Bagi seorang ibu, peristiwa kehilangan anak sememangnya amat memeritkan. Meski sudah lebih 40 hari berlalu, pemergian penyanyi Allahyarham Sandra Dianne akibat kemalangan jalan raya ternyata masih dirasai.
Ibu arwah Sandra, Nur Syakinah
Sayu Rindu Arwah Sandra
Lebih sayu, ibu arwah Sandra, Nur Syakinah Abdullah, 46, baru-baru ini turut berkongsi perasaannya yang begitu hiba dan sangat merindui anak kesayangannya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, ibu arwah berkongsi tentang kehadiran anak kesayangannya itu di dalam mimpi.
“Tepat 44 hari, akhirnya Kakak dtg juga dalam mimpi mama.. T. Kasih nak, mama takan lupa ciuman yg mama berikan pada kakak dan pelukan tgn kakak memeluk erat badan mama..
“It’s like a sign from you telling me that you are alright and its time for me to move forward and stop mourning for you.
“I’ll be missing you for the rest of my life my love. Rest well my angel…
“Al Fatihah” tulisnya.
“Rindu Pada Kakak Masih Belum Sirna”
Ads
Beberapa hari sebelum itu Nur Syakinah juga telah meluahkan perasaan sedihnya yang tidak dapat dibendung mengenai kerinduan terhadap puterinya itu menerusi akaun Facebooknya.
“Hari ini genap 40 hari pemergian kakak. Mama tak mahu menulis panjang menumpahkan segala perasaan.
“Bimbang ada yg akan meluat dan menyampah menuduh mama tak habis2 meraih simpati..
“Cukup lah mama katakan rindu mama pada kakak masih blm sirna.. Mama seolah2 merasakan kakak ada job menyanyi di tempat yg jauh dan lambat lagi akan balik ke rmh. Kadang mama melihat fon menunggu2 watsapp kakak masuk.. Scroll chat kita yg lama.. Dgr voice note kakak pada mama..
“Berat Badan Mama Semakin Turun”
“Org takan mengerti apa perasaan yg mama lalui saat ini.. Susah untuk mama bangkit semula dari kesedihan ini kakak.. Berat mama pun semakin hari semakin turun drp 52kg mendadak turun ke 46kg..setiap mlm selama 40hari juga mama tidur bertemankan airmata..
“Tp mama tak pernah lupa doakan kesejahterahan kakak di sana dan tak lupa juga sedekah Al fatihah utk kakak.
“Mlm ini group telegram peminat kakak akan mengadakan Tahlil Online melalui google meet.
“Alhamdulillah, ramai yg menyertai nnt kakak.. Bahagia lah kakak di sana ye.. Bisik pada Allah, semoga Allah kumpulkan kita sekeluarga bersama semula di syurga kelak…
“Insyaallah, Aaaaammmin..
“RINDU TIADA HENTI..
“Mama” luahnya.
Ads
“Tiada Sehari Pun Mama Tak Rindu Kakak”
“Rindu suara kakak bercakap2 mcm ni..
“Setiap hari mama rindu, tiada sehari pun mama tak rindu kakak.. Mama benar2 kehilangan nak.. Tak tau nak ckp mcmana lagi.. Takde kata2 yg mampu memujuk mama utk berhenti menangisi kakak.. Takde!..
“Takde pelukan yg mampu meredakan kedukaan hati mama..mama usap dada mama terasa kosong, kakak dah bawa pergi hampir seluruh jiwa mama bersama kakak..takan mama dpt dengar lagi kata2 yg membahagiakan mama..
“Maafkan mama nak, mama msh blm dpt terima kenyataan ini..terlalu sakit untuk mama hadam.. Hanya doa dan doa setiap waktu utk kakak yg mampu mama kirim setiap hari dan detik mama menangis teringatkan kakak..
“Al Fatihah..
“Maafkan mama kerana mama blm kuat utk kakak.. Tolong lah dtg dlm mimpi mama nak, mama rindu…kakak blm jenguk mama lagi, hadir lah nak..mama terlalu rindu… ” tulis Nursyakinah lagi menerusi salah satu entri di akaun Facebook.
