Setiap daripada kita rezekinya berbeza, ada yang dikurniakan kesihatan yang baik. Segelintirnya pula dikurniakan kemewahan dan setengahnya diberikan zuriat yang ramai.
Masing-masing punyai rezeki sendiri yang telah ditentukan Allah SWT. Sebenarnya rezeki bukanlah apa yang dikehendaki, sebaliknya bila kita terima setiap apa yang Allah anugerahkan.
Oleh itu bersyukurlah dengan setiap satu rezeki yang mak, ayah terima. Sudah tentu ada hikmah di sebalik setiap satu rezeki yang diterima atau tidak. Ikuti perkongsian Hafizul Hakim ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Rezeki Bukanlah Apa Yang Dikehendaki
Rezeki itu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tapi bila kamu terima apa yang Tuhan anugerahkan.
Kamu belajar tentang sirah. Tahu Maryam tak berkahwin tapi dapat melahirkan anak. Itulah rezeki dia. Kun fayakun.
Kamu tengok pula sirah Aishah. Kahwin tapi tak dapat anak. Itu pun rezeki dia. Allah hantar Nabi Musa kerumah Firaun sebagai anak angkat untuk membawanya ke syurga. Tetapi tetap juga Firaun menjadi manusia paling celaka yang memilih jalan ke neraka.
Allah menghantar Nabi Nuh untuk menyelamatkan kaumnya tetapi anak isterinya sendiri derhaka dan enggan terima dakwah baginda.
Pelajarilah sesuatu dari kisah kisah seperti itu. Sungguh. Kamu akan faham bahawa rezeki masing-masing tidak sama. Semua ada pro dan kontranya!
Sebaliknya Bila Kita Terima Setiap Apa Allah Anugerahkan
Kawan-kawan, Orang yang ada suami, ada isteri, ada anak ni bermakna ada tanggungjawab juga. Mudah mendapat pahala. Tapi mudah juga mendapat dosa.
Yang tak bertemu jodoh, yang tak dikurniakan zuriat pun satu rezeki juga. Rezeki terlepas dari tanggungjawab dan risiko nak menjawab di hadapan Allah nanti.
“Ini anak isteri tak menutup aurat, masing-masing kata awak sebagai ketua keluarga tak pernah nasihatkan. Macam mana ni.”
Begitu agaknya di Mahkamah Akhirat. Masing-masing sedaya-upaya melepaskan diri. Takutkan neraka, semua kesalahan diri diletak kepada orang lain termasuk suami atau bapak sendiri.
Jadi, sebelum kamu terus mengeluh tentang itu ini, kamu kena faham dulu konsep rezeki. Ada, tak semestinya untung. Tak ada, tak semestinya rugi.
Ads
Kamu dapat apa yang kamu nak, tak semestinya kamu boleh terus bergembira. Kamu tak dapat apa kamu nak, tak semestinya kamu tak boleh bahagia.
Takdir & Rezeki Allah Adalah Misteri
Kawan-kawan, Takdir Allah ini misteri sifatnya. Entah-entah air mata redha yang kamu titiskan dalam mengharung kecewa itulah yang menghanyutkan kamu ke syurga-Nya.
Justeru, rezeki itu bukan bermakna kamu dapat apa kamu nak. Tetapi bila kamu terima apa yang Allah beri.
Kamu hanya akan bahagia kalau kamu terima dengan redha. Syukurlah dalam sebarang situasi. Allah Maha Merancang, lagi Maha Mengetahui. Begitulah.
Sebagai mak ayah adakalanya buntu idea dengan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak ketika cuti sekolah ini.Asyik melakukan aktiviti yang sama, berehat di rumah, melayan gajet mahupun ke pusat membeli belah bosan juga. Lagipun, cuti sekolah inilah masa yang paling sesuai untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan setelah masing-masing sibuk dengan aktiviti rutin harian.
Berikut antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama mereka. Anak-anak pasti lebih seronok dan teruja.
1.Melancong
Bagi mereka yang berkemampuan dan ada bajet lebih, inilah masa terbaik untuk pergi melancong.Lakukan perancangan awal. Tidak semestinya perlu ke destinasi yang jauh, percutian pendek ke destinasi pelancongan yang berdekatan juga sudah mampu menggembirakan anak-anak dan merupakan antara aktiviti yang amat dinanti dan disukai oleh mereka.
