
Isi Kandungan
ToggleAir asam memang sedap dibuat sebagai pencicah daging mahupun ikan bakar. Rasanya yang masam dan pedas, menjadikan ia sebagai pencicah sempurna secukup rasa.Rupanya rahsia buat air asam lebih sedap adalah dengan menambah sedikit kerisik dan belacan pula tak perlu dibakar. Barulah rasa air asamnya lebih asli & kaw!
Berikut perkongsian resipi oleh Syed Mohd Nazli bin Syed Ahmad sebagai rujukan.
“Petua khas nak air asam yang sedap.Belacan jangan bakar.Baru rasa keoriannya belacan.”
Resepi Air Asam
Bahan-Bahan:
Cili api dirincik halus
Bawang besar dipotong bulat
Buah tomato diracik halus
Sedikit gula dan garam secukup rasa
Belacan
Kerisik
Air Asam Jawa
Cara Membuat:
1.Semua bahan diatas di ramas dengan air perahan asam jawa.
2.Pastikan tidak dicampur air yang banyak,biar antara pekat dan cair.Jangan terlalu cair.
3.Belacan dan kerisik boleh ditambah sehingga menaikkan rasa sedap air asam ini,cili api juga boleh ditambah untuk tahap kepedasannya.
Rumusannya,bahan bahan boleh ditambah seandainya kurang rasa kesedapannya.

Selamat Mencuba!
Jadi buat mak-mak yang suka buat air asam, boleh cuba resipi dan tips yang dikongsikan ini. Pasti air jawa yang dibuat rasa bertambah sedap dan asli!
Sumber:Syed Mohd Nazli bin Syed Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Meninggal Tiba-Tiba, Jadi Ibu Tunggal Sekelip Mata Segera Bangkit Demi Anak!

Isi Kandungan
ToggleLebih sebulan kehilangan suami, ibu muda segera bangkit fokus teruskan kehidupan dengan anak! Bukan mudah untuk bangkit meneruskan kehidupan dan membesarkan anak selepas kehilangan suami. Apatah lagi suami ‘pergi’ secara tiba-tiba, meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang pesan. Namun ketabahan ibu muda anak satu ini wajar dicontohi.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan kehilangannya dan fokus meneruskan kehidupan bersama anak,” kata bekas pekerja kilang elektronik, Nadzirah Kamaruzzaman, 29, yang kematian suami lebih sebulan lalu.
Suami Meninggal Mati Mengejut
Nadzirah mengambil keputusan berhenti kerja di Shah Alam, Selangor dan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Kuar di sini untuk menjual kasut terpakai selepas suaminya, Allahyarham Mohamad Hafiz Sohani meninggal dunia akibat mati mengejut.
Berkongsi kisahnya, Nadzirah memberitahu, pada malam 31 November, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan Mohamad Hafiz mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun katanya, ada rakan yang membantu dan suaminya boleh bercakap seperti biasa sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Saya berada di rumah bersama anak kami, Mohd Faeq Mikael Mohd Hafiz, yang ketika itu berusia tiga bulan kerana bekerja shif pagi.
“Kira-kira jam 1 pagi, adik lelaki saya datang ke rumah dan memaklumkan suami saya meninggal dunia. Luruh jantung mendengarnya kerana dia tiada penyakit selama kami saling mengenali,” katanya.
Modal Dari Sedekah Kawan-Kawan & Keluarga
Nadzirah tidak mengambil masa panjang kerana memikirkan anak yang masih kecil dengan terus berhenti kerja dan pulang ke kampung.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan kehidupan kami dua beranak selepas adik saya, Mohd Baharizi Kamaruzzaman mencadangkan menjual kasut berjenama terpakai,” katanya ketika lawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah keluarganya pada Rabu.
Lebih mengharukan katanya, modal untuk membeli kasut hasil daripada sedekah rakan-rakan dan keluarga yang tidak pernah putus.
Nadzirah yang berpengalaman menjual beberapa produk lain sebelum ini memberitahu, jualannya kini sudah dikenali penduduk setempat dan ada yang singgah untuk membeli dan mencadangkan supaya menambah jenis kasut.
Dia juga berhasrat menjualnya melalui dalam talian dibantu adik.
Layak Terima Pencen Penakat
Ibu muda itu juga memberitahu, tiada yang dimahukan dalam hidup selain membesarkan anaknya dengan sokongan dan kasih sayang keluarga.

Sementara itu Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Wan Izani Wan Isa berkata, Nadzirah layak menerima pencen penakat sebanyak RM1,746 sebulan seumur hidup.
“Anak Nadzirah turut layak menerima syer pencen itu sehingga berusia 21 tahun.
Menurut beliau, sebelum itu Skuad Perkeso Prihatin mengunjungi Nadzirah selepas menerima maklumat daripada orang awam dan memaklumkan layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.
Mesti Baca:35 Tahun Hidup Sendirian, Jodoh Salamiah Hassan Hanya Dua Bulan. Suami Meninggal Mengejut
Baca Lagi Di Sini:Suami Meninggal Sudah 8 Tahun, Pengorbanan Abang Ipar, Kawan Arwah Tak Putus Hulur Bantuan
Artikel Menarik:Laila Nasir Kuat Demi Anak “Menjadi Ibu Tunggal Sekelip Mata Selepas Suami Meninggal Dunia Merubah Segalanya”
Mingguan Wanita: Memang bukan mudah untuk membesarkan anak yang masih kecil dan meneruskan kehidupan selepas kematian suami secara tiba-tiba. Namun ketabahan ibu muda ini segera bangkit dari kesedihan dan fokus dalam kehidupan wajar dicontohi.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Cukuplah 9 Tahun Menjadi Isteri Syamsul. Sudah Tiada Rezeki Lagi Perhubungan Kami”

Isi Kandungan
Toggle“Cukuplah 9 tahun menjadi isteri Syamsul. Sudah tiada rezeki lagi perhubungan kami” itulah antara ungkapan pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Puteri Sarah seusai memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sewaktu hadir, Puteri Sarah ditemani adik-beradik selain peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakilinya.
“Cukuplah 9 Tahun Menjadi Isteri Syamsul”
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Mengikut laporan Harian Metro, Puteri Sarah menyatakan tarikh sebutan kes permohonan cerai terhadap suaminya ditetapkan Mahkamah Syariah di pada 7 Mac depan yang juga jatuh sehari sebelum ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka pada 8 Mac.
“Kita mulakan (rumah tangga) 8 Mac, kita habiskan pun 8 Mac ini,” ungkap Puteri Sarah yang menyifatkan rezeki rumah tangganya hanya mampu bertahan selama sembilan tahun.
Segalanya Sudah Selesai Difailkan
Menurut Puteri Sarah lagi dia bersyukur apabila segalanya sudah selesai difailkan.
“Alhamdulillah syukur, segalanya sudah selesai difailkan. Saya lega kerana satu beban sudah pun dilepaskan.
“Sepuluh hari lagi saya akan menunaikan umrah. Semoga saya akan tenang saja bila di sana nanti.
“Kalau ikutkan, tahun ini sudah cukup sembilan tahun usia perkahwinan kami. Sebenarnya, tarikh 7 Mac yang mahkamah tetapkan untuk tarikh prosiding memang cukup signifikan kerana sehari selepas itu pada 8 Mac genap ulang tahun perkahwinan kami.
“Ia memang satu kebetulan. Alhamdulillah, cukuplah sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Muhammad Syamsul. Nampaknya sudah tiada rezeki lagi perhubungan kami,” tegasnya.
Sudah Jalankan Tanggungjawab Dengan Baik
Ibu kepada dua cahaya mat aitu juga menyatakan sepanjang tempoh perkahwinan dia telah melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan ibu dengan baik.

“Saya sudah jalankan tanggungjawab dengan terbaik. Saya sudah berbincang dengan keluarga termasuk mentua, berjumpa ahli agama dan melakukan solat istiharah agar diberi petunjuk.
“Saya yakin inilah jalan terbaik dan Allah sudah tunjukkan aturan ini,” sambungnya.
Malah dirinya bersedia jika berdepan untuk melalui proses mahkamah yang panjang.
“Apa yang penting saya lega sudah memfailkan perceraian hari ini. Malah, Syamsul sendiri sudah sedia maklum mengenai perkara ini selepas dia tidak menyekat saya di media sosial.
“Dia ada ajak saya berbincang, bagaimanapun ia belum berlaku memandangkan masing-masing masih sibuk dengan penggambaran. Dia juga ada menghubungi saya semalam, tapi saya tidak boleh mendedahkan apa mesej yang dihantar,” luahnya lagi.
Sumber / Sumber Foto : Harian Metro
Edika Yusof Lelaki Kacak Yang Setia
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Ustazah, Saya Tak Bebankan Fikiran Tentang Jodoh, Sebab Ia Urusan Allah,”

Isi Kandungan
Toggle“Ustazah, Saya Tak Bebankan Fikiran Tentang Jodoh, Sebab Ia Urusan Allah,” itu antara petikan perkongsian perbualan antara selebriti Heliza Helmi dan pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun.
Membuka lembaran tahun baru 2022, selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi,35 telah melangsungkan pernikahan dengan jutawan muda, Datuk Sri Mahadi Badrul Zaman. Pasangan ini sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz pada 1 Januari 2022 jam 11.11 yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.
Ramai yang merasai kegembiraan dan turut mendoakan kebahagiaan buat pasangan pengantin baru ini. Apatah lagi majlis perkahwinan yang diadakan dalam suasana yang cukup sederhana, memenuhi syariat yang sepatutnya dalam mengadakan majlis.
Malah menerusi perkongsian coretan daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’Harun banyak perkara yang menarik pada diri Heliza dan pernikahan selebriti ini yang boleh dijadikan panduan kita bersama;
Beberapa kali Allah izinkan kami bertemu, setiap kali itu dia suka minta doa, dengan gaya comel dan ceria, lalu saya doakan semoga dia dikurniakan seorang suami soleh yang memahami dan menyokong perjuangannya, dia aminkan bersungguh-sungguh. SubhanAllah, jodoh yang Allah tetapkan tidak cepat atau lewat, ia tepat pada waktunya.
SubhanaAllah, adinda Heliza Helmi yang mulia dan dihormati telah sah menjadi seorang isteri, entah kenapa tiap kali melintas gambar dan video pernikahannya mudah menitis air mata. Iya, bahagia dan sungguh bahagia melihatnya.
Benar, ramai yang kagum dengan sosok wanita bernama Heliza Helmi, dia macam kalis penat, kecaman dan sindiran, dia terus sahaja melangkah tanpa mengutip batu yang dilontarkan, walau masih bujang, langkahnya panjang. Namun, siapakah di sebalik beliau ?
MasyaAllah, Allah izinkan saya bertemu beberapa kali beliau bersama Ibunya, kali pertama ketika itu dalam tahun 2012, saya masih sebagai penjawat awam, Pegawai Hal Ehwal Islam yang diberi amanah menguruskan daripada awal hingga akhir persembahan artis jemputan untuk satu program peringkat Negeri, beliau salah seorang.
Ibu Sentiasa Menemani
Dalam bilik menunggu, dengan beberapa orang artis di dalam ruang tersebut, saya perlu menitipkan beberapa pesan, terutama bab etika persembahan dan pemakaian, supaya sesuai dengan acara. Beliau sungguh ceria dan memberikan kerjasama yang sangat baik, namun yang lebih menarik perhatian saya adalah ibunya yang sentiasa menemani, melayani dan menyediakan keperluannya.
Hinggalah saat saya seperti hari ini, dan Allah izinkan saya bertemu beliau dan bekerjasama dalam beberapa program, ibunya masih lagi setia bersama. Pernah satu hari saya berkata kepada dia dan ibunya, Heliza sentiasa dilihat tenang, kuat dan semangat kerana dia ada seorang Ibu yang sangat hebat, yang selalu mendokong dan mendoakannya. Begitu juga peranan Ayahnya, yang benarkan si isteri selalu menemani anak, sudah tentu ada bahagian pengorbanan besar si ayah. Mereka mainkan peranan sebagai Wali si anak dengan sebaik mungkin.
Kuasa dorongan Ibu dan Ayah adalah satu anugerah buat anak yang terpilih. Namun jika kita tidak memilikinya, Allah sentiasa ada untuk kita, pasti ada sesuatu yang akan mendorong kita jua.
Saya belajar sesuatu, saya ingin jadi ibu seperti itu, seperti ibu saya juga, yang berterusan mendidik saya hingga ke saat ini. Tidak ada istilah mengongkong, ia adalah satu sentuhan kasih tulus hati seorang ibu.
Tak Bebankan Fikiran Urusan Jodoh
Kerana itu di usia yang membimbangkan bagi wanita, Heliza tetap tenang dan ceria,
“Ustazah, saya tak bebankan fikiran saya tentang jodoh, sebab ia urusan Allah, saya fokus apa yang saya nak dan perlu buat setiap hari”
Dan kini, beliau berpindah dalam jagaan dan kawalan seorang Suami Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman, seorang pejuang di medan jihad ekonomi, semoga ia adalah satu gabungan yang memberi barakah dan kebaikan buat Ummah. Pasangan ini sunguh dilihat sangat harmoni.
Allahu Akbar.
Sahabat semua, sedarkah ada banyak perkara yang menarik pada dirinya dan pernikahannya.
1. Tidak Berinai
Pengantin yang bernama Heliza Helmi tidak berinai? atau sangat sedikit hingga tidak nampak inainya. Pada hari ni dimana para pengantin wanita mula berinai hingga pergelangan tangan, dilukis dengan ukiran bunga dan lain-lain. Beliau memilih sesuatu yang minimalis namun sangat manis.
2. Penampilan Minimalis
Solekan wajah yang sangat semulajadi hingga seperti tidak bersolek, pakaian, majlis dan pembawakan juga sederhana walaupun pasangan seorang jutawan.
3. Tiada Babak Romantis
Tiada babak romantik yang ditonjolkan, sifat malu itu telah mengindahkan semuanya. Tahniah buat keduanya. MasyaAllah. SubhanAllah, saya sebutkan begini bukan ingin merendahkan sesiapa, hanya untuk menyingkap kebaikan yang berada di hadapan mata sebagai satu renungan bersama.
Kenangan Jadi Pengantin 17 Tahun Lepas
Semua ni buatkan saya senyum sendirian. Bukan nak buat perbandingan atau persamaan, teringat 17 tahun lepas saat saya menjadi pengantin, emak ayah tak bagi pakai inai, larangan yang sama kepada kakak yang 3 bulan awal nikah daripada saya, larangan itu kekal hingga 6 adik beradik perempuan yang telah nikah, tinggal seorang lagi adik perempuan yang belum nikah.
Kenapa ?, itu juga soalan saya pada emak, bukan selalu, hanya untuk sekali seumur hidup, hanya untuk hari nikah, cuba memujuk. Emak Ayah tetap tidak membenarkan dengan pelbagai sebab.
“Asma’, memang khas untuk nikah, tapi inai tu makan masa untuk hilang, mungkin sebulan, sepanjang masa tu nak pakai sarung tangan ke, bila keluar, bukan semua orang tahu Asma’ tu pengantin baru. Apa orang fikir, berpakaian labuh menutup tapi tetap menarik, jari perempuan ni jika diletak inai memang nampak menarik, sebab tu ada pelbagai pewarna kuku, ia dah jadi satu solekan yang menarik, daripada hukumnya harus, bimbang jadi tabarruj, jagalah diri, selagi boleh elak maka elaklah..”
Panjang lebar emak menjelaskan.
Akhirnya kami semua terima dengan terbuka, ketika kecil setiap kali Hari Raya Eidulfitri memang rutin akan pakai inai daun yang ditumbuk campur dengan nasi putih. Emak kata, waktu kecilkan dah selalu berinai, cukuplah tu. Dah besar, sesuaikanlah.
Teringat keluarga kami, pengantin wanita memang tak dibenarkan langsung keluar daripada rumah, dan hanya pengantin lelaki sahaja boleh keluar. Sesiapa yang nak jumpa pengantin perempuan perlu masuk ke dalam rumah, dan hanya tetamu perempuan sahaja dibenarkan masuk.
Emak juga tak bagi saya letakkan sedikitpun solekan, gincu sangat sedikit, saya nakal letaklah sikit gincu pada pipi dan ratakan, nak nampak pipi kemerahan, terus emak perasan diminta saya lapkan, hanya boleh pakai bedak dan sedikit celak . Sedangkan hanya perempuan sahaja yang boleh tengok. Tapi, seri pengantin tetap ada, nama pun pengantin kan.
Bila ditanya kenapa, “Nak bersolek ke apa depan suami sahaja, tak usah nak raih pujian orang ramai”. Deep sungguh ayat emak.
Jika difikirkan, pada hari biasa, saya juga bebas keluar, semua anak perempuan belajar jauh, kebanyakan ke luar negara. Namun kerana faham, ini hari istimewa, jadikan ia betul-betul istimewa, hanya untuk yang istimewa. Kerana hakikatnya keredhaan Allah lebih utama daripada segala yang lain.
Bersalam dan sarung cincin pun dalam bilik disaksikan emak ayah dan adik baradik. Yang lain seperti cium dahi memang larangan keras. Pelamin semua tidak ada, bukan tidak mampu, tapi emak ayah tak mahu. Jika mahu juga, emak ayah benarkan dibuat dalam bilik sahaja. Perkataan yang selalu disebut emak ayah, berkat Allah paling utama.
Ketegasan Mak Ayah Dalam Mendidik Anak-Anak
SubhanAllah, begitu sekali emak dan ayah kami. Mungkin ada yang rasa emak ayah kami seperti ketinggalan zaman , tidak sebenanarya. Emak seorang guru sains mengajar subjek Fizik, ayah seorang Usahawan yang berjaya. Namun mereka, sedaya upaya mendidik kami supaya tidak mengikuti arus perubahan zaman dan menjadi contoh tauladan untuk kami. Ketegasan prinsip mereka itulah menjadikan kami masih seperti hari ni.
Hingga sekarang, kadang bermain dalam fikiran saya, bila tiba saat anak perempuan kami pula yang akan nikah nanti, bagaimanakah prosesnya, jika dibuat di dewan, mungkin kami akan hias indah satu bilik yang tertutup. Pelamin memang hanya untuk keluarga yang mahram sahaja. Begitulah yang saya bayangkan. Nampak sukar, tapi tidak mustahil. Moga Allah izinkan. Wallahu a’alam.
SubhanAllah, harap sahabat tidak salah faham. Ini bukan mengatakan bahawa perbuatan berinai dan yang lain-lain itu menunjukkan suatu yang kurang baik, tidak sekali. Saya hanya berkongsi satu sudut nilai pandang yang berbeza, yang mungkin tidak biasa, tapi ia masih diterima. Inai dan solekan, romantik juga bukanlah satu kewajipan hingga dikatakan pengantin tiada seri tanpanya.
Baiklah, dibawah saya kongsikan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, bila dapat berita dan melihat pasangan baru nikah terus doakan ini ya, janganlah kita mencemarkan dengan komen yang tidak manis walaupun ada yang kurang sedap pada mata kita.

DOA NABI BUAT PENGANTIN BARU
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :
كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ: «بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ»
Jika mendoakan kepada seseorang ketika ia menikah, maka beliau bersabda “Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”.(HR Tirmidzi, hadis sahih)
CARA WALIMAH YANG NABI AJARKAN
Daripada Anas r.a. beliau berkata;
قَدِمَ عَلَيْنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ فَآخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ سَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Abdurrahman datang kepada kami, lalu Nabi SAW mempersaudarakan antara dia dengan Sa’d bin Ar Rabi’. Lalu Nabi SAW bersabda, “Adakanlah walimah walau dengan seekor kambing biri-biri.” (HR Bukhari, hadis sahih)
CARA PERNIKAHAN NABI SAW BERSAMA ZAINAB BINTI JAHSY
Daripada Anas r.a., beliau berkata;
مَا أَوْلَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنْ نِسَائِهِ مَا أَوْلَمَ عَلَى زَيْنَبَ أَوْلَمَ بِشَاةٍ
Maksudnya : Nabi SAW tidak pernah mengadakan walimah terhadap seorang pun dari isteri-isterinya sebagaimana walimah yang beliau adakan atas pernikahannya dengan Zainab. Saat itu, beliau mengadakan walimah dengan seekor kambing. (HR Bukhari, hadis sahih)
Alhamdulillah, moga bermanfaat.
ASMA’ BINTI HARUN
Baca Lagi Di Sini:
“Doakan Kami Melayari Bahtera Hidup Penuh Sakinah, Mawaddah Warahmah Sehingga Ke Jannatul Firdaus”
Mingguan Wanita: Ada benarnya coretan perkongsian daripada Ustazah Asma’ ini. Semoga menjadi manfaat dan panduan buat kita bersama dalam menegakkan syariat Islam.
Sumber: Ustazah Asma’Harun
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI