Kisah pergolakan antara menantu dan ibu mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan lagi-lagi yang bukan pilihan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan terlalu rumit. Sikap sesetengah ibu mentua yang suka mempertikaikan perkara remeh menjadikan hubungan keduanya sentiasa panas. Pendek kata ada sahaja yang tidak kena.
Menantu pula jenis tidak sabar jadi bila sama-sama ‘keras’ maka makin buruklah jadinya. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Menantu Bukan Pilihan Jadi ‘Mangsa’ Ibu Mentua
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
Ads
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Ads
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
Ads
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sejak kebelakangan ini, viral tentang taste suami atau isteri orang. Lebih jelas lagi
tentang seorang isteri ‘berskandal’ dengan suami orang dan begitu juga sebaliknya. Tidak
kurang juga wanita atau lelaki bujang yang jatuh cinta atau lebih teruk ‘bermain cinta
dengan suami atau isteri orang.
Semua orang boleh cakap, semua itu adalah ‘takdir’ dan tersurat. Cinta yang hadir bukan di paksa-paksa. Namun, kalau tak digoncang, pokok tak akan bergoyang. Bila kedua-duanya mula beranggapan hanya kawan biasa tetapi lama-kelamaan telah menerbitkan rasa cinta tanpa mereka sedar kesannya di kemudian hari.
Jika berpasangan dengan lelaki atau wanita solo, tidak menjadi isu. Tetapi yang
membangkitkan isu apabila pasangan itu hak orang lain. Kenapakah boleh timbul perasaan ini dan mampukah diteruskan atau mengundur diri demi kebahagiaan keluarga itu. Kupasan lanjut tentang isu ini bersama Prof Madya Ts. Dr Hj Mohd Nor Mamat.
Jawapan Klise
Apabila ditanya tentang ciri-ciri keistimewaan yang menyebabkan seseorang wanita terpikat dengan pasangan hak orang, sudah tentulah alasan yang diberikan adalah klise iaitu kematangan, pengalaman, lebih bertanggungjawab atau mempunyai kestabilan kewangan.
Manakala lelaki pula terpikat pada isteri orang yang lebih menjaga kecantikan, lebih seksi
atau manja berbanding dengan pasangan di rumah yang tidak seksi, manja dan sebagainya.
Sebab Jatuh Cinta
Bagi wanita yang belum berkahwin, salah satu faktor yang menyebabkan mereka tertarik kerana sifat-sifat lelaki itu yang membahagiakan, penyayang, romantik, ambil berat, kata-kata yang lemah lembut, sentiasa memahami dan lain-lain. Ada juga yang merasa cemburu dan iri hati serta membayangkan suami orang tersebut akan menjadi miliknya.
Apatah lagi kematangan menjadi ketua keluarga, kestabilan ekonomi dan kebijaksanaan yang menambahkan lagi tarikan untuk jatuh cinta. Manakala lelaki pula, ada sebahagian yang inginkan kemudahan dalam hidup, mudah tertarik dengan isteri orang yang lebih dewasa, matang dan tenang dalam menguruskan rumah tangga.
Boleh dikatakan sekarang ini, ramai isteri yang ‘menjaga badan’, berpakaian seksi dan cantik di luar rumah. Inilah yang menyebabkan tarikan di mata lelaki yang dirasakan dapat memenuhi keinginannya.
Ciri-ciri Tarikan
Lelaki atau wanita mempunyai tarikan yang berbeza. Biasanya, lelaki tertarik dengan wanita tentulah cantik, bergaya, manja, seksi, menghormati dan sebagainya. Begitu juga dengan wanita yang inginkan lelaki yang mempunyai ciri romantik, mampu melindungi, ambil berat, memahami perasaan dan lain-lain lagi.
Apabila ciri-ciri ini tidak ada pada pasangan di rumah, secara tidak langsung mereka akan
mudah tertarik dengan orang ketiga yang mampu memenuhi ciri tersebut.
Inilah yang boleh membahayakan kerana dalam keadaan ini, pasangan boleh terjumpa dengan orang lain yang dirasakan mampu memenuhi kekurangan pasangan. Apa lagi, bila orang ketiga mula menabur janji untuk mengambil kesempatan.
INGAT! anda dan pasangan tidak akan pernah sempurna dan tidak perlu mencari orang lain untuk memenuhi kekurangan. Malah, kebarangkalian orang ketiga yang anda rasakan ada ciri keinginan atau ‘taste’ mungkin lebih banyak kekurangan berbanding dengan ciri tarikan yang anda nampak.
