Romantis…Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis malah wanita ialah lelaki yang romantik. Namun sering kali juga dikatakan lelaki bangsa asing memang romantis, daripada lelaki Melayu. Ye ke? Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie. http://bersamasuzana.blogspot.com
Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya tika usaha memikat tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang seakan satu fail di’delete’ terus dari ‘recycle bin.’Bila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: “Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang barat la.” atau “Nak suruh saya jadi hero hindustan ke?”
Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang barat, bukan juga budaya hero Hindi. Sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunah Rasulullah s.a.w.
Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?
Sebenarnya,maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.
Aishah r.anha berkata yang bermaksud: “Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.” – Hadis riwayat Abu Daud.
Walaupun hadis ini menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengenengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah s.a.w. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang; bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?
Aisyah r.anha berkata: “Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air.” – hadis riwayat al-Bukhari. Pernahkah? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.anha dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah s.a.w juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.
Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda. Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Bila isteri rasa dihargai, dia bukan saja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Kata-kata Rasulullah s.a.w ini disokong dengan pengakuan Aisyah r.anha sendiri. Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini.
Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.