di wad HUSM seorang jururawat yang baru kehilangan anaknya datang memberi semangat kepada saya. Seorang kakak yang punya suami pengidap kanser tahap 4 juga sempat titipkan kata semangat dan terbaru seorang isteri yang kematian suami secara mengejut meninggalkan nota betapa bertuahnya saya dapat menjaga suami manakala beliau ditinggalkan secara tiba-tiba.
Ini kali kelima saya mengharungi saat sukar suami sakit. Kali ini lebih mencabar kerana efek dimensia. Waktu ini jugalah emosi kita sebagai caregiver berada pada tahap paling rapuh kerana seluruh fokus keluarga terdekat hanya pada tubuh yang sakit. Tidak dapat tidak kita perlu tanganinya dengan baik. Isu-isu yang tidak membawa faedah seperti terasa hati dengan rakan-rakan, ipar duai yang tidak cakna delete terus. Usah dibiar ianya singgah diminda. Kita ada banyak lagi prioriti untuk digenggam seperti anak-anak dan mencari rezeki. Simpan ruang dihati dan minda kita untuk perkara berfaedah dan mereka yang ada masa untuk kita. Semua ini jika dilayan hanya membazirkan ‘bateri’ kita sendiri dan ruang menjana dosa serta perbalahan. Jalan terus, usah jemu berdoa dan berserahlah bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi.
Terima kasih sekali lagi buat semua rakan pembaca yang tidak jemu memberi semangat kepada saya. Kalian antara sumber kekuatan saya.
Abe Mohd Hadzrami, you are a real fighter. Waiting for you to walk again Abe.
Amin ya rabbal alamin.

Catatan Hari Ke-22
Semalam lebih kurang jam 9.30 malam ada sepasang suami isteri datang ke rumah menaiki motosikal.
Jarang saya menerima tetamu bermotosikal di waktu malam kerana rumah saya jauh di hujung jalan tidak berturap dan tiada lampu jalan.
Rupanya Kak Ha dan Abe Mat yang datang. Suami isteri yang pernah NGO Wargakilang bantu dengan mesin uli, oven, deep fryer dan sealer dalam menambah baik bisnes kecil (mini popia goreng, mini karipap, buat feozen juga) mereka. Siap bawa buah tangan. Terima kasih Kak Ha & Abe Mat ?.
Tidak lupa menyelitkan kata-kata semangat buat saya. Kerdilnya saya rasakan menerima kata-kata peransang dari Kak Ha yang mempunyai masalah buah pinggang dan Abe Mat yang pernah patah kedua kakinya ketika bekerja di kilang kayu serta mempunyai penyakit batu karang. Abe Mat yang ceria orangnya tidak henti berpesan, “Redho kuncinya Zura. Baru kita happy dan tak rasa penat.”
InsyaAllah Kak Ha & Abe Mat.

Catatan Hari Ke-15
“Abe, hari ni Zura nak shave Abe. Lama dah tak buat,” sapa saya kepada suami di suatu pagi lebih kurang sebulan yang lalu.
“Takpalah. Abe buat sendiri. Abe buat sat saja. Kan kita nak keluaq satgi,” jawab suami dengan pelat Kedah campur Kelantannya.
Saya hanya membalas dengan mimik mulut muncung tanda kurang puas hati.
Dalam masa yang sama terdetik di hati saya apakah ini petandanya saya tidak berpeluang lagi selepas ini. Suami saya jarang sekali menolak untuk dimanjakan. Beliau juga suka sekali sambil beliau menonton tv saya ‘facialkan’ wajahnya.
‘Ah! Gangguan syaiton saja ni.’ Saya cuba menenangkan hati.
Dan hari ini merupakan hari ke 15 suami tidak lagi peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Gerak hati seorang isteri benar lagi buat sekelian kalinya. Saya amat takut setiap kali terdetik sesuatu di hati kerana jarang sekali ianya salah ?.
Penglihatan suami kabur teruk, hanya bersandarkan suara yang biasa didengar. Tubuh lemah dari pinggang ke bawah, perlu memakai lampin pakai buang. Memori dan percakapan keliru, sekejap ok dan sekejap tidak ok.
Ya, hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi. Saya dapat shave janggut dan misai beliau tanpa sebarang bantahan dan reaksi serta usik-mengusik.
Appreciate life as it happens.
Moments will soon pass and we will wish we had treasured them more.
Sumber/Foto: FB Azura Abdullah via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Janganlah Kita Mendabik Dada, Lebih Baik Doakan Yang Baik-Baik” Siti Sarah

Isi Kandungan
ToggleSebagai seorang anak seni Siti Sarah Raissuddin akui dirinya juga pernah dikecam netizen. Perkara tersebut sangat memberi impak kepada dirinya.
Tampil memberi sokongan kepada Nabila Razali yang dikritik hebat netizen kerana terkucil ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) ahad lalu, Sarah memberikan kata semangat agar Nabila tidak berputus asa.
“Semua Berlaku Kerana Izin Allah” Siti Sarah
Memberikan nasihat dan pandangan positif sebagai rakan artis yang juga seorang penyanyi, Sarah menerusi entri di Instagram juga menyatakan menerusi yang diperhatikan Nabila sudah berikan yang terbaik.
“Bagi Sarah, semua bende ada adab, lagi lagi kita ni, orang Malaysia yang kaye dgn budi bahasa dan sopan santun.
“Penyanyi pun ada adab tersendiri. Sarah belajar dari setiap persembahan yang kite lakukan dan Sarah belajar dari semua persembahan yang kite lihat.
“Every performance adalah ruang utk jadi yang terbaik dan terbaik. Setiap bende ade baik buruknye dan kena ingat tau, semua berlaku atas izin Allah.
Jangan Perlekehkan Persembahan Orang Lain
“Bagi Sarah, Adab sebagai penyanyi tu kena sentiasa ingat… jangan perlekeh persembahan orng lain. Kite hormati dan belajar dari apa yang kita lihat.
“Apa yg baik kite kene ambik, utk kita sendiri guna. Sesuatu yg buruk tu pulak kita jadikan pengajaran dan jangan pulak kite kutuk. Kadang-kadang takut ek sebab boleh jadi kat diri kita semula.
“Janganlah kita mendabik dada, lebih baik doakan yng baik-baik je. Ye tak? Sarah pun pernah kena kecam, dan percayelah, benda tu sangatlah tak best.
“Berbuat baiklah sesama kita, saling membantu utk memajukan diri sendiri & org lain. Tak susah pun tau nak buat camtu. Persembahan Nabila malam tadi Sarah nmpk die dh usaha bg sehabis baik dan pergi kelas vokal.
“Tak apa Nabila keep learning dan jgn putus asa. Tahniah juga Sarah ucapkan kepada semua 12 finalis dan pemenang AJL35,” kongsi Sarah.
Baca Disini Juga:
“Mohon Maaf. Jadikan Sebagai Pengajaran & Bersama-Sama Kita Ikut Saranan Kerajaan” Siti Sarah
’Bersedekah, Tak Tahu Penat..’ Siti Sarah Dedah Rahsia Rezeki Shuib Tak Putus
Ramai Setuju Pendapat Sarah
Sumber/Sumber Foto: Instagram Siti Sarah Raissuddin
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI