Tangisan gembira seorang anak lelaki selepas memegang komik Lawak Kampus kegemaran menyentuh hati warga netizen sekitar awal Januari lalu. Apakah istimewanya dengan anak kecil bernama Muhammad Hafeezul Mohd Zulkiflee seusia 11 tahun ini?
Muhammad Hafeezul membesar dengan ibunya, Suffiyah Ramadhani dan ayahnya dengan didikan yang tegas dan penuh kasih sayang. Dia begitu taat dan mendengar kata. Walaupun dalam hatinya meronta-ronta inginkan komik Lawak Kampus. Demi taat kata-kata mak ayah dia pendam saja.
Apa yang dia buat cumalah saban hari, ke kedai yang menjual komik tersebut untuk membolehkannya melihat dan memegang idaman hatinya itu. Rupanya dalam diam, ibunya membuat kejutan menghadiahkan senaskah komik idamannya, Lawak Kampus. Tanpa ibunya tahu yang anaknya itu saban hari ke kedai untuk melihat komik idaman.
Ketika menyampaikan hadiah itulah, Ibunya videokan reaksi anaknya dan akhirnya cerita itu viral. Selepas beberapa ketika kisah itu menjadi perhatian umum, Hafeezul dipanggil dalam sebuah program TV, Motif Viral untuk dipertemukan dengan pengasas komik tersebut. Mr. Keith Chong Kah Hwee. Bukankah kisah ini begitu menyentuh hati mak-mak.
Cerita komik Hafeezul cukup besar hikmahnya. Tentang taatnya seorang anak pada perintah ibu dan ayahnya. Sampai satu masa apabila Allah mahu menghadiahkan sesuatu, hasil dari kesabaran itu.. maka Hafeezul menemui ganjaran yang lebih besar buatnya.
“Mengenai permintaannya mendapatkan komik, memang kami sekat perkara tersebut sebelum ini sehingga saya sendiri tergerak hati mendapatkan komik itu buatnya.
“Saya pernah memberitahu Hafeezul bahawa kita kena lebih banyak mensyukuri nikmat pemberian Tuhan berbanding sentiasa meminta-minta akan sesuatu.
“Saya mengajarnya bahawa rezeki beredar mengikut kehendak Tuhan dan jika ia belum direzekikan, hendaklah kita sabar dan berdoa agar semoga suatu hari nanti ia akan jadi milik kita jua.”
Terutama dalam soal pemberian gajet yang mana ianya satu kemestian untuk anak-anak seusianya pada zaman sekarang ini.
“Kami bukan ibu ayah yang turut segala kehendak anak, malah kami tak ikutkan permintaan anak-anak zaman sekarang untuk memiliki gajet sendiri.”
Akui ibunya yang juga pensyarah Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, dia membesarkan Muhammad Hafeezul sebelum ini hanya sebagai ibu tunggal. “Banyak masa yang kami kongsi berdua. Dia memang anak yang baik dan tahu berdikari. Sebab dia sudah terbiasa hidup dengan saya saja.”
“Cuma sejak 4 tahun lepas, ketika umurnya 7 tahun, saya bernikah dengan ustaz. Sejak umur itu jugalah dia diberi lebih banyak didikan agama.
“Dia memang sangat mendengar kata walau diasak oleh rakan-rakan sekolahnya untuk memiliki satu gajet miliknya sendiri.”
Sebagai orang tua, tentulah mereka banyak memberi nasihat baik buruknya sesuatu keputusan. Sama ada itu keputusan mereka, tetap akan diterangkan rasionalnya mengapa sesuatu itu takdiberikan atau mengapa dia tak boleh melakukan sesuatu perbuatan.
Dalam menegur pun perlu ada caranya. “Saya juga bila menegur atau memarahi atas kesalahan, perlu lah berhemah. Tidak menengking atau mengherdiknya. Kata-kata kesat mesti dihindar sebab anak akan belajar dari apa yang kitaucapkan dan kita lakukan.”
Sebab itulah, untuk memberi teladan perlu bermula dengan mak ayah. “Didikan agamanya lebih banyak kepada kami. Jadi, kami cuba memberikan contoh buat anak kami sendiri.
“Kami percaya, akhlak yang baik mestilah bermula dari didikan di rumah. Ibu dan ayah mestilah menunjukkan kebaikan sebelum anak dapat mengikutinya
.”
Di rumah, setiap keputusan mestilah didahului dengan keizinan ayahnya sebagai ketua keluarga.
“Saya akan meminta izin suami jika mahu melakukan sesuatu dan begitulah yang kami cuba beritahu pada dia, meminta izin itu perlu dan hormatilah siapa yang memimpin kami, iaitu ayahnya sendiri.
Sekiranya keputusan ayah agar anak tak boleh diberikan sesuatu benda, sebagai isteri dan anak, mereka mesti hormat. Kerana itulah asas barokah (keberkatan) dan redha Allah dalam keluarga.
Sebab itu, anaknya Hafeezul hanya boleh bermain handphone atau hajet lain atas keizinan ibu dan ayahnya mengikut had waktu yang diberikan.
“Setakat ini, dia tidak pernah ingkar dan untuk setiap keseronokan mesti ditimbal balas dengan kebajikan yang lain. Misalnya dia perlu membuat ulangkali pelajaran atau membantu saya membuat kerja rumah walaupun dia anak lelaki.
Bagi suami isteri ini, akhlak itu bermula dari asasnya solat. “Alhamdulillah kami rasa bersyukur kepada Allah kerana Hafeezul boleh menjadi anak yang baik dan menyejukkan perasaan dengan terdidiknya dia mendahului Allah dalam setiap aspek kehidupannya.
“Dan sebagai ibu dan ayah, kami tak putus berdoa agar dia diberikan kebaikan dunia dan akhirat, InshaaAllah.
“Saya dan suami memang menitikberatkan perihal penjagaan solat kepada anak sejak ia kecil lagi. Ayahnya terutamanya sangat bertegas dengan pengurusan solat anak. Bagi kami, solat adalah asas kepada akhlak seorang mukmin.
“Kami juga sering membawanya ke kuliah-kuliah agama dan mengajarnya solat jemaah di masjid.
“Sehingga kini, dia boleh menjadi Muazin Surau kediaman kami di kampung, sebagai latihan untuk hari hadapan, serta dia juga sudah berjinak-jinak mengimamkan solat kepada rakan-rakannya di sekolah agama KAFA pada waktu petang.” tutur isteri kepada seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Ternyata inilah ganjaran mentaati perintah kedua ibu bapa. Selepas viral dengan kejutan pemberian komik oleh ibunya, adik Hafeezul akhirnya ditemukan dengan pengasas Lawak Kampus, Mr. Keith Chong Kah Hwee dalam rancangan Motif Viral. Tulis Suffiyah dalam catatan facebooknya.
Dari semalam membawa ke hari ini, anakku Hafeezul masih gembira lagi. “Mama, inilah kenangan yang ejol takkan lupakan“.
Alhamdulillah sayang. Rezeki ini sudah tertulis. Sayang sabar nak beli sesuatu, walau mama tak izinkan, papa tak izinkan, tapi sayang tak merungut. Malah sayang selalu ucap Alhamdulillah, masih ada rezeki lain yang Allah pinjamkan.
Alhamdulillah sayangku Ejol, Allah ada dalam hatimu. Teguh jiwamu mendengar kata mama dan papa walau hati mungkin sedikit terluka bila tak dapatkan apa yang diminta, walau banyak terpaksa memendam rasa. Tapi bila dapat, rupanya Allah dah sediakan yang lebih banyak.
Tentu Allah sayang padamu anak, kerna dikau Muazin yang melaungkan nama kebesaranNya untuk memanggil umat Islam untuk tunduk sujud padaNya. Pasti dalam hatimu merintih, Allah tahu sayang akan keinginanmu tapi Allah mahu melihat sejauh mana kau mampu menerima keputusan kami.
Mama gembira juga sayang dan mama dan papa bersyukur kepada Allah kerana ada anak yang mendengar kata.