Berita

Rezeki Calon SPM pusat tuisyen PTTI dapat kereta bernilai RM40,000! Jadi pembakar semangat terus cemerlang

Share

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Siapa sangka, calon Sijil Pelajaran Malaysia,  Nur Iman Athirah Roseman menjadi peserta paling bertuah apabila berjaya memenangi kereta Axia bernilai RM40,000 sempena Peraduan PTTI Better Results.

Peraduan yang bermula pada Jun sehingga September lalu telah menerima 8,000 penyertaan daripada pelajar pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu PTTI di seluruh negara.

Nur Iman, 17, berkata, hadiah yang ditawarkan bukan saja sebagai ganjaran peraduan tetapi membuka peluang pelajar menimba ilmu bersama PTTI menerusi seminar yang dijalankan.

“Sejak mengikuti kelas di PTTI ketika tingkatan empat iaitu tahun lalu, saya dapat mengubah keputusan tiga mata pelajaran yang gagal menjadi lebih baik.

“Jadi, apabila PTTI membuat peraduan ini yang mana pelajar perlu mengajak rakan seramai mungkin untuk mengikuti pembelajaran di PTTI, bagi saya ia sesuatu yang bagus.

“Bagi saya, belajar di PTTI memberi banyak manfaat. Buktinya pada diri saya. Kita bukan saja dapat ilmu, tapi mudah faham dan skor subjek. Pada masa sama dapat peluang menang hadiah,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menjangka dapat memenangi hadiah utama itu selain berazam untuk memanfaatkan kereta itu sebaiknya selepas mendapat lesen memandu penuh nanti.

Belum Ada Lesen Memandu

“Alhamdulillah, ini pertama kali saya mendapat hadiah yang begitu berharga. Sangat gembira dan teruja dapat menang kereta. Siapa nak bagi kan? Terima kasih PTTI kerana memberi peluang pada semua pelajar.

“Memandangkan sekarang belum ada lesen penuh, jadi saya tak boleh lagi nak memandu. Cuma, kereta ini bakal dimanfaatkan sebaiknya. Dalam masa sama, tak sabar juga nak bawa keluarga dan kawan-kawan naik kereta ini,” katanya.

Berkongsi Manfaat

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau mesra disapa sebagai Cikgu Fana berkata, objektif peraduan adalah untuk berkongsi dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang terutama pelajar.

“Peraduan ini terbuka kepada semua pelajar yang berdaftar dengan PTTI dan mengajak kawan mereka belajar di dalam seminar yang dianjurkan pusat ini secara percuma.

“Dalam erti kata lain, peraduan ini bukan saja untuk berkongsi tapi juga memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Apabila pelajar berkongsi keputusan mereka, ia sekaligus memberi galakan untuk rakan lain belajar seterusnya dapat menyertai peraduan ini.

“Pemenang peraduan ini diumumkan pada program jelajah seminar peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, siri jelajah itu dihadiri lebih 1,000 peserta yang juga pelajar SPM di seluruh negara.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu