Setiap daripada kita rezekinya berbeza, ada yang dikurniakan kesihatan yang baik. Segelintirnya pula dikurniakan kemewahan dan setengahnya diberikan zuriat yang ramai.
Masing-masing punyai rezeki sendiri yang telah ditentukan Allah SWT. Sebenarnya rezeki bukanlah apa yang dikehendaki, sebaliknya bila kita terima setiap apa yang Allah anugerahkan.
Oleh itu bersyukurlah dengan setiap satu rezeki yang mak, ayah terima. Sudah tentu ada hikmah di sebalik setiap satu rezeki yang diterima atau tidak. Ikuti perkongsian Hafizul Hakim ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Rezeki itu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tapi bila kamu terima apa yang Tuhan anugerahkan.
Kamu belajar tentang sirah. Tahu Maryam tak berkahwin tapi dapat melahirkan anak. Itulah rezeki dia. Kun fayakun.
Kamu tengok pula sirah Aishah. Kahwin tapi tak dapat anak. Itu pun rezeki dia.
Allah hantar Nabi Musa kerumah Firaun sebagai anak angkat untuk membawanya ke syurga. Tetapi tetap juga Firaun menjadi manusia paling celaka yang memilih jalan ke neraka.
Allah menghantar Nabi Nuh untuk menyelamatkan kaumnya tetapi anak isterinya sendiri derhaka dan enggan terima dakwah baginda.
Pelajarilah sesuatu dari kisah kisah seperti itu. Sungguh. Kamu akan faham bahawa rezeki masing-masing tidak sama. Semua ada pro dan kontranya!
Baca Juga Di sini:
Mudahnya Nak Bagi Rezeki Suami Melimpah Ruah, JAGA HATI Dan Hargailah Isteri
“Harap Tak Bosan, Isteri Awak Belum Ada Rezeki Nak Beri Zuriat” Siti Elizad
Suami Sanggup KETEPIKAN Keinginan Sebab Nak DAHULUKAN ISTERI, Makin Bertambah Rezeki
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Kawan-kawan,
Orang yang ada suami, ada isteri, ada anak ni bermakna ada tanggungjawab juga. Mudah mendapat pahala. Tapi mudah juga mendapat dosa.
Yang tak bertemu jodoh, yang tak dikurniakan zuriat pun satu rezeki juga. Rezeki terlepas dari tanggungjawab dan risiko nak menjawab di hadapan Allah nanti.
“Ini anak isteri tak menutup aurat, masing-masing kata awak sebagai ketua keluarga tak pernah nasihatkan. Macam mana ni.”
Begitu agaknya di Mahkamah Akhirat. Masing-masing sedaya-upaya melepaskan diri. Takutkan neraka, semua kesalahan diri diletak kepada orang lain termasuk suami atau bapak sendiri.
Jadi, sebelum kamu terus mengeluh tentang itu ini, kamu kena faham dulu konsep rezeki. Ada, tak semestinya untung. Tak ada, tak semestinya rugi.
Kamu dapat apa yang kamu nak, tak semestinya kamu boleh terus bergembira. Kamu tak dapat apa kamu nak, tak semestinya kamu tak boleh bahagia.
Kawan-kawan,
Takdir Allah ini misteri sifatnya. Entah-entah air mata redha yang kamu titiskan dalam mengharung kecewa itulah yang menghanyutkan kamu ke syurga-Nya.
Justeru, rezeki itu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tetapi bila kamu terima apa yang Allah beri.
Kamu hanya akan bahagia kalau kamu terima dengan redha. Syukurlah dalam sebarang situasi. Allah Maha Merancang, lagi Maha Mengetahui.
Begitulah.
MW: Jika mak ayah redha dan terima setiap satu rezeki yang Allah kurniakan sudah pasti kehidupan kalian lebih bahagia. Percayalah.
Sumber: Hafizul Hakim