Raya, raya juga tapi jangan suka sangat main ‘bedal’ je semua yang ada depan mata. Dah elok berat turun masa puasa, jangan pula nanti ‘nangis tak berlagu’ bila baju dah mulai sendat, kain tak boleh zip.Hah, nak menyesal pun dah tak guna. Bukan kata tak boleh makan, boleh. Tapi makan tu kena beringat dengan setiap jumlah pengambilan makanan yang diambil. Pastikan ia kurang kalori, kurang berminyak, kurang manis dan yang paling penting diambil dalam sukatan yang berpada-pada.
Kami kongsikan antara tip bagi mengatasi ‘godaan’ makanan musim raya ni sekali gus bagi memastikan tubuh badan mak-mak dan kakak-kakak semua mampu kekal langsing, sihat dan cantik sepanjang musim raya ini.
1. Minum Air Kosong
Menjadi kebiasaan pada majlis rumah terbuka, tuan rumah akan menyediakan pelbagai minuman manis seperti jus kordial mahupun air berkarbonat yang sangat tinggi dengan gula. Sebaiknya, gantikan minuman manis tersebut dengan meminta air kosong yang lebih menyihatkan, ataupun boleh saja membawa bekalan botol air anda sendiri.
2. Berjalan Kaki Lebih Baik
Utamakan berjalan kaki berbanding menaiki kenderaan ketika berkunjung di rumah jiran-jiran yang berhampiran. Rasionalnya, anda akan membakar lebih kalori dengan berjalan kaki ke lokasi berkenaan, selain menjimatkan perbelanjaan duit petrol.
3. Sibukkan Diri Dengan Pelbagai Kerja Rumah
Kesibukan melayan tetamu yang berkunjung seperti menyediakan minuman, menyapu lantai, membasuh pinggan mangkuk, mengelap meja mampu membakar kalori pada tubuh. Lebih ramai tetamu yang hadir, maka lebih sibuklah anda pada hari itu, maka lebih banyak anda menggunakan kalori!
4. Hindari Perut Kosong
Jangan sesekali biarkan perut anda kosong sebelum pergi beraya kerana ini akan menggalakkan anda makan secara berlebihan. Jadi sebelum keluar, makan sesuatu terlebih dahulu bagi mengalas perut agar anda dapat mengawal kuantiti makanan yang diambil.
5. Jadi Seorang “Pengkritik Makanan”
Andaikan diri sebagai ‘pengkritik makanan’ yang cuma perlu menentukan sama ada makanan tersebut sedap atau tidak. Jadi anda tidak perlu mengambil kesemua hidangan yang tersedia sehingga kenyang, melainkan dengan kuantiti yang sedikit di dalam piring kecil sekadar untuk merasa.
6. Ambil Tahu Kalori Makanan Hari Raya
Ketahui jumlah nilai kalori setiap makanan yang terhidang di atas meja. Ia memudahkan anda merancang diet hari raya dan keperluan kalori yang diperlukan. Sebagai contoh, Ketupat Palas 1biji (80g) bersamaan 124kalori.
7. Makan Secara Perlahan-Lahan
Makan dengan perlahan akan membuatkan proses pencernaan anda lebih teratur. Malah, otak juga mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mentafsir sama ada anda sudah kenyang atau pun sebaliknya.
8. Puasa Enam dan Puasa Ganti
Ini antara strategi yang baik. Selain melakukan ibadah, dalam masa yang sama anda juga boleh mengawal nafsu makan yang membuak-buak tu.
9. Senaman Ringan
Lakukan senaman ringan secara konsisten jika anda ingin kekal langsing sepanjang hari raya. Senaman ringkas yang boleh dilakukan seperti seperti sit up mahupun berjogging.
Semoga Bermanfaat! Selamat Mencuba!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI