Selepas menghubungi Penyelaras & Penggerak Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Puan Gharizah Hashim, bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai Rumah Ngaji OKU pertama di negeri tersebut, wanita ini menyambut panggilan daripada penulis dengan nada cukup ceria.
Malah dirinya juga menerangkan, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Faqeh telah memperkenalkan Rumah Ngaji istimewa untuk OKU masalah pembelajaran. Rumah Ngaji Sheikh ini beroperasi di Rasah Kemayan dan telah memulakan kelas bulan Ogos lalu.
Malah Gharizah Hashim juga memaklumkan, idea menubuhkan Rumah Ngaji untuk OKU ini terlintas apabila dia mempunyai sebuah tempat yang strategik dan bercadang mahu membina sebuah lagi rumah ngaji.
“Rumah Ngaji Sheikh mempunyai 15 pelajar terdiri daripada OKU berusia antara 7 sehingga 21 tahun. Antara peserta yang menyertai Rumah Ngaji ini adalah mereka yang menghidap autisme, sindrom down, buta dan masalah pembelajaran.
“Kelas pengajian diadakan setiap Isnin sehingga Khamis bagi Huffaz Asyraf, bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi kelas QurAnis akan diadakan pada setiap Isnin sehingga Khamis bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang,” ulas Gharizah membuka bicara.
Asatizah Khas Membantu
Gharizah juga turut memaklumkan Rumah Ngaji ini, terdapat dua asatizah yang disediakan khas untuk membantu dan mengajar mengaji secara percuma.
“Asatizah kita terdiri daripada mereka yang mahir dan pakar dalam bacaan serta mengajar al-Quran, malah mereka merupakan salah seorang pelajar daripada Akademi Faqeh. Kita sedia maklum, Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) memang ditubuhkan untuk membantu komuniti anak-anak kelainan upaya untuk mempelajari al-Quran dan ibadah. Asatizah ini mahir mengajar golongan kurang upaya dan mereka dari USIM di bawah Fakulti Al-Quran & Sunnah,” sambungnya lagi.
Hulurkan Sumbangan Ikhlas
Gharizah juga menjelaskan, bagi membantu melancarkan perjalanan Rumah Ngaji ini juga bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah membantu.
“Guru yang kami lantik perlu dibayar gaji ini kerana bukan semua guru boleh mengajar anak-anak istimewa ini. Kami perlu mencari sumbangan untuk mendapatkan dana untuk membayar gaji guru. Sememangnya kami perlukan sokongan dari orang ramai dan masyarakat setempat,” cerita Gharizah.
Hajah AsmatBibi, Insan Berhati Mulia
Gharizah juga cukup gembira memandangkan dia ada menerima sebuah rumah banglo yang diwakafkan seorang pemilik tempatan, beliau berhasrat untuk menggunakan rumah tersebut sebagai Rumah Ngaji terutamanya bagi anak-anak istimewa sekitar negeri ini.
“Jadi, pemilihan mereka sangat bertepatan dengan konsep dibawa Rumah Ngaji ini yang mana lokasi rumahnya ini telah pun diwakafkan oleh insan yang berhati mulia,” katanya. RumahNgaji@Sheikh Rasah Kemayan (khas untuk anak-anak istimewa) ditubuhkan atas ihsan seorang insan yang telah lama berniat untuk mewakafkan sebuah rumah banglonya.
“Insan tersebut adalah Hajah AsmatBibi Binti Sheikh Abdullah dan keluarganya yang berasal dari Pulau Pinang dan kini telah menetap di London selama 50 tahun.
“Rumah banglo percutian keluarga Sheikh Abdullah ini diwakafkan atas niat Hajah AsmatBibi untuk dimanfaatkan sepenuhnya untuk pengajian al-Quran dan yang berkaitan. Baginya yang telah berhijrah ke London dalam usia belasan tahun dan kini telah mempunyai cucu-cucu di sana, merasai tiada yang lebih membahagiakan, melainkan dapat memberi sesuatu yang terbaik untuk dimanfaatkan oleh ummah.
“Lantas, dengan niat murni Hajah AsmatBibi, Allah telah memudahkan segalanya hingga tertubuhnya sebuah Rumah Ngaji atas nama ayahanda tercinta iaitu RumahNgaji Sheikh. Insya-Allah, satu hari nanti, Hajah AsmatBibi berhasrat untuk pulang ke Malaysia, menetap kembali di negara tumpah darahnya. Semoga Allah mencurahkan rahmat dan ganjaran yang terbaik buat beliau serta keluarga Sheikh Abdullah,” ungkap Gharizah dalam nada yang cukup terharu.
Harap Anak-anak OKU Dapat Membaca & Hafal Al-Quran
Gharizah juga mengharapkan matlamat penubuhan Rumah Ngaji Sheikh ini bukan saja khusus pada mengaji malah dapat menarik minat anak-anak istimewa mempelajari dan mendalami Al-Quran.
“Bukan sekadar mahu golongan ini celik Al-Quran malah boleh menghafal dan didedahkan pada pengajian ibadah. Bukan saja anak-anak malah kita juga galakkan ibu dan bapa mereka mempelajari Al-Quran juga. Ini kerana kami juga turut memberi ‘homework’ pada anak-anak istimewa ini agar mereka dapat berinteraksi dengan ibu bapa untuk membantu mereka dalam menyiapkan ‘homework’ yang diberi,” akhiri Gharizah.
JIKA ANDA INGIN MENGHULURKAN SUMBANGAN BOLEHLAH MENYALURKAN KE AKAUN MAYBANK 555108319734 ATAU BOLEH TERUS KE ALAMAT RUMAH NGAJI @ RASAH KEMAYAN, NO. 82 JALAN 4/1, RASAH KEMAYAN, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
PUAN GHARIZAH – 0173512144
PUAN SOPHIA – 0123051307
USTAZ NASRI – 0173529436
Ads
Ads
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI