Dalam ramai adik beradik, mesti akan ada salah seorang yang Allah lorongkan dia untuk tinggal dengan mak ayah tanpa kita sedar.
Itulah rezeki yang mungkin kita terlepas pandang. Dalam kesibukan adik beradik yang lain menguruskan hidup di luar, kadang balik sebulan sekali, dua minggu sekali, Allah hadirkan seorang untuk bersama dengan mak ayah, menjaga ketika mereka perlukan pertolongan.
Allah Maha Adil, peluang menjaga mak ayah adalah nikmat yang tidak ternilai.
Namun anak bongsu daripada 13 orang beradik, Puan Izyan Izdihar Shaarani ada pandangan tersendiri dalam hal ini. Sepatutnya adik beradik yang Allah rezekikan untuk boleh berada dekat dengan mak ayah tu janganlah timbulkan situasi seolah-olah hanya dia sahaja yang bertanggungjawab, orang yang terpaksa duduk jauh itu tidak. Yang kurang duit itu tidak. Yang kerjanya sibuk itu tidak.
Saya selalu ingatkan diri sendiri dan adik beradik saya yang rezeki ni Allah beri dalam macam-macam bentuk.
Ada yang Allah rezekikan tempat kerjanya dekat dengan mak ayah.
Boleh ulang alik jenguk ibu ayah. Sentiasa boleh berada di sisi mak ayah bila mereka memerlukan. Boleh ada di rumah ibu ayah setiap minggu. Ada orang sejak dari mula kerja Allah dah letakkan dia merantau jauh dari keluarga.
Ada orang yang Allah rezekikan jodohnya orang dekat.
Dalam kampung yang sama, dalam negeri yang sama. Jadi bila balik kampung boleh sahaja lawat keduanya. Kenduri kendara pun situ situ je. Asal cuti memang boleh ada sentiasa. Ada orang jodohnya utara selatan. Seberang lautan. Cuti yang sikit tu lah nak dibahagi dua. Masing-masing ada tanggungjawab juga kepada keluarga.
Ada yang Allah rezekikan masa.
Mungkin dia tak ada banyak duit, tapi dia punya masa yang fleksibel untuk membolehkan dia menjaga ibu dan ayah sepenuhnya. Mungkin kerjanya berniaga yang boleh sahaja bawa ibu ayah ke klinik pada bila-bila masa tanpa perlu hulur borang dan merayu pada bos agar diberi pelepasan semasa waktu bekerja. Ada orang masa dia sangat terhad. Allah uji dia dengan kehidupan yang sibuk dan hiruk pikuk. Sering keluar outstation bermingu minggu tinggalkan anak isteri. Masa yang ada sikit tu lah bergelut bahagi untuk anak anak, suami/isteri, ibu ayah sendiri dan mentua juga.
Ada yang Allah rezekikan kudrat.
Mungkin dia tak selalu boleh cuti, tapi sekali sekala dia ada, dia boleh angkat ibu ayah usung dukung apabila ibu ayah sudah tidak lagi boleh berjalan. Mungkin dia lah calon yang paling sesuai yang boleh temankan ibu ayah pergi umrah atau haji. Atau bawa ibu ayah pergi berjalan. Kalau anak perempuan, memang payah nak dukung ayah.
Ada yang Allah rezekikan dengan wang.
Mungkin dia duduk jauh, susah nak balik kerap. Nak balik perlu apply cuti. Itupun kalau bos bagi. Tunggu public holiday baru boleh balik dengan senang hati. Tapi dia tak lupa kirimkan wang pada ibu ayah. Dengan duit dia itulah adik beradik yang lain boleh bantu uruskan ibu ayah dengan kehidupan yang lebih selesa.
Jadi, bertolak ansur lah dengan adik beradik kita. Untung sangatlah kita jika Allah rezekikan kita dengan semua sekali; rezeki jarak yang dekat, jodoh yang dekat, masa, kudrat dan wang.
Tapi kebiasaannya Allah tak beri kita semua rezeki yang sama. Setiap kita ada bahagian bahagian nya. Jangan sebab kita tidak diuji dengan ujian yang Allah beri pada adik beradik kita yang lain, kita dabik dada macam kita ajelah anak yang berguna. Orang lain tak buat apa.
Bersyukurlah jika kita Allah beri ruang untuk berbakti dengan ibu ayah melebihi adik beradik kita yang lain. Lebih pahala untuk kita. Jangan pula kita tuduh macam-macam pada adik beradik yang di mata kita tak berbuat baik sebaik kita untuk ibu bapa.
Lebih jangan lagi kita reka reka prasangka kita sendiri sebab kenapa kononnya adik beradik kita yang lain itu tak ingat ibu bapa, tak nak berkorban untuk ibu bapa, tak nak pindah dekat dengan ibu bapa dengan cerita-cerita kita sendiri.
Walhal kita tidak pernah pun diuji seperti mana adik beradik kita yang lain diuji.
Pesanan wanita ini kepada rakan-rakan yang diuji, doakan sahajalah semoga apa jua salah tanggapan orang terhadap kita tu akan Allah tunjukkan kebenarannya suatu hari nanti.
Kalau susah sangat, beritahu aje lah depan depan, aah moga Allah uji dia pula dengan ujian yang sedang kita hadapi. Masa tu nanti baru dia faham semua ini.
Di penghujung patah perkataan, berbuat baik lah kepada ibu bapa sehabisnya dengan kemampuan masing-masing.
“Buat baik jangan sampai berbunyi.”
(Ini pesan mak yang memang akan ku ingat sampai mati)
Buat baik jangan sampai kata orang lain yang tak mampu buat macam kitatu tak baik.