Sayangnya, berniaga online dah bertahun tapi duit simpanan selalu ‘kering’. Lebih parah, setiap bulan terpaksa ambil pula duit berniaga. Jika ini yang peniaga hadapi bermakna ada yang silap dengan cara simpanan kewangan anda.
Bimbang jika anda berterusan begini, anda cuma mampu bertahan setahun dua saja dalam perniagaan. Niat mahu bersenang-senang di usia persaraan takkan tercapai jika gagal buat perancangan kewangan dari awal lagi.
Ada cara sebenarnya untuk uruskan simpanan anda setiap bulan secara sistematik. Yang penting, disiplin menyimpan tu kena ada.
Apabila anda menggajikan diri sendiri, kemungkinan untuk anda mengambil duit berniaga dapat dikurangkan. Selepas tolak segala kos, hasil keuntungan itulah anda asingkan sejumlah untuk menggajikan diri sendiri.
Jumlahnya, perlulah secukupnya untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga. Cadangan; 40% daripada keuntungan. Gaji ini pun sebahagian daripada motivasi untuk konsisten berniaga.
Apabila anda membuat simpanan emas fizikal, susah dalam fikiran anda untuk berbelanja dengan emas itu. Proses untuk mencairkannya yang agak panjang, membuatkan simpanan anda lebih bertahan lama.
Setiap bulan boleh beli 1 gram emas, cukup setahun sudah ada 12 gram emas. Bukankah itu lebih baik, dari tidak usahakan menyimpan langsung. Jangan lupa bayar zakat emas agar harta anda lebih berkat.
Carilah unit trust atau dana pelaburan yang stabil dan berisiko rendah. Misalnya Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB). Ini pun salah satu cara untuk gandakan wang simpanan anda.
Setiap tahun, akan ada kadar dividen dan bonus yang akan diagihkan kepada pemegang akaun. Untuk tabung haji misalnya, tak perlu lagi fikirkan soal zakat, kerana zakat simpanan pendeposit sudah dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji.
Sebenarnya, para peniaga online boleh memilih untuk mencarum secara sukarela dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Skim i-Saraan diwujudkan untuk memberi perlindungan sosial kepada para pekerja ekonomi gig yang tidak ada majikan tetap.
Sebagai pencarum KWSP, peniaga online akan turut menikmati kelebihan sebagai ahli KWSP seperti menerima dividen tahunan. Untuk maklumat lanjut tentang produk yang membantu para peniaga online, boleh rujuk laman web KWSP.
Akhir kata, sebagai peniaga anda seharusnya memikirkan soal simpanan kewangan masa depan agar anak-anak dan keluarga dapat menerima manfaatnya. Sekiranya, anda sendiri hebat dalam pengurusan kewangan, tentunya anak-anak akan ikut jejak langkah ibu bapanya.