MW: Semoga Puan Nur Syakinah kuat mengharungi hidup. Allah lebih menyayangi Sandra. Al-Fatihah buat Allahyarham Sandra.
Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada 5 September ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.
Allahyarham yang dirawat di Hospital Putrajaya itu tidak sedarkan diri sejak hari pertama kejadian sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 11 September lalu.
Tarik diri dari Muafakat Nasional. Terbaru Ummi Nazeera menerusi akaun Instagramnya mengumumkan penarikan diri dari Muafakat Nasional iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Langkah Ummi itu disokong oleh para netizen, malah menerusi ruangan komen salah seorang pengikutnya menyatakan kesyukuran.
“Alhamdulillah, kami suka umi sebagai pelakon, jangan campur bidang lain, tambahan politik…… merosakkan karier. Anda aktres yg bijak” aishahmatakat
Tarik Diri Dari Muafakat Nasional
Ummi seperti mana dipetik menerusi akaun Instagramnya juga berterima kasih atas kesudian Muafakat Nasional melantik dirinya dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO.
“Setelah mengambil kira kegusaran dari peminat-peminat Ummi yang disayangi serta dari pihak-pihak berkepentingan, saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri dari Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi.
“Terima kasih atas kesudian Muafakat Nasional melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO.
“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” kongsi Ummi.
Sebelum ini pada 15 Disember lalu, Presiden Muafat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Ummi bersama Jamal dan Datuk Seri Eizlan Yusof adalah antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).
Mereka yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan pertubuhan NGO berkenaan.
Melihat kemalangan yang berlaku melibatkan ahli keluarga sendiri pastinya meruntun hati. Lebih rasa ralat dihati apatah lagi jika nyawa terkorban akibat kecuaian pihak lain. Namun hanya redha dan pasrah atas segala takdir ketentuan bahawa ajal dan maut telah ditentukan oleh tuhan.
Kemalangan Maut Ragut Nyawa Anak
Seorang bapa tidak menyangka kemalangan yang dilihat ketika dalam perjalanan menghadiri satu majlis pengebumian, rupanya melibatkan anak lelakinya sendiri di Kilometer 36, Jalan Temerloh-Bahau, dekat persimpangan Sri Buntar, Triang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori.
Ketika kejadian Muhammad Faris bersama ibu, bapa dan dua adiknya yang menaiki kereta dalam perjalanan dari Felda Kemasul untuk menghadiri pengebumian saudara di Pengkalan Manggis, Temerloh.
Menceritakan tentang kemalangan itu, ibu mangsa Zanariah Aziz, 47, berkata, setibanya di lokasi kemalangan, suaminya menjerit apabila terlihat motosikal anaknya di tengah jalan.
“Ya Allah! Itu motor anak aku.Itulah yang dikatakan suami membuat kami sekeluarga terkejut dan tidak menyangka insiden meragut nyawa itu melibatkan anak kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Shah (Hoshas) Temerloh di sini semalam.
Berlumuran Darah
Serentak itu, katanya, suami dan anak perempuannya bergegas ke arah mangsa, namun pada ketika itu Muhammad Faris yang berlumuran darah akibat cedera parah di bahagian kepala sudah tidak sedar diri.
Katanya, atas faktor kesihatan, dia tidak dapat untuk turun dari kereta untuk melihat keadaan anak keduanya itu.
“Sebelum keluar dari rumah, Limi (Muhammad Faris Halimin) bersalaman dengan saya, malah sepanjang minggu lepas, dia belikan tiga biji kek sempena hari lahir abahnya, ibu saudara dan jiran sebelah rumah.
“Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan arwah tetapi apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan kami sekeluarga trauma, apa pun, saya reda,” ujarnya.
Tiada Perubahan Pelik
Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Haikal Danil Hazrul, 18, berkata, kali terakhir mereka berjumpa pada malam Jumaat lalu, namun Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.
“Kami borak macam biasa, dia tetap macam biasa dan kami berkongsi banyak perkara bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, lori dari arah Temerloh telah memasuki simpang kanan ke Triang itu tanpa memberi laluan kepada mangsa yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan pelanggaran.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hoshas untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
‘Orang bodoh saja percaya scammer.’ Tapi kenapa pegawai bank, cikgu pun boleh kena tipu dengan scammer. Hanya yang pernah kena saja tahu bagaimana perasaan sebenar apabila berdepan dengan scammer.
Sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Farizal Radzali ini, pada awalnya dia sendiri hairan mengapalah terlalu mudah orang percayakan scammer. Hinggalah satu hari terkena batang hidung sendiri, barulah persepsinya berubah.
Kongsinya, baru-baru ini saya terbaca kisah seorang pegawai bank kena tipu dengan scammer, kerugian RM600k lebih. Itu pegawai bank tu, yang memang sepatutnya tahu tentang scammer ini. Pun kena tipu lebih dari setengah juta.
Kami ada terima kes kebankrapan seorang guru sekolah menengah. Gajinya RM6k sebulan. Suami seorang ahli perniagaan. Kehidupan agak mewah.
Tapi terpaksa jadi bankrap sebab sanggup refinance rumah dia tanpa pengetahuan suaminya, untuk diberi kepada scammer. Akhirnya dia tak dapat bayar ansuran bulanan sebab duit dia habis kepada scammer. Rumah tergadai, duit habis, diri pula bankrap.
Ada kes, terpaksa pinjam ah long, sebab kena tipu dengan scammer juga. Scammer oversea, sudah beriya nak kahwin. Tinggal tunggu hari saja. Kononnya lagi seminggu nak kahwin, si cinta hati itu hendak datang. Tapi sampai ke hari kahwin, tak nampak bayang pun. Akhirnya cinta tak jadi, dia pula kena kejar dengan ah long sebab tak mampu bayar hutang.
Percaya Scammer
Mak abah saya pun kena. Gores dan menang. Yang datang orang melayu. Siap masuk dalam rumah. Tak tahulah apa yang jadi, abah saya siap pergi keluarkan duit dari ASB. RM3k kot, bagi dekat orang itu. Dan lesap, barangan yang dijanjikan, tiada. Sampai hari ini, bila teringat, abah mesti kata, “Kenapa abah boleh percaya orang tu?”.
Dulu saya rasa benda ini macam boleh dielak. Kita yang salah sebab mudah tertipu dengan scammer ni. Scammer tak akan berjaya kalau kita tak ikut kehendak mereka. Saya pun berfikiran sama macam orang lain yang tak pernah kena dengan scammer. Orang bodoh saja percaya scammer ini, kononnya.
Tapi kenapa pegawai bank pun boleh kena? Cikgu yang berpendidikan tinggi pun boleh kena. Bahkan polis pun pernah kena tipu dengan scammer ni.
Tapi Kenapa Pegawai Bank
Sampailah satu hari, saya yang kena. Mujur tak sampai beratus ribu sebab saya memang tak bawa duit masa tu, dan saya berjaya keluar dari tempat tu. Yang penting, Allah pelihara saya.
Hari itu memang hari kerja. Saya pergi ke sebuah shopping Mall dekat Ipoh, dengan seorang lagi kawan saya yang bawa anak kecil. Nak lunch saja. Baru parking kereta, ada seorang lelaki muda berbangsa cina menghampiri kami. Hulurkan satu kad, suruh kami gores. Katanya saja suka-suka. Kalau dapat hadiah, rezekilah. Kalau tak dapat, tak jadi apa.
Tak tahulah kenapa mudah sangat kami percaya sedangkan selama ini memang kami tahu pasal sindiket gores dan menang ni. Mulanya rasa macam, ahhh gores saja. Bukan jadi apa pun. Lalu saya gores kad tu. Tak nampak apa pun, tapi lelaki tu buat muka macam tak faham. Katanya dia tak pernah nampak logo yang macam tu. Nanti dia tanya kawan dia seorang lagi, sebab dia baru lagi buat kerja tu.
