Seorang suami itu memang terkenal dengan sifat egonya. Kecil atau besar, ia tetap ada. Katakan isteri tak faham akan ego suaminya sendiri, konfliklah yang lebih kerap berlaku. Hakikatnya, tak adalah sukar sangat nak kenal ego suami. Untungnya bila isteri dah kenal ego suami, mudah untuk isteri bertoleransi dengan pasangannya itu.
Inilah bukti perkongsian hasil temubual Mingguan Wanita dengan Puan Diyana Tahir, penulis, coach dan pengasas program e-Hati. Kata beliau, “Jika tak ditangani dengan baik, konflik pasangan berpanjangan dan mengundang masalah perhubungan.”
Ini kerana manusia secara psikologinya mempunyai tiga butang emosi yang dipanggil ego. Sifat ego ini bukanlah sesuatu yang buruk. Jika diri tidak menyedarinya, ia jadi memudaratkan.
Apabila sedar kewujudan ego, bertindaklah penuh kesedaran agar ia menjadi alat pemangkin tindakan yang tepat.
Sama ada lelaki mahupun wanita mereka memiliki tiga butang emosi. Pasanganlah yang menentukan, ego siapakah lebih dominan. Apabila sudah mengenali ego pasangan, usah diberikan mereka tekanan. Berilah mengikut kemahuan yang dimahukan.
Paling penting, betulkan niat perkahwinan itu sendiri. Berkahwin itu untuk apa? Ramai yang dilanda derita kerana merasakan perkahwinan itu satu peluang untuk membuktikan kasih sayang ataupun kemampuan dirinya.
Sebab itulah perlunya kesedaran, perkahwinan itu bukan sekadar mahu mendapatkan sesuatu tetapi juga perlunya memberi. Ada give and take. Jangan pula asyik menerima saja, atau memberi saja.
Kena seimbangkan. Tapi sebelum mahu memberi pada pasangan, baik isteri mahupun suami kenalah kenal dulu ‘butang’ emosi pasangan sendiri.
Bukan saja suami, isteri pun ada ego masing-masing. Jenis ego ini, mereka ada keegoan untuk berkuasa. Nak mengatur semua perkara termasuklah berkuasa ke atas pasangannya. Mereka kerap kali marah. Barangkali apa yang mahu diatur tidak dapat dikuasainya.
Seandainya pasangan anda jenis begini, penting untuk anda tanyakan pada pasangan. Kenali dia dari hati ke hati. Konflik berpunca daripada sesuatu yang samar, tidak kenali pasangan. Jika ada pencerahan dan memahami mereka, pasangan mudah untuk berdamai.
Berdasarkan pengalaman Diyana dalam program yang dikendalikan, seorang wanita menemuinya dengan penuh kelukaan hati. Suami yang sama-sama susah dengannya mahu berkahwin lain.
Sejak berbisnes baru, suami tak lagi berkuasa. Dia rasa tidak berfungsi, jadi dia mencari orang lain untuk berkuasa. Ini kerana suaminya suka mengatur.
Selepas sedar akan hal itu, isteri tadi menyerahkan restoran barunya kepada suami. Beberapa bulan selepas itu, suami kembali sibuk dan seronok. Akhirnya suami tadi kembali kepadanya kerana merasakan pasangan keduanya itu pula tidak memahaminya.
Ada pasangan suka dipuji dan disukai. Jika isteri atau suami membangkang ideanya, dia mula rasa tak diambil tahu. Pasangan begini selalu bersedih dan kerap merajuk.
Penting untuk menyukainya, memuji dan luahkan perasaan sayang padanya. Contoh pasangan begini adalah dari kalangan mereka yang suka keluar bersama rakan-rakan berlainan jantina.
Ini kerana mereka sukakan perhatian. Mereka amat memerlukan suami atau isteri yang fokus padanya, sedari kelebihannya. Jadi selalulah hargai mereka. Berikan kata-kata pujian atau hadiah. Tapi perlulah berpada-pada, jangan sampai berlebihan.
Pasangan jenis ini asyik risau, bimbang takut malah tidak yakin dengan banyak perkara. Begitu berhati-hati dan menjaga kesihatan dan keselamatan dalam rumah tangga.
Misalnya sebelum keluar rumah dia akan pastikan rumah sudah dikunci. Dia juga menyediakan simpanan untuk anak-anak. Usah dicabar keegoannya bimbang dia akan lari daripada perkahwinan atau menjadi pasangan yang tiada perasaan. Justeru, yakinkan diri, beri ruang dan tanggungjawab itu padanya.
Carilah suami atau isteri anda bagaimana egonya. Setelah anda mengenali pasangan anda bagaimana, barulah anda boleh memberi mengikut kesesuaiannya. Dalam masa yang sama, anda juga akan mendapat apa yang anda mahukan.