Suaranya kedengaran sayu, sesekali lafaz kata terhenti apabila perasaan sebak menguasai diri. Begitulah kesedihan yang tidak dapat digambarkan apabila seorang warga emas, Azezah Yasin, 64 tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya yang terletak di unit 19-5-6, Kondo Rakyat, Jalan Pantai Murni 2, Pantai Dalam musnah dijilat api.

Sewaktu dihubungi, ternyata kejadian yang berlaku pada 1 November lalu yang melibatkan dua buah unit pangsapuri itu memberi kesan yang amat mendalam pada Azezah dan anak perempuannya Yuslina Nordin, 32.

Rumahnya hangus terbakar.

“Ketika memasak soto api secara tiba-tiba menyambar sebelum merebak dan membakar rumah. Sewaktu kejadian hanya emak dan anak saya, Yasmeen Delisha berusia 11 bulan bersama seorang anak jagaan berusia lima tahun berada di rumah.

“Mujur ada jiran yang sedar dan membawa mereka yang ketika itu di ruang tamu keluar manakala saya menghubungi talian kecemasan,” katanya mengenai kejadian pada 12 tengah hari itu yang berlaku pantas.

Yuslina yang sedang hamil lima bulan, baru saja berhenti kerja dan tinggal bersama ibunya.

“Sebelum ini mak yang menjaga anak ketika saya ke pejabat. Mujurlah pada hari kejadian saya ada, saya berhenti kerja untuk menjaga mak sebab dia baru saja menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass),” terang Yuslina yang turut memberitahu rumah ibunya terbakar 90 peratus manakala rumah jirannya terbakar 50 peratus.

IKLAN

Baru Keluar Hospital

Telah tinggal di kediaman itu selama 20 tahun, ibu Yuslina, Azezah menyatakan malam sebelum kejadian dia baru saja pulang selepas di tahan di wad.

“Sebelum kejadian makcik tengah baring sebab makcik baru sja keluar dari hospital malam sebelumnya. Jadi anak makcik, baru saja nak masak Mi Soto. Maklumlah makcik ni tak lalu nak makan sebab selera tak ada selepas buat pembedahan.

“Tiba-tiba anak jerit ‘api’, dia suruh makcik dan anak-anak lain keluar. Nasib baik jiran masuk dalam dan tarik makcik dan dua anak kecil keluar. Api marah dengan cepat. Dalam seelip mata api marak dan turut sambar rumah sebelah. Mujurlah kami anak beranak selamata.

“Anak-anak makcik yang lain tinggal di sekitar KL dan saudara mara pula tak ada disini mereka tinggal di Singapura dan Johor Bahru. Mujur ada jiran yang baik hati dan kami tinggal sementara di rumah jiran,” kata Azezah yang turut menyatakan kejadian tersebut turut menyebabkan rumah jirannya Yaacob Zainal terbakar.

Menerima kunjungan YB Fahmi Fadzil.

Ramai Yang Datang Menziarah

Azezah yang berpindah sementara di rumah anaknya yang terletak di PPR Bukit Jalil, menerangkan dia telah menerima kunjungan termasuklah dari Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Fahmi Fadzil.

“Lepas terbakar ramai yang datang melawat termasuklah YB Fahmi. Makcik berterima kasih sebab ramai yang datang membantu dan bertanya khabar. Walaupun kejadian sudah hampir sebulan berlaku namun prihatin dari jiran dan saudara mara buatkan makcik terharu.

Trauma Memasak

Azezah juga menceritakan sehingga kini dia mengalami trauma dan masih teringat-ingat kejadian kebakaran yang berlaku.

“Memandangkan makcik ni sakit, jadi memang makcik sangat letih dan tak ada selera makan. Lebih-lebih lagi sekarang ni bila lelapkan mata saja mesti makcik akan terbayangkan api yang sedang marak menjilat rumah.

“Bila fikir semula alhamdulillah kerana kami semua selamat. Cuma makcik rasa trauma bila-bila lagi bila ada bau masakan hangit dari tingkap rumah jiran sebelah. Makcik akan jengah dan tanya api dah tutup ke. Bukan apa makcik rasa takut sangat jika kejadian yang sama berulang.

“Sampai sekarang hampir sebulan berlaku makcik beritahu pada anak tak payahlah masak beli saja makanan. Tapi anak beritahu sampai bila mak, nak beli di kedai makanan.
“Banyak nostalgia yang ada dalam rumah tersebut sebab makcik dah duduk situ lama. Tapi bila fikir semula nyawa lebih penting dari segala-galanya,” ungkap Azezah yang begitu sedih dengan kejadian yang menimpa dia dan keluarga. Namun dia turut bersyukur kerana begitu ramai yang prihatin dengan keadaan yang menimpa dia sekeluarga.

Menurut Yuslina pula, dia kini membawa ibunya tinggal bersama di Bukit Jalil. Selain Yuslina adik beradiknya yang lain turut membantu menjaga ibu.

“Adik beradik yang lain punya komitmen. Mereka selalu menjenguk ibu, cuma saya sebelum ini bekerja dan berhenti kerja kerana ingin menjaga ibu yang menjalani pembedahan jantung. Saya cukup risau dengan kesihatan ibu. Bayangkan selepas keluar dari hospital kejadian ini berlaku dan saya adik beradik sangat risau dengan kesihatan ibu.

“Hingga kini ibu tak lalu makan dan saya bersyukur kerana kejadian yang berlaku banyak hikmahnya. Jika saya masih bekerja ibu akan tinggal bersama anak saya. Saya tak dapat bayangkan jika saya tak ada di rumah semasa kejadian. Allah Maha Berkuasa dan saya bersyukur kerana kami selamat.

“Saya tidak mengalami trauma seperti ibu. Saya yang memasak kuah Soto sewaktu di dapur. Ibu memang tak benarkan saya masak lepas kejadian tapi sampai bila nak beli makanan kan. Jadi saya tetap memasak apatah lagi untuk menjaga ibu yang masih berpantang makan makanan yang bersesuaian dengan keadaannya,” akhiri Yuslina.

Azezah bersama anaknya Yuslina, menantu dan cucu.