Lalu dia panggil seorang lagi kawannya. Berlarian seorang lagi lelaki cina menghamppiri kami. Dia tengok kad yang berada di tangan kawannya, yang saya sudah gores tadi. Air mukanya berubah. Dia tepuk dahi dengan kuat.
“Apasal?” saya tanya. “Sekejap-sekejap, saya call saya punya HQ. Sbb ini kad arr…. memang ada satu saja dalam seluruh Malaysia. Kami sudah lama buat ini kerja, sudah pusing satu Malaysia, dua tahun woooo…. Takde siapa team kami yang jumpa ini kad. Memang HQ kata ada satu saja ini kad,” katanya.
Saya dan kawan saya, entahlah, nak kata kami percaya, memang tak. Nak kata kami tak percaya, pun tak. Tak tahu rasa apa masa tu. Macam kosong saja.
“Jom pergi HQ sekarang. Saya punya bos sangat terkejut sebab sudah jumpa ini kad.” lelaki cina itu cakap.
“Mana you punya HQ? Saya sedang kerja ooo… Sekarang waktu rehat. Tak sempat nak pergi mana-mana,” saya jawab.
“Tak apa, dekat sini saja. Sana CIMB Bank.” sahutnya.
“You mahu tipu kami ka?” saya tanya balik, mungkin masa tu masih waras. Tapi serius, saya dan kawan saya rasa kosong. Walhal kami datang situ nak makan.
“Haiya, apa macam mahu tipu? Saya ada ambil you punya duit ka? Ok ok, kalau you rasa saya mahu tipu, jom saya naik you punya kereta, kita pergi HQ. Bukan naik kereta saya, nanti you pun takut. Saya naik kereta you,” katanya.
Kena Tipu
Dan macam orang bodoh, kami benarkan dia masuk kereta dan kami bawa dia ke tempat yang dia cakap. Sebaik naik di tingkat 2 sebuah bangunan, kami disambut dgn tepukan gemuruh. Ada lima orang dekat dalam tu, melayu cina dan india, masing-masing ucap tahniah. Yang perempuan Islam bersalaman dengan kami sambil ucap tahniah berkali-kali.
Mereka asyik kata, tak sangka mereka akan jumpa pemenang kad tu, pada hari tersebut, setelah bertahun mereka cari. Kami dibawa masuk ke dalam 1 bilik. Betul-betul macam orang bodoh, kami ikut saja.
Dekat dalam bilik itu ada seorang lagi tauke besar berbangsa cina, raikan kami. Anak kecil kawan saya sudah terlena, lalu baringkan dekat sofa.
Lelaki itu tunjukkan beberapa keping gambar kemenangan. Ada beberapa keratan surat khabar dan iklan di tv juga. Semua nampak real. Katanya ada 7 hadiah besar, tapi 4 sudah ada pemenang. Ada 3 lagi hadiah yang belum berpunya. Salah satu adalah tanah 5 ekar di KL. Satu lagi wang tunai RM700k.
Dan yang ketiga ialah sebuah SUV mahal. Katanya kalau saya menang kereta, saya cuma perlu bayar duit cukai jalan, imigresen dan tukar nama saja. Dapat sebiji kereta. Kalau saya nak jual pun boleh katanya.
Lalu dia suruh saya pusingkan satu papan, lalu saya buat. Dan saya dapat tanah 5 ekar. Sampai sini, saya masih rasa kosong. Lalu katanya itu adalah hadiah terbesar. Dia minta saya bayar duit duti setem sebanyak RM3k. Kalau fikir logik, saya kerja firma guaman kot. Mestilah saya lebih arif tentang duti setem semua ni. Tapi saya ikut, saya percaya. Tak tahu kenapa.
Saya kata saya perlu ke bank ambil duit. Lalu mereka kata, tak apa, mereka akan teman saya ke bank. Saya kata, saya kena balik ke office dulu sebab masa rehat dah tamat.
DiPukau Tanpa Sedar
Masa ni saya teringat saya belum solat zohor, saya istighfar tengok jam sudah pukul 3 sedangkan waktu rehat saya sampai pukul 2 saja. Anak kawan saya pun terus lena, sedangkan kami belum makan.
Lalu katanya, kalau saya confirm nak hadiah itu, dia suruh saya bayar berapa saja yang ada. Itu sebagai pengesahan bahawa saya akan terima hadiah tu. Nasib baik masa itu saya cuma ada RM50 dalam tangan. Saya cakap saya ada RM50 saja, kalau nak, ambil, kalau taknak, saya lepaskan hadiah tu.
Lelaki itu kata, tak apa, dia ambil RM50 sebagai booking. Bakinya saya kena hantar sebelum pukul 6 petang. Alhamdulillah, kami berjaya keluar dari tempat itu. Sebaik keluar dari bangunan itu, anak kawan saya terjaga dari tidur dan menangis kuat macam kena rasuk. Puas pujuk, akhirnya suap makan biskut, baru dia diam. Jadi, kami rasa dia laparlah.
Masa kami turun bangunan itu, ada sepasang suami isteri sedang menungggu di tangga. Saya syak, mereka juga telah ‘menggores’ kad. Tapi masa tu saya dan kawan masih blur lagi.
Sampai di office sudah pukul 3++. Bos pun bising, marah sebab hilang macam itu saja. Call tak jawab. Nak tak nak,, terpaksa menipu kata kereta rosak dan bateri hp habis. Masa tu baru nampak banyak missed call dan mesej masuk dekat hp, walhal tadi hp diam saja. Call husband, cakap apa yang sudah jadi. Dia kata jangan bagi apa-apaa duit pun pada orang tu. Masa ni saya macam baru nak sedar.
Keluar Daripada Helah
Lelaki dekat tempat tadi call saya pukul 5 petang. Dia tanya saya nak hantar duit pukul berapa. Saya kata, saya nak transfer saja. Katanya tak boleh, sbb mereka kena tengok nombor siri duit tu. Bermakna saya kena bagi cash. Saya kata tak sempat pukul 6, dia kata tak apa, dia bagi sampai pukul 8 malam. Katanya dia cuba pujuk HQ sebab dia pun akan dapat komisen kalau hadiah itu berjaya dimiliki oleh saya.
Tapi masa ini saya sudah keluar dari helah mereka. Saya kerja merangkumi sistem bank juga. Tak pernah lagi orang minta no siri bagi duit untuk sesuatu urusniaga. Balik rumah, saya ceritakan semua keadaan kepada suami. Dia terkejut sebab saya sangat berani izinkan orang yang tak dikenali naik kereta saya. Saya pun mcm terdiam. Haah kan, macam mana saya boleh izinkan seorang lelaki cina yang saya tak kenal, masuk dalam kereta saya, ikut dia naik ke office dia lagi.
Suami saya kata, “Awak tak rasa ke awak dah kena pukau?” Saya terdiam. Macam baru terfikir.
Ya, itulah jawapannya. Saya seorang yang selalu beringat pun boleh kena. Pegawai bank boleh kena, cikgu boleh kena. Saya yakin ada unsur pukau tapi tak tahu dengan cara apa. Pukau mental. Mungkin tak semua, tapi ada unsur itu. Saya yakin.
Lepas dari itu, kalau ada orang kena tipu dengan scammer, saya tak akan salahkan dia secara keseluruhan. Moralnya, jangan mulakan. Itu saja. Terus letak phone kalau itu bukan panggilan yang betul.
Jangan gores apa-apa. Malah, jangan bercakap dengan orang yang tak dikenali. Paling penting jangan mulakan, sebab ia akan berterusan. Sebab mereka ada bermacam cara dan helah. Ilusi mahupun nyata.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita : Semoga kita dan keluarga dijauhkan dari scammer yang berhati jahat.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...