Rumah Sebaik-Baik ‘Sekolah’, Anak Bawah 12 Tahun Tak Sesuai Tinggal Asrama!

Share

Buat mak ayah yang berhasrat untuk menghantar anak-anak berumur 12 tahun ke bawah tinggal di asrama, sewajarnya pertimbangkanlah sebaik-baiknya keputusan tersebut. Tak kiralah atas apa juga pendirian yang dirasakan betul.

Ini kerana anak-kanak berusia di bawah 12 tahun masih tidak sesuai untuk tinggal di asrama. Sama ada alasan untuk mengajar mereka hidup berdikari mahupun atas tujuan pendidikan. Pada usia ini anak terlalu mentah untuk menguruskan diri sendiri dan tempat paling sesuai untuk mereka adalah di rumah bersama keluarga dengan bimbingan ibu bapa sepanjang masa.

Perlu Sentuhan Kasih Sayang Mak Ayah

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata pada usia ini kanak-kanak memerlukan sentuhan kasih sayang ibu bapa bagi membolehkan proses tumbesarannya seimbang, terutama dari segi emosi dan pemakanan.

Beliau berkata, anak perlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang sebagai sokongan untuk membesar dengan sempurna.

Katanya, selepas mencecah usia 12 tahun ibu bapa perlu menilai semula tumbesaran fizikal dan emosi anak, mereka perlu rasional membuat keputusan sama ada membenarkan anak tinggal di asrama atau sebaliknya.

“Usia tujuh hingga 12 tahun adalah fasa usia kanak-kanak melalui proses pembesaran yang kritikal. Mereka mudah dipengaruhi rakan sebaya sekiranya ditempatkan di asrama tanpa bimbingan ibu bapa.

“Hubungan dan kasih sayang bermula dari rumah membantu mematangkan fikiran mereka.

“Berbekalkan bimbingan dari rumah, apabila keluar nanti, anak dapat menilai perkara baik dan buruk,”

katanya mengulas isu kanak-kanak tujuh tahun maut akibat didera pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

Kematian Pelajar Tahfiz

Kematian pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, baru-baru ini dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan. Mangsa yang juga pelajar paling muda dan bersikap manja dengan pasangan suami isteri yang juga pentadbir pusat terbabit, dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain.

Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul. Susulan itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

Rumah Sebaik-Baik Sekolah

Noor Aziah berkata, ketika ini ramai ibu bapa cenderung menghantar anak ke pusat tahfiz dengan harapan anak mendapat pendidikan agama sempurna.

Katanya, pada masa sama, mereka lupa kerana rumah adalah sebaik-baik sekolah dan ibu bapa sepatutnya bertindak sebagai guru agama dalam membentuk rohani dan jasmani anak untuk menjadi insan sempurna.

Baca Lagi Di Sini: Hubungan Mak Ayah Dengan Allah, Berkait Rapat Dengan Didikan Anak-anak

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Renung-renungkanlah kembali, tujuan sebenar dan kesannya jika menghantar anak-anak seawal usia berjauhan dengan keluarga dan tinggal di asrama. Benar, sesungguhnya sebaik-baik ‘sekolah’ adalah didikan yang bermula di rumah sendiri.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab