Rezeki ‘Travel’ Bukan Titik Bahagia Semata-Mata, Tuhan Kurniakan Nikmat Pelbagai Cara!

Share

Memang ada benarnya kadangkala terdetik rasa ‘cemburu’ di hati apabila melihat kawan-kawan seronok dan bahagia melancong ke serata dunia, tanpa perlu ‘bergelut’ melunaskan tanggungjawab dan komitmen yang menanti. Namun sebenarnya, rezeki untuk melancong itu bukanlah titik bahagia semata-mata, tuhan kurniakan nikmat buat setiap hambanya dalam pelbagai cara.

Perkongsian daripada Tuan Irwan Dahnil ini ada benarnya.

The Timeline

Ada kawan aku hubungi semalam. Dia cerita betapa cemburunya dia melihat kawan-kawan dapat travel sebebasnya.Dia rasa tertekan sebab tengok kawan-kawan update post travel ke sana sini. Bila ada tiket flight terus beli. Tahu-tahu sahaja sudah ada gambar bercuti di luar negara. Mudahnya.

Sedangkan dia pula sibuk uruskan anak enam orang yang masih kecil. Masih sibuk mengurus baju sekolah, mengatur kerja rumah dalam masa yang sama masih bekerja menambah rezeki untuk keperluan rumah.

Sesekali bawa anak ke Langkawi. Itu pun, kena berkira-kira supaya bajet bulan itu tidak lari. Setiap sen pun kena kira, supaya perut dapat terisi. Kena fikir supaya komitmen bulan-bulan terus terpenuhi.

Aku faham sangat, sebab selalu fikir benda yang sama.

Bersabarlah

Bagi yang mengharapkan travel, aku cuma boleh kata bersabarlah. Orang yang travel ini, kita selalu lihat apa yang ada di FB atau IG, sedangkan kita tidak tahu apa keadaan dan situasi.

Orang yang travel ini mungkin jodohnya belum kunjung tiba.

Orang yang travel ini mungkin zuriatnya belum datang masa.

Orang yang travel ini mungkin baru diberhentikan kerja.

Sedangkan kita bergembira dengan anak-anak, suami sentiasa disisi. Suami dan anak-anak suatu nikmat. Kita ada satu ikatan yang tidak semua rasa.

Sementara kita beri rezeki dan peluang untuk berseronok dengan keluarga, nikmati dan syukuri. Sebab bila anak sudah besar nanti, maka tinggalkan kita sendiri lagi.

Masa membesarkan mereka tidak boleh diulang semula. Sehingga satu masa kita terasa anak-anak sudah besar, tanpa kita sedar.

‘Travel’ Bukan Titik Bahagia Semata-Mata

Jangan letak travel itu sebagai titik bahagia semata-mata. Memang benar, travel boleh membuatkan seseorang itu gembira, tapi Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.

Kita uruskan rezeki yang ada untuk selesaikan tanggungjawab pada anak dahulu. Itu adalah bahagian mereka.

Kita percaya setiap perkara akan berlaku mengikut zon masa. Masa kita belum tiba. Masa orang lain mungkin cepat pula.

Mungkin Tuhan tahu sukat rezeki yang mencukupi, supaya kita tidak susah untuk travel nanti. Supaya kita benar-benar dapat nikmati travel yang memberi makna dan ingatan sepanjang masa.

Mungkin satu masa nanti Tuhan himpunkan kita dan anak-anak bersama. Sesungguhnya travel dengan anak-anak dan keluarga adalah satu nikmat yang tidak terperi.

Kalau bukan di dunia, di akhirat kelak nanti.

Catatan kembara #277
Irwan Dahnil
Tour Leader Anak Tiga
Glasgow, Scotland

Mesti Baca: Pergi Bercuti ‘Pusing Dunia’ Setahun, Cipta Kenangan Bersama Sebelum Anak-Anak Buta!

Baca Lagi Di Sini:BULAN MADU Lebih Bermakna, Sejak 30 Tahun Kahwin WAJIB Pergi Bercuti Berdua!

Artikel Menarik:Jangan SERIK Bawa Anak Kecil BERCUTI, Layan Karenahnya, Inilah Dikenang Sampai Bila-Bila

Mingguan Wanita:Setuju sangat, ada benarnya tak perlu rasa ‘cemburu’ dengan orang yang berpeluang melancong merata dunia. Rezeki setiap orang tak sama,jangan letakkan ‘travel’ satu-satunya cara untuk capai bahagia.Ini kerana Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.

Sumber: Irwan Dahnil

Komen Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab