Rupanya berselimut putih tepi jalan tu mayat adik, niat ziarah mak di hospital akibat kanser bertukar tragedi. Sangat menyentuh perasaan apabila sekujur tubuh yang sudah ditutupi selimut putih rupanya adik sendiri.
Bagi seorang abang, ianya satu ujian yang sangat berat untuk diterima apabila adik meninggal di tepi jalan akibat kemalangan jalan raya. Masa yang sama, ibunya di hospital menerima rawatan akibat kanser dan ayahnya pula mengidap kencing manis juga di hospital sama.
Memetik laporan Berita Harian, seorang abang tidak menyangka mayat berselimut kain putih di tengah jalan adalah adiknya yang terbabit kemalangan di Jalan Sultan Mahmud, di sini, berhampiran Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam tadi.
Dalam kejadian 12.50 tengah malam itu, Muhammad Hairie Fitri Mohd Husaini, 20, dalam perjalanan ke HSNZ yang berhampiran dengan lokasi kejadian.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Demi Sesuap Nasi, Ibu Tunggal 9 Anak Derita Sakit Saraf Bersengkang Mata Jual Nasi Lemak
‘Mak Mentua Disahkan Kanser’ Menantunya Bekas Pesakit Kanser Meraung Depan Doktor
Katanya, dia ke hospital untuk melihat ibu bapanya yang masing-masing dirawat di wad kerana kanser usus dan potong kaki akibat kencing manis (bapa).
“Disebabkan jalan ke hospital ditutup sebab ada kemalangan, saya berpatah balik dan melalui jalan Pantai Batu Buruk serta singgah di rumah rakan sebelum dimaklumkan adik kemalangan di jalan berkenaan.
“Sebelum itu, ketika sedang bekerja di pusat penjagaan kuda di Lembah Bidong, Setiu, saya menerima panggilan daripada rakan meminta segera pulang tanpa diberitahu kenapa.
“Saya menyangka ia ada kaitan dengan ayah atau ibu, tetapi tidak sangka pula rupanya adik yang meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya.
Mangsa, Muhammad Araf Farhin, 16, pelajar GIATMARA Telemong, Hulu Terengganu maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang melanggar belakang kenderaan utiliti sukan (SUV).
Anak kedua daripada tiga beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Panji Alam, di sini, selepas keluar minum bersama beberapa rakan.
Rakannya, Muhammad Rusdi Rashid, 16, berkata, dia bersama arwah keluar rumah jam 10 malam untuk minum bersama beberapa lagi rakan dan ketika perjalanan pulang, arwah didakwa mengekori rapat kenderaan berkenaan.
“Arwah gagal mengelak dan melanggar belakang kanan SUV itu sebelum tercampak manakala saya yang menunggang motosikal di belakang arwah juga terjatuh selepas terlanggar motosikalnya,” katanya yang cedera ringan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.