Rumah tangga berada dalam keadaan bahaya bila suami atau isteri sudah hilang perasaan sayang. Paling menakutkan ialah apabila masing-masing rasa lebih selesa hidup sendiri berbanding bersama pasangan.
Memang sedih bila perkara seperti itu terjadi. Bagaimanapun kita tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam hubungan suami isteri dalam sesebuah rumah tangga. Jadi sebelum terlambat, perbaiki diri dan kembalikan rasa sayang itu secepat mungkin.
Rumah Tangga Dalam Bahaya Bila Perasaan Sayang Semakin Hilang
1.Rasa selesa bila berjauhan
Inilah perkara pelik yang berlaku kepada suami dan isteri. Jika suami berjauhan dengan isteri maka isteri pula rasa selesa,seronok dan bahagia. Lagi lama suami berjauhan maka lagi seronok pula isteri berseorangan. Ada suatu yang tidak kena ada perkahwinan begini.
Sebaliknya pula ketika suami dan isteri bersama akan timbul rasa kurang selesa pulak kepada isteri.Pelbagai alasan akan diberi.Rimas,bosan dan sebagainya sebagai protes terhadap suami. Jika ada tanda-tanda begini memang sah isteri sudah tidak sayang dan mencintai suami lagi.
Ads
Rasa Lebih Selesa Hidup Sendiri
2.Tiada rasa rindu pada pasangan
Dahsyat juga ujian ini. Bayangkan sudah bersuami isteri.Sudah pun tidur setilam dan sebantal.Namun perasaan rindu kian menghilang.Ianya hilang jauh entah ke mana. Untuk melihat sejauh mana kenyataan ini, senang sahaja.Si suami boleh pergi outstation ataupun balik kampung seorang diri.Dalam masa dua tiga hari ada tak si isteri cuba menghubungi kita?
Kita sebagai suami jangan pula pandai-pandai nak menelefon terlebih dahulu.Jika dalam masa tersebut langsung tiada respon atau panggilan dari isteri maknanya dia sudah tawar hati terhadap kita. Ujian ini bukan setakat itu sahaja. Setelah kita kembali atau sang suami balik ke rumah lihat pula reaksi isteri.Jika tiada excited atau ‘selamba dek’ rindu isteri sudah tiada lagi dalam hatinya.
Ads
3.Suka prasangka buruk
Antara prasangka buruk yang biasa kita dengar pada isteri ialah suami sudah ada perempuan lain.Suami sudah tidak bertanggungjawab.Suami tidak guna dan sebagainya.Asalkan yang buruk – buruk itu adalah untuk si suami. Memang sukar juga untuk mentafsir perasaan cinta isteri terhadap suami dengan sekali imbas.Namun kata hati atau deria keenam boleh merasainya jika kehidupan dalam rumahtangga ada sahaja yang tidak kena.
Kira bernasib baik jika isteri masih tercalit iman didada.Lantas menyedari tindakan itu memang berdosa. Bagaimana pula dengan keadaan isteri yang nama sahaja Islam tetapi penghayatan agama terhumban ke laut?
Ads
4.Isteri menyembunyikan sesuatu
Dalam rumahtanggga yang bahagia tiada rahsia antara suami dan isteri.Baik perkara tersembunyi ataupun perkara terbuka. Suami ada masalah luahkan sahaja pada isteri. Isteri ada masalah luahkan sahaja pada suami.
Namun jika isteri sudah tidak mencintai suami makanya isteri menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan suami. Mungkin pada permulaan dia akan kurang bercerita.Ceritanya pula ‘korner sana dan korner sini’ dengan tujuan untuk menyembunyi sesuatu.Tiada lagi istilah berterus terang.Yang ada pendam dan simpan untuk menjadi jeruk dalam hati masing-masing.
5.Tiada nafsu terhadap suami
Memang kes parah ‘tahap gaban’.Bayangkan isteri sudah tidak berminat untuk hubungan intim dengan suami. Jika diajak berasramara akan dilakukan ‘semadi nadai’.Maksudnya mahu dengan tidak mahu.Hubungan begini menempa bahaya sekiranya suami tidak puas hati.Lantas cenderung untuk kes kecurangan.
Suami sudah curang akhirnya isteri ada peluang. Pada masa tersebut isteri menyalahkan suami dan kesalahan 100 peratus untuk suami. Kesudahannya keluarga musnah terbarai. Pihak yang paling seronok tentunya iblis yang suka mengintai peluang untuk menghancurkan rumah tangga manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bayangkan selama hidup berumah tangga, suami langsung tidak ambil peduli soal anak-anak, suami diuruskan isteri ATOZ. Tetapi setelah berpisah lain pula ceritanya, sikap suami tiba-tiba berubah menjadi sangat penyayang.
Dulu dibiarkan saja namun bila berpisah muncul tuntut anak, hentikanlah wahai suami, sebaiknya jangan diganggu emosi anak. Kasihan mereka menjadi mangsa keadaan penceraian mak dan ayah.
Ikuti perkongsian peguam syarie ini, Puan Rabiatul Adawiyah Ramlidan hadam apa yang cuba dirinya sampaikan:
Dulu Anak Dibiarkan, Ghaib
Masa ada ikatan sah suami isteri, anak dibiar langsung, ghaib tak nampak batang hidung.
Tapi bila berpisah mula muncul nak tuntut anak, acah-acah nak jumpa anak, konon-konon nak jalankan tanggungjawab dan tuntut hak sebagai bapa. Segala atuk nenek semua bagi kerjasama masa itu.
Dan masa itu akan nampaklah seolah-olah si ibu ni tadi ibarat ibu yang zalim pada pandangan mata orang sebab pertahankan anak tak nak bagi jumpa si ayah ni.
Benar, si ayah ada hak,
Ya benar si nenek ada hak,
Dan benar si datuk juga ada haknya
Tidak dinafikan itu semua.
Tetapi
Bagaimana dengan hak bahagia si anak?
Bagaimana pula dengan hak Emosi si anak?
Dan bagaimana dengan hak bersuara si anak?
Apakah anak-anak tidak berhak untuk menuntut hak?
Tahu sebab apa?
Derita si anak kecil ini tak bersuara.
Derita sengsara anak kecil ni tak tahu apa,
Yang dia tahu hidup dia cuma ada si ibu sahaja keluarga serta rakan-rakan sekelilingnya sahaja.
Hentikanlah Jangan Diganggu Emosi Anak
Cukuplah emosi anak-anak ini telah diganggu dek soalan-soalan DI MANA AYAH?
Dan cukuplah emosi anak-anak ini telah diganggu dengan sejuta persoalan DI MANA AYAH?
Cukuplah!!!!
Sudahlah terganggu di sekolah, di rumah, ini pula perlu hadir ke mahkamah kerana masalah ibu dan ayahnya.
Ditambah pula terpaksa berpisah dengan si ibu walau untuk sementara tapi kesannya kepada mental dan emosi anak-anak ini akan tetap kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
Jika perkara ini terjadi. Tanggunglah azabnya di sana nanti.
Isteri Terpaksa Bertahan Demi Anak-anak
Jadi sebab itulah ramai isteri yang sanggup bertahan walau hidup penuh derita dalam rumah tangga,
Sanggup bertahan walau hanya isteri di atas kertas yang tertera,
Sanggup sengsara menahan hiba kerana si anak yang tidak tahu apa-apa.
Jika perkara ini berlaku dalam rumah tangga mu duhai suami, jika kamu tidak bertaubat. Sesungguhnya azab yang amat pedih untuk mu dunia Akhirat.
Maka wahai suami, wahai ayah, wahai anak adam.
Jadilah sebenar-benar insan yang bertanggungjawab. Jika tidak mampu lagi untuk melayari bahtera dengan sebaiknya, serahkan kembali kepada ibu bapanya sebelum bahtera itu karam buat selamanya atau doakan sahaja agar diri tu ditarik nyawa buat selamanya agar tidak memudaratkan sesiapa.
Pasangan curang adalah ‘kesakitan’ yang amat berbekas dalam hati sesiapa saja. Apakah wajar diberikan peluang kedua dan memaafkan? Ya, tak semudah nak diucapkan.
“Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang? Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.”
Minda Manusia Bukan Senang Nak Delete
Persoalan dikongsi pada awal perbincangan kali ini adalah luahan klien yang bertemu janji bersama saya menerusi e-mel.
Ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Kena Usaha Lupakan Curang Pasangan
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.
Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
Peluang Untuk Pasangan
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf?
Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Contohi Sikap Pemaaf Rasulullah
Rasulullah s.a.w, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat.
Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Lepas Memaafkan, Terima Seperti Biasa
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
Asal Ikhlas Bagi Peluang
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Menarik
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Nafsu Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Tak Diredai Allah
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Putuskan Hubungan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...