Rozita Che Wan Tanam Impian Tunai Ibadah Haji Tahun Depan & Kongsi Pengertian Aidiladha

Share

Hari Raya Aidiladha sememangnya mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban, yang hanya boleh dilakukan dalam tempoh empat hari, bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Sempena dengan sambutan Aidiladha, Mingguan Wanita berkesempatan bekerjasama dengan keluarga popular Rozita Che Wan, 45, dan anak-anaknya, Ammar Effendy, 22, Aniq Ezzra, 20, dan Aaisyah Dhia Rana, 3, bagi menghiasi ruangan muka depan.

Pengertian Aidiladha

Bila ditanya tentang pengertian Aidiladha pada dirinya, isteri kesayangan kepada Zain Saidin ini menjelaskan, “ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik Muslim itu untuk bersikap dermawan. Daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin. Pada saya, Aidiladha juga sambutannya lebih pengertiannya kepada mereka yang melakukan ibadah haji. Di Kuala Lumpur jika ada rezeki lebih, rasanya lebih afdal jika kita berkorban,” terang Che Ta membuka bicara.

Disambut Secara Sederhana

Che Ta juga berkongsi, berbeza dengan sambutan Aidilfitri, hari raya haji disambut secara sederhana. Malah mereka sekeluarga juga tidak pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, sebaliknya lebih selesa beraya di ibu kota kerana cuti yang singkat.

“Tahun ini kami sekeluarga akan sambut Aidiladha di KL saja. Tahun lepas kami beraya di Seremban, di rumah adik saya, Ayu Raudhah. Sememangnya sejak saya duduk di ibu kota dan semasa zaman bekerja sebagai pramugari dulu memang bila raya haji saya akan bekerja. Selepas beralih ke dunia lakonan pula, biasanya kami cuma diberi cuti sehari saja, jadi memang tak sempat nak pulang berhari raya di kampung. Sekarang ini, memandangkan saya, suami dan anak-anak juga mempunyai banyak komitmen jadi kami memilih beraya di sini saja,” terang Che Ta lagi.

Diusik tentang baju yang bakal digayakan pada hari raya haji ini, Che Ta menerangkan 20 pasang baju baru yang ditempah sewaktu Aidilfitri masih ada dan belum digayakan.

“Saya tempah baju raya puasa 20 pasang baru, tapi yang telah dipakai hanya 11 pasang, jadi ada lagi yang boleh digayakan pada hari raya haji. Selebihnya saya akan pakai untuk menghadiri majlis perkahwinan atau majlis-majlis yang bersesuaian. Kiranya 20 pasang itu boleh digayakan untuk setahun.

“Biasanya pada pagi raya, kami sekeluarga akan makan bersama keluarga. Biasanya saya akan tempah ketupat palas yang sememangnya menjadi kegemaran kami. Selain itu nasi impit dan kuah kacang hidangan yang akan disajikan,” kongsi artis cantik berkenaan sambutan pada pagi Aidiladha yang sering diamalkan oleh dia sekeluarga.

Simpan Impian Tunai Haji

Memandangkan Che Ta dan suaminya sudah acap kali menunaikan ibadah umrah, ditanya tidakkah dia teringin untuk menunaikan ibadah haji pula? Che Ta terus tersenyum sambil berkata;

“Ya Allah, memang saya selalu cakap dengan Zain, “sayang doakan kita dapat tunaikan haji tahun depan ya”. Saya sememangnya berharap dan simpan impian jika ada rezeki mahu menunaikan haji tahun depan.”

“Perasaan bila berada di Mekah memang lain. Bila kita berada di sana, kita dapat merapatkan diri dengan Allah SWT. Malah saya juga gemar berkongsi perkara yang baik di Instagram. Baru-baru ini saya ada kongsi tentang hadis awalkan waktu solat dan saya mendapat respons yang cukup baik, ada yang berkata bila baca hadis yang saya kongsikan dia terus bangun tunaikan solat.

“Sememangnya kadangkala saya terfikir bila ada instagram akan jadi riak. Kadang tu saya terfikir jika tak ada perniagaan memang tak nak ada instagram. Namun dengan kongsikan ilmu yang baik. Alhamdulillah dapat juga saya berikan sesuatu yang positif pada masyarakat,” ujarnya.

Tak Pernah Penat Dalam Berfesyen

Usianya yang kini sudah mencecah 45 tahun namun Che Ta masih berjaya kekalkan tubuh badan yang cantik. Ditanya tidakkan dia terbeban dengan fesyen yang digayakan, Che Ta akui kunci utama dalam berfesyen perlulah menjaga badan.

“Saya gayakan baju mengikut kesesuaian bentuk badan. Kalau nak berfesyen tak terbatas pada umur seseorang itu. Kalau nak berfesyen berapa umur bukan satu masalah. Cuma kalau tak jaga badan tiba-tiba nak berfesyen sakan memang tak sesuai.

“Malah ada yang cakap terbeban bila kita suka berfesyen. Saya sendiri tidak menggayakan baju yang majal. Tak semestinya baju mahal akan nampak cantik. Untuk kelihatan cantik tak perlu barang mahal,” ujar Che Ta yang cuma bersiap selama sejam untuk menghadiri majlis formal atau sesi fotografi.

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Che Ta dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru Isu Ogos, Volume 2 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

TEKS: NORHAYATI SUBOH
FOTO: TM AZMAN

Published by
Suhaidah Abd Wahab