Seorang mak memainkan peranan besar dalam kehidupan anak-anaknya. Setiap perlakuannya menjadi contoh tauladan buat rujukan anak-anak, dalam pelbagai perkara. Termasuklah aspek bab penjagaan dan mengemas rumah. Apa yang anak-anak biasa lihat dari kecil, itulah yang akan dicontohi apabila mereka membina kehidupan berkeluarga kelak. Apabila mak dah tiada,memori itulah yang menjadi ingatan manis buat mereka untuk dikenang.

Perkongsian oleh Puan Nurlia Mohd Nor mengenai rutin harian arwah emaknya dalam menjaga dan mengemas rumah boleh dijadikan rujukan buat mak-mak yang lain sebagai panduan.

Berikut perkongsian tersebut;

Saya senaraikan beberapa perkara yang semasa hidupnya Mak dah tunjuk contoh tauladan yang baik dalam bab penjagaan/ mengemas rumah:-

1. Bangun Pagi Kemas Tempat Tidur

Bangun pagi perkara pertama Mak buat adalah kemas tempat tidur, dan katil tu takkan ada siapa berani landing untuk bersantai- santai / berehat. Nak landing sila ke sofa/ruang tamu tengah. Sampai malam katil tu cadarnya tetap ‘tegang’. Hehehe.

2. Basuh Baju Selepas Solat Subuh

Mak akan basuh baju di awal pagi selepas solat Subuh. Sesiapa lepas solat Subuh tidur balik dan bangun lambat silalah basuh baju sendiri. Kalau taknak basuh sendiri, mandi dulu kemudian sambunglah tidur semula. Hahaha. Dalam baldi memang takkan ada pakaian kotor.

3. Terus Sidai Baju, Tak Bertangguh

Mak akan sidai pakaian sebaik sahaja siap cuci. Takde tangguh-tangguh. Kadang- kadang Abah perli,

“Matahari pun tak muncui lagi. Awei beno pun sidainya..”

4. Sapu Rumah Luar Dalam

Selepas sidai pakaian di ampaian luar Mak akan ambil penyapu luar. Mak sapu halaman dan sapu dalam longkang. Buang daun kering etc. Kemudian Mak masuk rumah semula, ambil penyapu di dalam dan sapu dalam rumah pula.

5. Tiada Pinggan Mangkuk Dalam Sinki

Mak akan breakfast. Lepas makan terus basuh pinggan, cawan. Rumah kami takkan ada pinggan mangkuk dalam sinki. Abah pun basuh pinggan dan cawan sendiri walaupun dia seorang guru besar, ketua di sekolah dan juga ketua keluarga. Abah pun tunjuk contoh tauladan yang baik. Kerja rumah mesti sama-sama buat. Bukan harap Mak semua. Settle breakfast kemudian Mak akan berehat sambil baca surat khabar.

6. 10 Pagi Masuk Dapur, Mula Masak

Tepat pukul 10 pagi Mak akan masuk dapur untuk masak. Settle masak Mak akan siap hidang semua. Pinggan, gelas, periuk nasi semua dah ada atas meja. Dapur pula Mak akan lap, kemudian Mak akan sapu semula ruang dapur.

7. Pukul 12 Angkat Baju Terus Lipat

Selesai masak dalam pukul 12 tengahari Mak akan angkat pakaian di ampaian dan terus lipat. Dalam rumah kami memang takkan ada longgokan baju yang belum dilipat. Mak pantang tengok benda berlonggok.

8. Tunggu Solat Zohor

Kemudian Mak akan terus mandi, pakai telekung dan menunggu waktu solat Zohor.

9. Tunggu Solat Asar

Lepas Zohor Mak akan makan dan berehat sehinggalah pukul 4 Mak dah siap mandi dan stand by untuk Asar.

IKLAN

Rutin Arwah Mak Kemas Rumah, Bukan Soal Kemas, Bersih Semata-Mata

10. Petang Aktiviti Santai

Waktu petang aktiviti santai. Ada masa sambil bersih halaman Mak bersembang dengan jiran, ada masa Mak dok rumah menonton tv. Kalau ada kelas mengaji biasanya lepas Asar Mak akan pergi sampailah pukul 6.30 petang.

11. Sehari Mandi 4 Kali

Nak masuk Maghrib Mak akan mandi lagi sekali. Waktu ni Mak akan make sure semua orang dah rendam pakaian dalam baldi untuk dibasuh keesokkan hari. Bagusnya Mak ni setiap kali nak menghadap Allah dia akan make sure mandi dan badan dalam keadaan bersih.

