Hidup berumahtangga sememangnya banyak dugaan. Bagi mereka yang tidak mampu menghadapi akhirnya rumahtangga kecundang. Begitu juga yang terjadi kepada Roslan. Dalam usia 45 tahun dia tidak menyangka dirinya akan hidup sendirian tanpa Syuhada (isteri) dan anak-anak. Malah dia tidak menyangka pertemuan dengan seorang janda yang bernama Zaitun, membuatkan ikatan perkahwinan yang dibina bersama Syuhada selama 25 tahun berakhir begitu saja. Syuhada pula seorang isteri yang cukup setia dan begitu mempercayai suami kesayangannya. Namun wanita ini reda dengan kejadian yang berlaku dan menganggap jodoh bersama Roslan hanya setakat di situ. Walaupun pada awalnya Syuhada sukar menerima hakikat dan sering menangis namun hatinya cukup kental mengenangkan anak-anak.
Semuanya bermula ketika Roslan singgah di warung milik Zaitun. Sebagai seorang pemandu lori, makan dan minum Roslan sememangnya sukar Syuhada jaga. Keluar saja dari rumah dia akan menikmati hidangan tengahari dan minum petang di mana-mana gerai yang dilalui sepanjang perjalanan untuk menghantar barang. Hinggalah pada satu hari ketika menghantar barang di Kuala Pilah, Roslan berhenti seketika untuk menjamu selera di sebuah warung yang terletak di bahu jalan.
Ketika itulah dia bertemu degan Zaitun. Sememangnya pemilik kedai ini seorang yang cukup ramah apatah lagi Zaitun jua seorang yang cantik. Bak kata orang tak jemu mata memandang. Sempat juga Roslan berbual-bual dengan Zaitun sebabnya makanan tengahari yang disediakan cukup sedap terutamanya Daging Salai Cili Padi.
Keesokan harinya Roslan singgah lagi ke warung Zaitun, ternyata dia tidak jemu menikmati hidangan di situ. Ketika itu Roslan sempat menukar nombor telefonnya dengan Zaitun.
Apabila pulang ke rumah, isteri Roslan, berasa cukup hairan apabila melihat suaminya sentiasa memegang telefon bimbit. Dia tidak pernah melihat Roslan begitu ralit dengan telefon. Apabila ditegur, Roslan naik berang dan memberi amaran kepada Syuhada agar jangan sibuk dengan urusannya. Malah anak-anak mereka juga cukup hairan dengan perubahan sikap Roslan.
Apabila duduk di rumah Roslan tidak senang duduk. Dia sentiasa teringatkan Zaitun. Malah ketika cuti Roslan sempat bertemu dengan Zaitun. Hubungan mereka semakin hari semakin rapat. Manakala isterinyanya pula dapat menghidu kecurangan suaminya.
“Abang saya tengok awak lain macam saja sekarang ni. Keluar rumah pun pakai minyak wangi bagai. Awak dah kenapa dah buang tabiat ke? Atau awak ada perempuan lain ni?” tanya Syuhada.
Setiap pertanyaan isterinya itu tidak dibalas. Roslan hanya berdiam diri. Malah dia juga tidak seperti dulu, jangan berbual-bual dengan Syuhada.
Di dalam fikirannya hanya teringat akan Zaitun. Sehinggalah pada satu malam, Roslan membawa Zaitun keluar makan. Selesai menikmati makanan, Roslan dan Zaitun terus ke sebuah hotel murah. Mereka berdua melempiaskan nafsu serakah di hotel tersebut.
Keesokan harinya barulah Roslan pulang ke rumah. Sampai saja di rumah Syuhada bertalu-talu tanyakan soalan ke mana suaminya itu tidur. Seperti biasa Roslan hanya berdiam diri.
Segalanya terbongkar apabila Syuhada menemui resit hotel dan dia mengesyaki suaminya itu menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.
“Baik abang jelaskan. Kita ni dah tua bang. Tak malu ke buat perangai,” tanya Syuhada.
“Apa awak ni merepak,” jawab Roslan.
“Saya, awak katakan merepek. Abang tak payah sorok lagi ni resit hotel. Abang menginap dengan perempuan tu kan. Saya tahu kemana abang pergi. Saya dan anak kita mengintai awak selama ini. Awak berkenan sangat dengan si janda Zaitun tu kan. Kalau awak angaukan dia baik abang lepaskan saya. Tak ada gunanya ada laki macam awak ni, buat maksiat,” jerit Syuhada.
Roslan yang tidak tahan dengan pertanyaan Syuhada terus menampar muka isterinya itu. Lantas Roslan juga melafazkan talak satu.
Syuhada berasa cukup sedih dengan apa yang berlaku. Walaupun diceraikan namun Syuhada tidak mahu berganjak dari rumah tersebut dan meminta Roslan keluar tinggal di tempat lain. Roslan bersetuju dengan cadangan Syuhada dan dia terus melangkah keluar untuk mencari kebahagiaan dengan wanita yang dicintainya.
Roslan terus ke rumah Zaitun. Namun dia berasa cukup terkejut apabila mendapati ada seorang lelaki membuka pintu rumah kekasih hatinya itu. Lelaki tersebut yang sama usia dengan Roslan memanggil Zaitun yang berada di dalam bilik.
“Ya sayang tunggulah nak pakai baju ni,” kata Zaitun. Apabila melihat ke luar alangkah terkejutnya Zaitun melihat kelibat Roslan.
“Ini rupanya kelakuan kau ya, aku ingatkan kau setia. Sehingga aku sanggup ceraikan isteriku. Rupa-rupanya kau perempuan sundal. Tergamak kau lakukan sebegini pada aku,” jerit Roslan.
Sejak kejadian itu, Roslan tidak ada arah tujuan hidup. Dia mahu pulang ke pengakuan isterinya namun dia risau tidak diterima. Malah Roslan juga malu pada yang Esa keraan sanggup melakukan dosa besar. Segalanya sudah berakhir namun Roslan akur dengan takdir yang menimpa dirinya.
Kini dia memberi fokus kepada pekerjaan dan sering ke surau. Dia tidak mahu lagi menjadi manusia lalai dan melakukan dosa. Dia bertekad mahu berubah dan akan pulang ke rumah ke pangkuan Syuhada dan anak-anak. Cuma dia mahu memberi masa kepada Syuhada agar dapat menerima dirinya semula.