Road Trip Buru Aurora Backpackers Paling Jimat

Share

Tidak dapat dinafikan setiap penggembara atau pelancong akan menyimpan hasrat atau bucket list mereka untuk melihat aurora borealis, fenomena alam semulajadi yang paling menakjubkan berlaku di Negara yang terletak dalam Lingkaran Artik. Ikuti percutian Yaya Mohamad ke Iceland, salah satu Negara yang sering menjadi tumpuan pemburu aurora borealis ini.

Iceland terkenal dengan nama “land of fire and ice” yang membawa maksud negara yang dilahirkan daripada letusan gunung berapi selama berjuta-juta tahun. Kemudiannya sehingga 8000 tahun yang lalu, keseluruhan Iceland terletak di bawah ais dan secara perlahan-lahan, glasier mula mecair lalu membentuk lemah dan fjords iaitu lembah glasier yang dibanjiri laut.

Keindahan alam semulajadi yang terbentuk daripada gunung berapi dan glasier berais inilah yang menjadi tarikan para pengembara dan pelancong dari seluruh negara untuk melawat Iceland. Selain itu, kedudukan Iceland di dalam Lingkaran Artik (Artic Circle) juga menjadi tempat utama untuk memburu cahaya Aurora Borealis (atau juga dikenali sebagai Northern Lights).

Kumpulan kami terdiri daripada 8 sahabat/pengembara tegar yang sudah lama dan baru berkenalan dari latar belakang berbeza – Rowena Baker, Farizul Zulkifli, Nora Yusuf, Lizza Hademi, Yaya Mohammad, Amiza Amirudin dan Gero Azrul. Misi utama kami ke Iceland adalah untuk memburu cahaya Aurora Borealis yang menjadi tarikan utama setiap pengembara dan pelancong ke Iceland. Oleh itu kami membuat keputusan untuk mengembara selama 14 hari dan memilih musim luruh kerana waktu siangnya yang pendek dapat meningkatkan peluang kami untuk melihat cahaya Aurora Borealis pada malam harinya.

8 sahabat penggembara tegar

Ibu Kota Reykjavik

Daripada Malaysia, kami terbang dengan menaiki pesawat Lufthansa Airlines ke ibu negara Iceland iaitu Reykjavik di mana pengembaraan kami bermula dan berakhir. Reykjavik merupakan bandar moden yang dipenuhi seni mural di kebanyakan dinding-dinding bangunan di sepanjang jalan raya utama yang menjadi tempat wajib untuk fotografi jalanan. Tempat lain yang harus dilawati semasa disini adalah seperti Hallgrimskirkja Cathedral, Harpa Concert Hall dan arca bot Sun Voyager, yang mana bangunan-bangunan nya mempunyai senibina yang unik.

Perjalanan Melalui Jalan Raya (Road Trip)

Dari Reykjavik, kami memulakan perjalanan kami melalui jalan raya dengan memandu pacuan 4WD bagi memudahkan untuk mendaki bukit serta melalui jalan batu kerikil (off road). Kami memilih untuk menggunakan Golden Circle Ring Road supaya kami dapat melawat sebanyak mungkin kawasan-kawasan menarik di sepanjang perjalanan.

Tidak seperti di kebanyakan negara di mana jalan utama adalah lebuhraya besar, jalan di Iceland merupakan jalan 2 hala/lorong yang indah dengan pemandangan yang mengagumkan di sekelilingnya. Dan Iceland tidak mempunyai pokok-pokok besar yang dapat menghalang pandangan dari kereta di mana anda akan dapat menikmati pemandangan yang “seluas mata memandang” – air terjun, gunung, bukit, laut Atlantik Utara, tasik, glasier, mata air panas, perkampungan, ladang-ladang serta binatang ternakan seperti kambing biri-biri dan kuda. Kami hampir tidak percaya bahawa kami telah melihat kesemuanya di hanya satu pulau.

Antara pengalaman menarik kami sepanjang di Iceland adalah seperti berikut:

Snorkel di antara Plat Tektonik

Peluang untuk melakukan aktiviti snorkel di rekahan Silfra antara plat tektonik yang memisahkan benua Amerika Utara dan Eurasia tidak kami bazirkan. Selepas selesai memakai pakaian yang dikhaskan untuk snorkel di rekahan Silfra kerana suhu airnya yang berada di bawah sifar, kami akhirnya terjun ke dalam air yang sangat jernih dan menikmati pemandangan bawah air dengan jarak penglihatan sehingga 100 meter. Menurut pemandu snorkel kami, air di sini sangat bersih dan boleh diminum tanpa ragu-ragu.

Berjalan di atas Glasier Skaftafellsjokull

Di Skaftafellsjokull, kami juga berpeluang berjalan di atas glasier yang mempunyai jurang sempit yang dalam di antara batuan-batuan ais. Untuk membolehkan kami berjalan di atas ais glasier, kami perlu memakai kasut khas yang dapat mencengkam kukuh ais glasier dan mengelakkan kami daripada mudah terjatuh atau tergelincir. Semasa berjalan di atas glasier, kami dapat mendengar dengan jelas bunyi tapak kaki kami mencengkam ais. Pemandangan yang luas di kawasan glasier yang besar dan berwarna putih secara keseluruhannya menyentuh perasaan kami dan berasa diri ini amatlah kerdil.

Cahaya Utara Aurora Borealis

Selama kami mengembara di Iceland, kami telah berjaya menemui cahaya utara Aurora Borealis sebanyak 3 kali. Yang paling cantik dan jelas ialah di Budardalur, sebuah perkampungan kecil yang terletak di utara-barat Iceland. Kami amat bernasib baik kerana tidak perlu menunggu sehingga waktu tengah malam di mana cahaya Aurora Borealis sudah kelihatan sesudah waktu terbenam matahari dan berlarutan sehingga hampir tengah malam. Suhu di luar mencecah hampir 0 darjah, namun kami kuatkan semangat untuk menikmati pemandangan luar biasa ini selama beberapa jam sehinggakan kami tidak dapat lagi merasai jari tangan dan kaki akibat kekebasan.

Aurora Borealis yang cantik

Gunung, Air Terjun, Geyser dan Glasier

Mata air panas jadi tumpuan

Antara tempat-tempat menarik sepanjang perjalanan kami yang berbaloi untuk dikunjungi di Iceland menurut turutan road-trip kami ialah:

Reykjavik – Thingvellir National Park – Strokkur Geyser – Gullfoss – Kerid Crater Lake – Seljalandsfoss – Skogafoss – Mossy Lava Rocks – Vatnajokull National Park – Skaftafellsjokull Glacier – Jokulsarlon Glacier – Diamond Beach – Vesturhorn Mountain – Dettifoss & Selfoss – Lake Myvatn – Asbyrgi Canyon – Godafoss – Akureyri – Dynjandi – Kirkjufell Mountain – Arnarstapi

Published by
Julie Roshana