2.Lawatan Ke Tempat Menarik
Penuhi cuti hujung minggu dengan melawat tempat yang memberi ilmu sambil dapat berseronok, seperti Petrosains, Planetarium, Kidzania, Muzium Negara, Zoo Negara,Aquaria, Muzium Negara, Putrajaya, Bangunan-bangunan mercu tanda dan sebagainya.Ibu bapa dan anak-anak pasti akan merasai keseronokan yang tersendiri disamping mengeratkan hubungan.
3.Aktiviti Sihat
Luangkan masa bersama anak-anak dengan melakukan aktiviti yang mampu mengeluarkan peluh serta menjaga kesihatan seperti berjogging, mendaki bukit,mengayuh basikal,melakukan senaman dan sebagainya.Pasti lebih seronok.
4.Melawat Saudara Mara/ Balik kampung
Aktiviti ini amat wajar dilakukan di zaman ini.Inilah masanya selain di Hari Raya untuk kita membawa anak-anak mengenali serta mengeratkan silaturahim sesama saudara mara yang dekat mahupun jauh ataupun sekadar balik kampung untuk bertemu atuk dan nenek. Semoga ikatan kekeluargaan kekal terjalin.
5.Berkebun
Ketika di rumah,boleh juga lakukanlah aktiviti berkebun atau bercucuk tanam bersama anak-anak.Inilah masa untuk mencantikkan halaman dengan pokok bunga-bungaan dan sayur-sayuran.Tanamkanlah rasa cinta anak-anak kepada alam sekitar. Besar manfaatnya andai berbudi kepada tanah!
6.Hobi Dan Minat
Jika anak-anak punya hobi atau minat tertentu, inilah masanya untuk ibu bapa memainkan peranan dengan memberi galakan dan bantuan serta diasah agar lebih berkembang. Lakukan bersama mereka atau membawa bersama jurulatih atau mereka yang berkemahiran.Aktiviti seperti memasak, menjahit, membuat kraf, bertukang, mengaji, menghafaz al-quran, melukis berenang dan sebagainya bukan sahaja hobi yang sia-sia kerana bakat yang terpendam ini mungkin akan membantu mereka untuk menjadi insan yang berjaya dalam bidangnya di masa hadapan.
7.Bantu Kerja Rumah
Pada waktu cuti inilah, waktu yang sesuai untuk ajak dan ajar anak-anak melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama, seperti menyapu lantai, mengemas rumas, membasuh baju dan sebagainya. Ia juga merupakan latihan kendiri dan latihan kemahiran hidup buat mereka.Tidak lah kekok apabila sudah besar nanti.
8.Tanamkan Minat Membaca
Membaca jambatan ilmu. Jangan lokek untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak.Tanamkan minat membaca setiap hari, namun pada cuti panjang ini boleh bawa anak-anak, luangkan masa ke perpustakaan.Disana,terdapat pelbagai bahan bacaan menarik, persekitaran juga lebih tenang dan menyeronokkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu. Saya dalam ketakutan kerana seorang lelaki.
Masa Untuk Anak-anak
Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.
Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup selesa. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.
Teman Sepejabat
Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa enjin keretanya.
Dia rasa terhutang budi kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Saya pergi bukan berdua pun, ada teman lain menemani.
Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.
Cuma daripada awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.
Pergi Bercuti Bersama Keluarga
Aidiladha lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.
Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.
Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup bersama. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?
Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya.
Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau dan takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.
Puan K, KL.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya.
Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana nafsu dan emosi yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.
Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa mana yang pahala…mana yang boleh mengundang murka Allah dan sebaliknya.
Tak Tergoda
Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.
Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami, saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada boleh menerima penjelasan daripada puan atau tidak. Jika suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya.
Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri yang tahu suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.
Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami dapat tahu daripada orang lain. Atau lebih buruk, mungkin lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.
Tindakan Bijak
Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.
Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh daripada biasa. Jaga pandangan mata apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama ada lisan, atau bukan lisan.
Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak dan tidak memberi respons, lama- kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya, beritahu dia bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons. Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka.
Kawal
Ada orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya, apa sahaja boleh berlaku. Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.
Akhir sekali, carilah “pendinding diri” dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran. Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam.
**Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, yang juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita ini, Elaine Aisyah berkongsi tip bagaimana saudara baru yang baru memeluk agama Islam tidak perlu mengasingkan diri dari keluarga. Lagi-lagi bila membicarakan bab makanan halal.
Malah, turut serta bersama berkumpul untuk acara makan-makan keluarga. Walaupun akan timbul isu makanan halal. Beliau ada cara untuk menghadapinya.
Hadamkan perkongsian Elaine ini ya.
Dilema Makanan Halal Buat Saudara Baru
Dajie (kakak) boleh makan tak?
Setiap kali keluar makan, papa akan tanya adik-adik saya sama ada restoran yang dicadangkan itu halal atau tidak. Kalau tak halal, jangan pergi, make sure saya boleh makan sama.
Salah satu ‘adjustment’ selepas peluk Islam adalah makanan.
Bagi diri saya, tak susah tak makan babi, tetapi yang lebih mencabar pada mula- mula peluk Islam dulu ialah apabila ada special occasion di mana sesi makan ramai-ramai yangg melibatkan ahli keluarga saya.
Terutamanya melibatkan saudara mara lain, contoh: hari jadi nenek & ayah yang kami raikan dengan makan besar di restoran Cina, yang ada menu kegemaran mereka (since its their birthday), harga berpatutan (since ramai jemputan), lokasi etc.
Of course, family nak make sure saya join sama dan saya boleh makan juga.
Saya rasa cuma mualaf yang ada pengalaman ini akan faham dilema dalam perkara ini. Kalau boleh, memang kami tak nak susahkan siapa-siapa, terutama ahli keluarga yang organise majlis tersebut dalam mencari restoran yang sesuai.
At the same time, kami nak makan di restoran yang kami rasa yakin dan tak was-was makan. Honestly, bukan senang ya nak jaga perasaan pelbagai pihak (keluarga + pasangan + tambah pula ada yang juga libatkan komen/tekanan dari keluarga pasangan)
ini mungkin menyebabkan ada golongan saudara baru yang end up tidak join gathering keluarga atau ‘dikecualikan’ and dalam majlis makan bersama keluarga Non muslim mereka kerana menganggap bab makan ini susah!… atau menyusahkan.
Jika Isu Makanan Halal Jadi Halangan, Cuba Cara Ini
Pandangan yang boleh saya kongsi kan dengan kawan-kawan saudara baru yang masih rasa takut dan kurang yakin dalam perkara ini.
Seelok eloknya, jangan ambil ‘jalan senang’ dengan buat keputusan tak balik kampung, tak join family gathering just because family kata ‘susah lah Islam ini’’. Atau rasa diri anda menyusahkan ahli keluarga.
Pada saya, lagi anda tak balik ziarah family, lagi anda tidak bercampur dengan family anda. Jurang jarak makin jauh dengan mereka dan secara tidak langsung akan buat mereka lagi salah faham bahawa ‘Islam dah ambil anak saya’ dan Islam memang menyusahkan!
Islam tak susah. Cuma, kita perlu berusaha, ikhlas belajar dan berdoa minta Allah permudahkan proses dan perjalanan kami.
Jika ‘Terpaksa’ Makan Di Restoran Tidak Halal Dengan Keluarga
Sebenarnya, sis ada beberapa cadangan buat kawan-kawan saudara baru. Contoh, bagi family yang nak sangat makan di sesuatu restoran tu (yang tak halal), anda boleh join, tapi bawa makanan sendiri.
Sis pernah tapau KFC bucket meal, buat diri makan sama dan sebagai ‘tambah lauk’ buat semua yang hadir juga. Atau, selepas family habis makan, anda sampai dengan bawa kek birthday buat semua!
Kehadiran anda menunjukkan anda masih care dan sayang pada mereka, tak lupa kan mereka walau dah peluk Islam, dah kahwin. Mungkin boleh beri ‘alasan’ lambat habis kerja etc. dan cuma sempat join sesi dessert.
Apa yang penting at least hadir dan tunjuk muka, dan kalau boleh, bagi lah duit angpow birthday, as part of tradisi Cina.
Diminta kawan-kawan yang baca posting ini turut sharekan pengalaman dan idea anda.
Kata-kata semangat kepada saudara baru, semoga kuatkan semangat, kuatkan iman dan dipermudahkan dalam perjalanan menuntut ilmu Islam yang sebenar.
Syukur & thank you kepada seluruh ahli keluarga saya Jocelyn Ong, Chloe, Richard, cousin Hui, Ling, Fong, uncle 小姨丈 ,舅母,二姨, aunty etc etc yang antaranya key key person yang sentiasa organise pelbagai sesi makan family. Appreciate all your care, effort & love.