Jalan Singkat
Bagi yang belum berkahwin, baik lelaki atau wanita, kemungkinan hubungan dengan pasangan orang lain yang sudah berkahwin boleh terjadi. Sebabnya, bukan kerana cinta tetapi lebih kepada ingin hidup mudah, mewah dan menumpang kekayaan. Biasanya, hubungan ini tidak akan kekal.
Memang ada wanita yang inginkan jalan singkat untuk hidup mewah dengan memikat suami orang kaya. Namun, andai tidak mengganggu kebahagiaan hubungan mereka, mungkin tidak salah tetapi tujuan sebenarnya bukanlah untuk membina hubungan yang jujur.
Begitu juga lelaki, memang ada lelaki yang kurang rasa tanggungjawab untuk menjadi ketua keluarga, sebaliknya ingin hidup mewah dengan kekayaaan wanita yang sudah stabil kehidupan. Secara tidak langsung, kedua-duanya tetap bersalah dan mengganggu kehidupan. Pastinya hubungan ini akan berakhir dengan kekecewaan dan penyesalan kepada kedua belah pihak.
Apa Yang Harus Dilakukan
1.Hentikan segera supaya tidak berlanjutan dan merumitkan keadaan. Jika anda merasakan bahagia dengan kehadirannya dalam hidup, ia adalah terlalu sementara dan palsu. Ini kerana ia terhasil daripada kekecewaan setengah perkara dalam hubungan bersama pasangan dan penghujungnya akan berakhir dengan penyesalan.
2.Ambil tindakan matang untuk lebih utamakan hubungan rumah tangga anda. Jika diketahui oleh pasangan, segera meminta maaf dan berjanji untuk segera berubah.
3. Elakkan daripada terus berhubungan dengan pasangan orang lain. Tidak salah untuk berkawan atau berpindahlah ke tempat baru sebagai satu alternatif dan menunjukkan kesungguhan anda kepada pasangan.
4.Elakkan sama sekali mengungkit atau mengulangi pertemuan, perhubungan dan sebagainya yang menghilangkan balik kepercayaan pasangan terhadap perubahan anda.
5.Andai anda mengimpikan hubungan sehingga ke syurga, anda perlulah selarikan dengan
tuntutan agama iaitu tanggungjawab anda untuk membahagiakan pasangan serta bersyukur dan reda dengan ketentuan jodoh yang terbaik untuk anda.
Pupuk Kembali Kasih Sayang
1. Hargai hubungan yang sedia ada dan pasangan yang anda miliki sebaiknya. Cipta diri anda dengan ciri-ciri yang memenuhi ‘taste’ pasangan anda. Fahami fitrah yang membahagiakan suami atau isteri dan anda jadilah orang yang membahagiakannya.
2. Elakkan daripada suka melihat atau membandingkan pasangan orang lain dengan pasangan anda kerana mereka ada kelebihan dan kekurangan. Tidak akan ada seorang pun dalam dunia ini yang memenuhi ‘taste’ anda sepenuhnya.
3. Kalau tahu umpamanya pasangan anda sukakan orang lain kerana lemah lembut, cuba sedaya upaya untuk bentukkan diri menjadi lebih lemah lembut di rumah. Masa untuk anda kita memikat suami lebih banyak berbanding orang lain. Begitu juga untuk suami, kalau anda tahu isteri sukakan lelaki lain yang lebih mengambil berat, usahakan supaya jadi lebih mengambil berat terhadapnya.
4. Lebihkan masa bersama untuk memenangi hati pasangan, bahagiakannya bila bersama supaya pasangan anda tidak lagi memerlukan orang lain untuk mengisi kekosongan dan kesunyiannya.
5. Percayalah, andapernah terpilih menjadi pasangannya, bererti anda adalah termasuk
;taste’nya, dan tugas anda adalah suburkan hubungan dengan ciri-ciri yang menggembirakan pasangan anda.
Nasihat Untuk Isteri Atau Suami
1.Didik hati supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Percayalah, apa yang ditakdirkan untuk jodoh kita adalah yang terbaik, hargai dan uruskan dengan baik.
2.Anda terpikat dengan beberapa tarikan yang dimiliki oleh pasangan orang lain tetapi ada
banyak kelebihan yang ada pada pasangan anda yang tidak dimiliki olehnya.
3.Fahami fitrah pasangan. Cuba sedaya upaya untuk memenuhi kebahagian pasangan. Bersyukur dan reda dgn kekurangan yang sedikit tetapi hargailah kelebihannya yang ada dan usahanya untuk sentiasa tambahbaik membahagiakan kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Asyik nak guna ayat ‘itu kerja isteri’, habis apa yang golongan suami boleh buat? Zaman sekarang ini, isteri pun cari duit sama ya. Jangan sedap balik rumah, kritik isteri pemalas!
Cuba ringankan tulang dan buat mana yang patut, mana yang tak siap lagi suami kena lah selesaikan. In shaa Allah rumahtangga itu tidak akan kelat.
Dan rasanya mak-mak cukup setuju dengan pandangan saudara Firdaus Shakirin kali ini, jemput hadam.
Itu Kerja Isteri?
“Sebelum nak jadi suami, tanya diri sendiri, dah bersediakah kita JIKA…”
Kita balik setelah seharian bekerja, buka pintu rumah tapi isteri tak sempat nak masak sebab anak buat perangai, anak merap, nak melekat berdukung je dengan isteri sampai dia tak boleh nak buat kerja.
Baju bertimbun dalam bakul, rumah bersepah dengan mainan, anak-anak yang lain tak mandi lagi.
Adakah kita mampu mempamerkan senyuman lalu terus ke dapur untuk memasak atau keluar membeli dan membungkus makanan?
Adakah kita akan menyinsing lengan baju kita lalu memandikan anak-anak kita?
Adakah kita akan mengemas rumah, mengutip satu persatu mainan anak-anak kita dan meletakkan ditempat yang sepatutnya?
Adakah kita akan membasuh baju dan menggantungkannya diampaian? Adakah kita akan melipat pakaian-pakaian yang telah siap dicuci?
Atau kita biarkan sahaja dengan menganggap bahawa itu adalah kerja isteri? Nanti dia dah free, baru dia buat? Atau kita tanya isteri…
“Kenapa tak masak lagi, kenapa tak kemas rumah lagi, kenapa baju-baju tak basuh lagi, kenapa anak-anak tak mandi lagi, apa yang awak buat kat rumah hari ini?”
Buatlah Sama-sama
Jika kita tidak bersedia untuk bersama-sama “berperang” menguruskan rumahtangga, menguruskan anak-anak, maka JANGAN KAWIN LAGI. Sebab hanya orang yang tahu apa itu tanggungjawab, apa itu tolak ansur, apa itu keperluan untuk saling memahami dan melengkapi sahaja yang layak untuk MENDIRIKAN RUMAHTANGGA dan rumahtangga yang didirikannya insyaAllah akan bahagia.
Yang dah SET dalam otak, itu kerja isteri, itu dia kena buat sendiri, segala serbi letak atas bahu isteri, biar dia tanggung dan hadap sendiri, maka TOLONG KEKAL MEMBUJANG.
Jangan kahwin… awak tak sesuai untuk “hidup” dalam alam rumahtangga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan mudah untuk mengekalkan hubungan suami isteri apatah lagi dalam tempoh 5 tahun pertama usia perkahwinan. Atas faktor komitmen pada kerjaya, tanggungjawab pada anak-anak, adakalanya suami isteri terlepas pandang dan hilang fokus dalam perhubungan yang dibina.
Akibatnya, ia mampu membuatkan hubungan semakin hambar dan menghilangkan rasa cinta didalam jiwa. Ikatan perkahwinan hanya atas pada nama, dan mula buat hal masing-masing.
Semoga pengakuan kisah benar ini menjadi pengajaran dan iktibar buat kita.
Nak kongsi cerita pasal realiti sebuah relationship. Yang positif jadikan pelajaran, yang negatif jadikan sempadan. Aku seorang wanita 30-an, dah 6 tahun kawen & ada 2 cahaya mata. Aku nak cerita pasal satu turning point untuk kisah cinta halalku.
Anak 1st lahir dalam tahun pertama relationship kami (aku term kan relationship, bunyi hipster sikit). Masa tu semua smooth, kami masih boleh bergurau, semuanya indah. Aku ingat lagi aku siap dapat bunga lepas bersalin. Auww.. berbunga-bunga lah sebab aku dah lahirkan zuriat comel untuk dia.