Sehari Mak mandi 4 kali. Sebab tu kalau nak tahu kulit badan Mak cantik. Tiap kali mandi dia akan gosok daki di badan, sabun. Bila Mak sakit setiap kali mandikan dia saya memang suka tengok kulit Mak. Mak dah la putih, kulit pulak bersih, halus walaupun dah berumur 70++.

12. Makan Selepas Solat Maghrib

Selepas solat Maghrib ada masa Mak akan makan dulu, ada masa Mak akan tunggu Isyak.

13. Buang Sampah

Settle dinner Mak akan bersihkan semua meja makan. Sampah kalau dah penuh Mak akan buang di tong sampah luar.

Selain itu:-

1. Jadual Berkala Cucian

Towel, telekung, selimut, sarung bantal, cadar, Mak ada jadual berkala untuk basuh. Sebab tu kalau tengok semua telekung Mak takkan ada kotoron contoh kuning di dagu, tahi lalat etc. Sampai reput kain tu tetap bersih. Sama juga dengan towel, selimut. Dah bertahun- tahun pun masih elok.

IKLAN

2. Selalu Cuci Bilik Air

Bilik air bukan tunggu kotor baru cuci. Sambil mandi pun kadang-kadang dengarlah Mak memberus.

3. Simpan Barangan Di Tempat Sepatutnya

Buku cerita/mainan selepas baca/main silalah simpan di tempatnya. Bukan suka hati nak selit sana sini. Kalau tak letak di tempat yang sepatutnya Mak akan ambil.

Habit ni saya dah perhati dari kecil lagi. Imagine hari-hari tengok rutin yang sama. Memang ‘meresap’ masuk dalam otak dah. Hehehe. Ia bukan soal kemas, bersih semata- mata sebenarnya, tapi ia berkaitan dengan DISIPLIN.

Mak ni tambahan masa muda orangnya lemah lembut je. Saya pun tak ingat bila mak pernah marah. Mak tak pernah pun bagi arahan/ marah kami untuk ikut rules dia. Mak bukan jenis pot pet, pung pang marah. Bukan.

Tapi..

Saya belajar dari PEMERHATIAN. Bila dah biasa dengan keadaan begitu, sebagai anak kita pun dah terikut habit Mak. Sebab tu kalau nak anak- anak buat sesuatu, kita mesti buat dulu dan tunjuk contoh tauladan yang baik.

Percayalah..

IKLAN

Terima kasih Mak sebab dah didik satu perkara yang baik untuk kami ikut. Bila terkenang rutin harian Mak ni rasa rindunya Ya Allah. Rindu pada susuk tubuh itu.

Al fatihah Mak..

Rutin Arwah Mak Kemas Rumah, Bukan Soal Kemas, Bersih Semata-Mata

*Dalam gambar ini adalah bilik Mak Abah di sini. Semua dah tinggal kenangan. Walaupun dah berumur, tapi sebab dah biasa kemas tetap akan kemas juga kan.

Rutin Arwah Mak Kemas Rumah, Bukan Soal Kemas, Bersih Semata-Mata

Dan gambar yang lagi satu adalah ‘rumah’ baru Mak. Mudah- mudahan rumah baru Mak ini Allah gantikan yang lebih baik dari apa yang ada di sini. Aaminnn..

Nota: Habit Mak ni saya perhati dari KECIL. So bila dah berakal, dah faham pelan-pelan kami pun ikut habit Mak dan bantu Mak buat kerja rumah sama. Umur 4, 5 tahun dah boleh bantu Mak buang sampah, umur 6 tahun basuh pinggan mangkuk, sapu sampah dan sebagainya.

Tugasan ikut kesesuaian umur. Bukanlah Mak buat semua ni seorang sampai tua. Jangan salah faham. Mak dan Abah saya bawa tinggal bersama sejak 7 tahun lalu. Bila Mak tak sihat saya yang jaga Mak, mandikan dia hari-hari, sediakan makan minum, cuci najis Mak dan sebagainya sehinggalah Mak menghembuskan nafas terakhirnya di sini.

Jasad Mak pun bersemadi di sini bukan di kampung. Mak dah takde, sekarang Abah tetap tinggal bersama kami. Alhamdulillah Allah bagi peluang untuk berbakti pada orang tua walaupun saya tahu sampai bila-bila pun jasa mereka membesarkan saya takkan terbalas..

Baca Lagi Di Sini: Kemas Rumah Ikut Cara Orang Jepun, Inilah Teknik KonMari Yang Patut Kaum Mak-mak Cuba!

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak-mak yang masih mencari panduan dan rutin harian untuk mengemas rumah boleh ikut tip bersesuaian yang dikongsikan ini.

Sumber: Nurlia Mohd Nor

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI