Coretan Bonda Rozita Ibrahim mengenai teguran mesra buat anak-anak agar menjaga mak ayah sakit di laman Instagramnya mengundang sebak netizen. Coretan itu lahir dari hati seorang ibu yang mengharapkan anak-anak sudi merangkul dan menjaga andai satu hari mereka mula jatuh sakit.
Dalam posting tersebut, Bonda Rozita berpesan agar anak-anak tidak membuang gambar-gambar masa kecil kerana masa tidak akan berulang kembali. Hanya menerusi gambar itulah dapat dikenang zaman kanak-kanak bersama mak ayah.
Sila hadam perkongsian Bonda Rozita ini, semoga ianya mampu menjentik hati kita menjadi anak yang soleh dan solehah.
Baca sini
https://www.instagram.com/bondarozitaibrahim/?hl=en
Anak, dulu kamu dalam perutku. Dewasa kamu dengan tenaga dan tangisanmu keutamaan kami setiap detik. Kamu semua tak dengar dan lihat kesukakaran kami. Marah dan bebel kami yang anak-anak lihat itu sayang dan amatlah kelelahan kami bekerja untuk keselesaan kamu.
Kalau nak diingatkan dulu…tangan inilah menjaga dan mencari nafkah untuk kamu. Badanmu dah tak boleh nak didukung seperti dulu. Makin panjang badanmu…makin dewasa kamu tak dapat ku kejar lagi ku cubit atau marah lagi.
Yang mampu kami buat ialah memimpin dengan nasihat keagamaan dan kami menangis kecewa, tetap mengharap kebaikan dengan berlimpahan doa dari jauh saja. Bila anak-anak semakin membesar, tingginya saja dah sama dengan badan kami. Tak dapat kami nak memegang bahu anak.
Lama kelamaan si anak pun semakin tinggi badan dan semakin kuat. Mak pula makin lemah dan uzur. Sudikah agaknya mereka mendukung kami tua, hodoh, uzur dan semakin membongkok. Risaunya kami kalau tua dipimpin seperti budak kecil. (Janganlah umurku menyusahkan anak-anak).
Saat mak ayah mula jatuh sakit…sudikah sebagai anak merangkul dan menjaga kami seperti kamu kecil. Suatu saat nanti tiba giliran si anak memandikan orang tuanya (kematian). Ingatlah bahawa tangan yang dingin itu pernah menyentuh kepala dan badanmu dan selalu mendoakan kamu.
Tangan yang disentuh itulah yang pernah memimpin kamu ke jalan benar. Tolonglah ingat…ketika kamu memegang bahu mereka, ingatlah bahawa dagumu pernah menyentuh bahu si tua ini sewaktu mereka mendukung kamu…
Ujarnya lagi, mak ayah tidak lelah berjuang membesarkan anak-anak sebaiknya dan memberi kecukupan dalam setiap anak-anaknya. Doa sentiasa mengalir dalam setiap nafas mereka. Anak yang soleh dan solehah pasti merasakan mak ayah berlian di hati mereka.
Di akhir bicara, wanita anggun ini menitipkan pesanan agar anak-anak sentiasa ingat pengorbanan orang tua dan mendoakan mereka ke syurga . Semoga Allah sentiasa menjaga dan menyayangi mak ayah kita dunia akhirat.