Bila anak kedua lahir pada tahun kedua relationship.. aku rasa sangat stress nak handle anak-anak kecil yang hanya jarak 14 bulan dari satu sama lain. Tambah lagi kami tak ada emotional support dari family sebab dua-dua belah jauh dari tempat kami cari rezeki.
Jarang Luang Masa Bersama
Kalau ikut tahun, anak-anak jarak 2 tahun. Dengan stress kerja, nak bayar bil itu ini, nak keep up dengan demand anak-anak kecil, waktu kerja yang panjang & demanding juga, kami dah jarang spend time bersama. Dalam pada tu aku breastfeeding dan pakai implant dekat lengan sebagai kaedah pencegahan kehamilan. Tambah susah lagi, sampai lah anak sulung masuk ke umur 4 tahun, dalam setahun confirm 3-4 kali warded kat hospital sebab asthma.. ada juga 2-3 kali kami bergegas ke bilik kecemasan pagi-pagi buta. Kami sangat sibuk dengan urusan anak-anak.
Sex drive aku absolutely zero. Kalau suami perlu pun kadang-kadang tolak, kadang-kadang aku paksa diri & just fake it. Dalam 2-3 tahun tu aku tak enjoy & tak rasa apa-apa pun dari hubungan kitorang. We just became what we needed from each other. Hubungan intim dalam sebulan mungkin sekali, atau tak ada langsung. Bila fikir balik kesian pulak kat suami.. tapi dia sangat memahami.
Rasa Semakin Jauh
Lama-lama bila aku kurang ke arah tu kami pun semakin “jauh” walaupun hari-hari celik mata dah nampak dia. Anak kedua sangat clingy so kene tido skali dengan aku sebab faktor breastfeeding jugak. Suami pun start tido asing.. kadang-kadang dia nak bangun pagi buta nak tengok bola.
Kami sekeluarga langsung tak ada pergi bercuti ke, pergi picnic ke, shopping ke, even makan dekat kedai pun jarang sebab kami berdua dah cukup stress dengan kerja & tak sanggup nak handle anak-anak kecik. Dalam kereta pun aku duduk seat belakang sebab nak uruskan anak.
Aku perasan dalam fasa hilang focus tu, dia mula terang-terang describe kelemahan-kelemahan aku dan aku pun mudah sangat nak rasa marah-marah dekat dia balik. Aku rasa macam jiwa memberontak tapi aku tak tahu sebab apa. Ada sekali aku lupa basuh baju pun dia kata aku malas. Padahal aku dah buat banyak lagi benda lain dia tak appreciate, cuma pada hari tu kebetulan aku lupa nak masukkan baju dalam mesin basuh.
Buat Hal Masing-Masing
Kadang-kadang tension tu terlalu tinggi sampai aku ada terfikir nak berpisah dengan dia. Aku tak check dah phone dia, apa dia post dekat socmed, pendek cerita kami buat hal masing-masing. Kadang-kadang salah faham berlaku sebab aku tak faham apa dia nak sampaikan. Macam rasa lost sangat. Dah fed up nak try to please him.
Aku pun just focus pada career & membesarkan anak-anak.Masa ni syaitan memang bertepuk gembira. Berlarutan lah macam tu sampai tahun kelima relationship kami.Kedua dua pihak selambe je anggap benda tu normal.
Awal tahun ni aku naik pangkat & bertukar jawatan ke jawatan yang lebih laid back instead of perlu ke hulu ke hilir kerja macam tentera semut. Bila macam tu aku ada banyak masa nak baca facebook. Ada hikmah jugak layan sosmed ni ehh.. Anyway aku jadi macam tersedar bila baca banyak kisah-kisah curang & keruntuhan rumahtangga berlegar dalam media sosial termasuk KRT & iiumc..
Aku rasa kes curang ni betul-betul unacceptable dan aku mula sedar aku dah fed up hidup hambar macam ni & aku kene buat something untuk mengorat suami aku. *Terima kasih le pada confessor-confessor yang sudi post cerita-cerita yang boleh dijadikan pengajaran walaupun makcik pakcik bawang berbakul maki kat ruangan comment.
