Rupanya Ini Cerita Sebenar ‘Kemalangan, 9 Hari Makan Telur Rebus Di Kemboja’

Share

Cerita pengembara 9 hari makan telur rebus selepas kemalangan di Kemboja, Mingguan Wanita paparkan tak lama dulu. Rupanya ada cerita di sebalik cerita akan kembaranya ini.

Wartawan Mingguan Wanita menghubungi Pengembara Miskin atau nama sebenarnya Mohamad bin Othman, 45 mahu cerita yang berlaku di sebalik kejadian 9 hari makan telur rebus di Kemboja (Cambodia).

Lelaki ini cuma menunggang motosikal jelajah negeri dan negara secara solo. Cuma kembaranya itu banyak dilakukan di luar dari Malaysia.

Bila bermotosikal secara solo, banyak cabaran yang perlu dilalui. Kadangkala kejadian tidak terjangkau terjadi.

Sebab itu, fizikal dan mental perlu kuat.

Ketika misinya mahu jelajah Vietnam, Laos dan Kemboja inilah kejadian kemalangan menimpanya di bumi Kemboja.

 

Sejarah Mohamad Dan Kembara Bermotor, Di Sinilah Mulanya..

Minat kembara bermotor ini bermula sejak zaman remaja lagi. Sayangnya, ia terpendam begitu saja. Kalau ada pun lebih pada melancong.

Sehinggalah bulan November 2017, selepas dia pulang bercuti dari Korea, kawannya meminta untuk temankan ke Ho Chi Minh, Vietnam selama empat hari.

Apabila di sana, teman saya tadi tidak dapat pulang. Pada masa itulah, saya mula berfikir untuk kembara sambil menaiki motosikal. Saya gabungkan minat kembara dengan menaiki motosikal

.

Di sana, saya mencari sesiapa yang menjual motosikal dan kebetulan, pelancong Sepanyol sanggup menjual motsikal jemana Honda Vin dengan harga USD200.

Bayangkan dari Ho Chi Minh dengan jarak 834 km, saya menaiki motosikal untuk pulang ke Malaysia. Sepatutnya, saya boleh sampai ke Malaysia hanya dua hari.”

Tapi saya ambil masa 5 hari semata-mata nak menikmati keindahan pemandangan dan keramahan penduduk tempatan.

Itu cerita bermulanya kembara. Setakat ini, Mohamad telah bermotosikal ke Indichina selama 5 setengah bulan, Korea, Australia dan terbaru dia berbasikal dan bermotor ke Himalaya India.

Biasanya, saya lebih suka kembara dengan basikal atau bermotor secara solo kerana ia lebih memberi kepuasan. Jika saya kembara ke mana-mana negara, jangka masa itu ikut visa. Kadang sebulan ada sampai tiga bulan.

 

Ini Cerita Sebenar Di Sebalik 9 Hari Makan Telur Rebus Di Kemboja

Menyingkap tentang kemalangan yang dialaminya. Mohamad menerangkan kejadian itu berlaku selepas 10 hari dia memasuki Kemboja dari Vietnam.

Ia berlaku tiba-tiba apabila sebuah kereta memotong laju dan menekan brek secara tiba-tiba sehingga dia melambung ke atas kereta.

Saya terbaring di atas jalan dan pemandu itu terus meluncur laju. Apa yang saya takutkan bimbang kereta itu akan ‘gostan’ dan melanggar saya kerana di sana, apabila kemalangan berlaku, mereka ingin mangsa mati untuk memudahkan kes dan membayar pampasan.

Syukur saya selamat dan saya dibantu oleh orang yang melalui jalan itu. Mereka menelefon polis dan berehat seketika.

Kebetulan, dalam beberapa meter ada sebuah kedai. Jadi di situlah saya berehat sebelum ke hospital,” katanya menceritakan saat kejadian itu.

Rupa-rupanya, Mohamad di hantar ke klinik dan dia hanya meminta ubat tahan sakit. Disebabkan tak tahan dengan kesakitan yang dialami, dia meminta dihantarkan ke hospital memandangkan pengelangan tangannya patah.

Jarak tempat saya ke hospital itu sejauh 60-80 km. Mujurlah ada van pelancong yang bawa saya ke hospital. Inilah hospital yang paling dekat,” katanya yang memerlukan masa selama sebulan untuk sembuh.

Sebenarnya, dia boleh saja minta dihantarkan ke hospital Phnom Penh yang fasilitinya lebih baik. Lagipun dia ada insurans perjalanan.

Sebab nak merasa cara rakyat marhaen, dia memilih hospital di Kemboja.

Kalau hendak ceritakan tentang keadaan hospital itu, segalanya sangat daif terutamanya kelengkapan yang disediakan. Saat itu, barulah kita rasa bersyukur kerana kelengkapan hospital di Malaysia jauh lebih baik daripada sini.”

 

Layanan Baik, Sayangnya Susah Cari Makanan Halal

Sepanjang berada di hospital itu, Mohamad diberi layanan yang baik cuma kekurangannya susah nak dapatkan makanan halal.

Pihak hospital ada kantin yang menjual makanan dan sukarelawan bekalkan makanan percuma setiap hari tetapi status halal amat diragui. Jadi, saya lebih rela membeli makanan di luar pagar hospital yang berdekatan.

Setiap hari saya akan meminta tuan kedai rebuskan telur untuk alas perut saya pada hari itu.” Nanti dia akan menuturkan bahasa Cambodia dengan peniaga di sana.

Alhamdullilah, saya boleh berbahasa Cambodia, walaupun tidak berapa fasih. Cukup untuk mereka memahami,” katanya yang belajar dengan kawan-kawan Cambodia semasa di Malaysia.

Bila dah fasih berbahasa mudahlah untuk Mohamad memahami apa yang berlaku di hospital itu.

Yang sedih, apabila sesetengah kes yang tiada kelengkapan yang mencukupi, mereka akan hantar pesakit ke hospital Phnom Penh.

Cuma bila mereka daripada keluarga miskin dan tidak berkemampuan menampung kos rawatan, jalan terbaik untuk mereka adalah bawa pesakit keluar daripada hospital dan berubat cara kampung.”

Macam dirinya, terpaksa membuat keputusan tak meneruskan rawatan di hospital itu kerana bahagian paha yang semakin sakit.

Saya kira perlu rawatan urutan tradisional. Mungkin hentakan yang kuat semasa kemalangan sebabkan sakit tak mahu kebah.”

Kebetulan ada tukang urut lawat pesakit di situ, saya pun ambil keputusan tinggal di kampung dan berurut di sana. Sampai saya betul-betul sembuh.”

 

Keluarga Pun Tak Tahu Mohamad Kemalangan Di Luar Negara

Sepanjang tempoh rawatan pemulihan, Mohamad langsung tidak memberitahu keluarga di Malaysia. Ini kerana tidak mahu keluarga bimbang.

Bila dah pulih sepenuhnya, baru saya cerita. Lepas pulih itu pun saya tak terus balik Malaysia, tapi terus ke Indochina.

Kalau saya balik Malaysia waktu itu, belum tentu dapat kembara dalam masa terdekat. Tentu-emak saya larang kembara buat sementera waktu,” selorohnya yang tak kenal erti serik.

Hari Raya Aidiladha lalu, Mohamad telah berbasikal dan bermotor selama sebulan di kawassan pergunungan Himalaya India.

Pada pertengahan bulan 12 ini, saya merancang kembara bermotor dari Malaysia, Thailand, Myanmar, Laos dan Cambodia.

Dalam misi kembaranya itu, dia cuma menaiki motosikal model Honda Vin 110cc, Royal Enfield 350 klasik dan Yamaha Sporty 100.

Published by
Nora