“Rizal Amat Menyenangkan.Keperibadiannya Memikat Saya” Noryn Aziz Bersyukur Akad Nikah Dipermudahkan

Share

Tahniah MW ucapkan buat penyanyi Noryn Aziz yang telah selamat bergelar isteri malam tadi. Berita pernikahan pasangan ini memberi kejutan buat peminat seni hiburan tanahair tempatan.

Tidak ada sebarang gosip yang menular, Noryn bijak menyimpan kisah cintanya.

Suara Hati 3 Diva, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin & Noryn Aziz

Tenung Saja Tak Cukup, Bila Dapat SUAMI Bertanggungjawab Itu Barulah Romantik Selepas Nikah

 

Menurut Noryn seperti mana kenyataan yang dikeluarkan, dia berasa sangat bersyukur.

Mas Kahwin Sebentuk Cincin

“Terlebih dahulu, dipanjatkan rasa syukur kapada Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Dengan izinNya juga, saya dan suami selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang diadakan dalam suasana yang sangat sederhana dengan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat seramai 30 orang jemputan semuanya. Pada malam akad nikah yang diadakan di kediaman suami saya di Bukit Damansara, dengan bermas kahwin sebentuk cincin kepada saya.

Sepatutnya Nikah 25 Oktober Namun Diawalkan

“Sebetulnya, saya dan suami pada awalnya ingin melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober ini. Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober hari ini, majlis tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal. Ini kerana, kami berhasrat untuk hari bahagia mereka dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kami.

Seri pengantin Noryn begitu jelita.

Persiapan dalam Jangkamasa 24 Jam

“Alhamdulillah segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baiknya dalam jangkamasa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat-sahabat handal dan juga ahli “team” saya semuanya. Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah.”

“Majlis akad nikah  itu juga diadakan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Saya percaya ramai yang tertanya-tanya bagaimana permulaan kepada perkenalan kami berdua. Kami mula berkenalan pada penghujung 2019 sebagai kawan kenalan perniagaan pada mulanya dan cuma pertengahan 2020 kami mulai rapat dan serius yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga.

Semuanya Berlaku Sekelip Mata

“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih. Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat. Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya. Untuk makluman, suami saya adalah seorang ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan.

“Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab (terutama sekali dalam waktu MCO bermula Mac lalu), banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci.”

Allah Makbulkan Hajat Kami

“Pada usia saya 44 tahun dan suami 48 tahun, tiada apa lagi yang kami harapkan selain majlis pernikahan kami dirahmati oleh Allah SWT dan rumah tangga kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua. Bagi saya adalah penting persahabatan cinta kita harus dihalalkan secara betul kerana ini bukan main-main buat saya dan suami. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan hajat kami ini.

“Saya gembira kerana keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat bersama-sama kami dalam majlis itu, Ia amat memberi makna buat kami.

“Kepada rakan-rakan media, terima kasih atas sokongan dan doa buat kami berdua. Saya cuma berharap perkahwinan kami dapat dihormati tanpa apa apa gosip dan fitnah yang tidak diingini. Kami amat pentingkan soal privasi kami secara peribadi dan keluarga amnya,” ungkap Noryn Aziz yang begitu cantik dirias oleh Sheila Mohamad dan berbusana pengantin ciptaan Rizman Ruzaini. Selain itu Noryn juga turut dibantu stylist Tym Fatimah.

Untuk makluman Noryn pernah bernikah dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan berpisah pada tahun 2018. Hasil pernikahan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.

Bersama anak kesayangan.

Sumber Foto: Instagram Noryn Aziz, Instagram Sheila Mohamad dan Instagram Rizman Ruzaini.

Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/

 

 

Published by
Norhayati Suboh