Mula Perbaiki Diri & Pikat Suami
So what I did, aku start google macam mana aku boleh improve diri.. aku tak bincang dengan suami, semua macam normal cuma aku mula buang tebiat hantar wasap-wasap pickup line yang aku copy paste dari internet. Dia langsung tak layan.. hahaha! Aku pun start ajak dia makan kat luar bawa anak-anak, tukar-tukar review menu cafe-cafe baru, masak apa dia suka, start cek hp dia sikit-sikit (thankfully dia tak ubah password phone which is sama dengan password phone aku since tunang lagi.. ohh berbunga hatiku).
Aku mula respon cepat setiap kali dia whatsapp. Aku letak ringtone special untuk dia supaya aku alert & takkan miss call dari dia. Aku mintak izin dia ke mana-mana aku nak pegi dan tak reluctant untuk cancel activity aku kalau dia kata tak boleh.
Pakaian dia pun aku start filter yang lama-lama, gantikan dengan yang baru. Waktu lunch aku ajak dia makan sama-sama kalau tak busy. Tengok bola dekat tv sama-sama & buat-buat tanya dia soalan bodoh pasal bola supaya dia annoyed.. haha.Tapi aku tau, dia suka je bila aku buat-buat tanya macam tu.
Banyak mengalah & ikut dia dalam macam-macam hal.. walaupun kadang-kadang aku terpaksa fake kan aje. Terpaksa korban perasaan sendiri untuk sementara. omputeh kata fake it till you make it. Above all, aku just nak bagi tau dia secara subtle, aku hormat dia sebagai suami. Somehow aku ada rasakan dia dapat “mesej” aku tu tapi dia tetap poker face gitu.. so i have no idea if he gets me.
Setelah berbulan kami tak berhubungan intim, satu hari secara spontan aku terbagi signal nakal kat dia. Aku pun tak expect apa-apa sebab dia bukan jenis yang faham pun.. haha. Lepas habis perlawanan bola kat tv, tengah-tengah aku scroll fb dalam bilik, dia masuk & panggil aku ke luar bilik, tinggalkan anak-anak tido dalam bilik. Aku pun blur.. ehh dia nak apa nih. Tapi masa tu aku ingat ni lah peluang aku untuk buat dia jatuh cinta dekat aku balik. Malam tu aku just focus semua pada dia, sebab aku fikir aku nak buat dia happy je.
Turning Point
To my surprise (and finally).. this is the turning point.. kami jumpa balik happiness yang kami cari! 5 tahun berlalu & itu la first time aku appreciate bersama dengan dia. Sebab kami dua-dua happy. Selepas peristiwa tu, dia pun start open up balik & komunikasi makin rancak so salah faham dah berkurangan. Sampai sekarang aku ulang-ulang je skill mengorat macam kat atas, dia pun dah start miang dia, termakan umpan. haha (its ok, i like it).
So apa yang aku belajar dari pengalaman ni, dalam relationship kita kene sentiasa berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh buat kita hilang fokus pada rasa cinta terhadap pasangan. Bila usia meningkat macam-macam event yang berlaku & memerlukan komitmen kita, tapi jangan hilang fokus pada relationship. Walaupun anak-anak memang tanggungjawab kita untuk beri jiwa raga untuk membesarkan mereka, jangan lupa pada perasaan pasangan yang mungkin kita terlepas pandang.
Dulu aku tak boleh faham pun bila dalam bab munakahat ada menyentuh pasal “bergurau suami isteri”. Budak-budak lagi.. ingat kawen tu pasal sex je. Sekarang aku boleh faham bende tu.. Its not just sex, but things that are leading to it. Those things are important.
Jangan Berputus Asa
Aku beruntung suami aku ni tak hilang fokus sampai nak main kayu tiga (kalau ada pun, aku dah tak perlu tahu dalam fasa sekarang). Tapi kalau aku hilang fokus lagi, ada kemungkinan benda tu boleh berlaku.. nauzubillahiminzalik.
Aku harap tak ada lagi orang Islam kita hanyut dengan drama cinta bersegi-segi sehingga meruntuhkan institusi rumahtangga. Jangan mudah give up dan memilih perceraian just because you think you can go through it. Amik pengajaran dari kisah-kisah sekeliling kita & usaha perbaiki diri.
Perigi cari timba.. til Jannah.
– Puan Confessor
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Buat pasangan suami isteri jadikan kisah ini satu pengajaran, jangan hilang fokus pada hubungan perkahwinan. Walaupun dan beranak pinak dan bertahun-tahun berkahwin, sentiasalah menyemai rasa cinta pada pasangan agar ia tidak ‘hilang’ dan buat kita semakin menjauh.